Apa nasib nelayan Kuala Perlis? - Utusan Malaysia

Apa nasib nelayan Kuala Perlis?

NELAYAN terkesan teruk apabila hasil tangkapan ikan terus berkurangan ekoran pencerobohan nelayan asing yang menangkap siput retak seribu di perairan Perlis.– UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAIRAN Kuala Perlis sememangnya sangat unik. Menjadi tumpuan pelbagai spesies marin termasuk lubuk rezeki buat para nelayan yang selalunya membawa pulang hasil laut yang banyak.

Namun, kebelakangan ini suasana seperti itu sudah tidak dirasai. Hasil kira-kira 1,000 nelayan di negeri ini terus berkurangan dan ada yang pernah pulang dengan tangan kosong meskipun seharian di laut.

Dakwa nelayan, kesan pencerobohan secara berleluasa nelayan luar yang menangkap siput secara tidak sah menyebabkan habitat ekosistem marin mula terjejas sekali gus hasil laut semakin berkurangan. Hasil laut seperti ikan kembung, senangin, tenggiri, gelama, kebasi, udang dan ketam yang selalunya memenuhi bot atau sampan nelayan ketika pulang dari laut, sudah jarang dilihat sejak kebelakangan ini.

Jika dahulu nelayan-nelayan pesisir pantai mendakwa mampu membawa pulang hasil 100 kilogram ke atas, namun sekarang satu kilogram pun susah. Pendapatan pula sekitar puluhan ringgit sahaja. Dengan harga barangan semakin meningkat, jumlah pendapatan itu jelas menyukarkan kehidupan nelayan.

Sedar atau tidak, penggunaan secara berleluasa pukat tunda dan peralatan tangkapan lain termasuk sangkar menangkap siput khususnya di perairan negeri ini boleh merosakkan lantai atau dasar laut sekali gus menyebabkan benih-benih ikan yang belum matang musnah.

Dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, bagaimana nasib para nelayan jika hasil laut terus berkurangan? Sebelum keadaan bertambah buruk, jalan penyelesaian terhadap masalah itu perlu segera diambil.

Dari aspek penguatkuasaan, pihak bertanggungjawab seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) antaranya dilihat sentiasa aktif bertindak dalam membanteras aktiviti tidak dibenarkan itu.

Ia dapat dilihat dengan kes rampasan siput retak seribu di perairan negeri ini menunjukkan peningkatan cukup mendadak pada tahun lalu apabila merekodkan nilai rampasan lebih RM180,049 berbanding hanya RM3,760 pada 2020.

BERLUMPUR TEBAL

Bagaimanapun, masalah tersebut dilihat masih berterusan apabila nelayan mendakwa aktiviti menangkap siput retak seribu di perairan Perlis masih terus aktif. Difahamkan keadaan geografi perairan Perlis yang cetek serta berlumpur tebal menjadi habitat terbaik siput retak seribu selain mempunyai kualiti tinggi. Disebabkan itu, ia menjadi tumpuan nelayan luar terus menangkap siput berkenaan tanpa sedar perbuatan mereka bakal memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem laut.

Masalah ini perlu diberikan perhatian serius oleh jabatan terlibat kerana golongan nelayan sudah cukup terkesan. Hasil laut semakin berkurangan adalah masalah serius yang perlu diberikan perhatian segera.

Kerosakan dasar laut perairan negeri ini akan memberi kesan buruk kepada hasil tangkapan nelayan dalam jangka masa panjang dan ketika ini, ia sudah menampakkan kesan.

Rata-rata nelayan pesisir pantai dikatakan mengalami kemerosotan pendapatan lebih 50 peratus sejak aktiviti penangkapan siput semakin berleluasa. Kemerosotan tersebut mungkin bertambah teruk jika masalah berkenaan masih berlarutan.

Jika penguatkuasaan ketika ini masih belum menggentarkan mereka yang terus melakukan tangkapan siput secara tidak sah, mungkin tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap bot-bot luar yang mengaut keuntungan besar.

Tindakan tegas diambil boleh memastikan ia benar-benar mampu mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan aktiviti pencerobohan tersebut.

Kita faham, nelayan luar juga mencari makan melalui hasil tangkapan siput tersebut. Namun, kita mesti melihat kesan lebih besar yang menjejaskan ramai nelayan di negeri ini. Lebih 60 peratus pengusaha bot juga terpaksa memberhentikan operasi.

Antara cadangan lain, mungkin boleh wujudkan zon-zon tertentu di perairan negeri ini bagi aktiviti menangkap siput serta mengkaji kaedah tangkapan tanpa merosakkan ekosistem laut.

Luah nelayan terbabit kepada saya, jika sekarang pendapatan mereka sekadar cukup makan, bagaimana nasib mereka selepas ini jika hasil laut terus berkurangan?

Jangan ambil mudah keluhan mereka.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×