MUKADIMAH
MUNGKIN Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO), salah satu parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tidaklah sepopular Parti Warisan Sabah (Warisan). Isu-isu parti itu juga kurang dibincangkan apatah lagi dibawa ke peringkat nasional kerana dilihat lebih bersifat ‘kenegerian.’
Bagaimanapun, langkah menyertai khemah besar PH membuatkan UPKO sedar, mereka tidak boleh terus berada dalam zon selesa. Apatah lagi dengan 5.8 juta bakal pengundi didaftarkan secara automatik yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Sama seperti parti-parti lain, UPKO tidak mahu terlepas meraih sokongan golongan muda apatah lagi di Sabah sambutan mereka terhadap urus tadbir negara dan pilihan raya seakan suram. Situasi sebegini berbeza dengan Semenanjung yang lebih agresif demi membentuk negara yang lebih baik.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan ALYA AFIQAH ACHMAD TARMIZI serta jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR bertemu Ketua Pemuda UPKO Kebangsaan, FELIX JOSEPH SAANG di ibu negara baru-baru ini bagi mengulas perkara tersebut.
UTUSAN: Apa pembaharuan UPKO bawa selepas menyertai PH?
FELIX: Kami lebih terlibat dalam usaha membina negara yang baharu, maksudnya UPKO bersama-sama membina kepimpinan dan kerajaan alternatif baharu untuk Malaysia. Saya yakin ramai dalam kalangan rakyat yang mendambakan suatu pembaharuan. Penyertaan UPKO dalam PH boleh membantu semua pihak untuk memahami aspirasi membentuk sebuah negara dari kaca mata rakyat Sabah sendiri. Kita mahu membina sebuah kerajaan yang lebih telus, inklusif, berintegriti dan dinamik.
UPKO didakwa kurang popular berbanding Warisan. Benarkah?
UPKO cukup dikenali di Sabah. Kemungkinan Warisan sentiasa disebut-sebut di Semenanjung baru-baru ini kerana presidennya tidak asing dalam politik dan sudah memegang banyak jawatan tertinggi di peringkat Persekutuan. Keberadaan dan penyertaan UPKO dalam PH sudah pasti menarik lebih ramai masyarakat di Semenanjung untuk mengenali, memahami dan mendalami perjuangan sebenar UPKO demi membina sebuah negara yang adil dan makmur.
Anda pemimpin bertanggungjawab mendekati golongan muda khususnya di Sabah demi kemajuan negeri. Apa pencapaiannya?
UPKO adalah parti terawal memberikan ruang kepada golongan muda untuk berkecimpung dalam politik. Sejak lebih 20 tahun lalu, UPKO sudah memulakan langkah itu melalui sayap komulakan yang bermaksud orang muda dalam bahasa Kadazandusun, dan ia sudah dijenamakan sebagai Pergerakan Generasi Muda UPKO. Dari sinilah kami menerima ahli-ahli berumur 18 tahun.
Bagaimana sambutan mereka?
Kami perhati ramai golongan muda yang tertarik dengan perjuangan UPKO dan kami akan meneruskannya. Mereka juga aktif di bahagian masing-masing di seluruh negeri.
Politik anak muda Sabah tidak menyerlah berbanding Semenanjung?
Penglibatan anak-anak muda dalam politik di Semenanjung kelihatan lebih menonjol dan agresif berbanding di Sabah dan Sarawak tetapi ini tidak bermakna mereka tidak ambil peduli. Orang muda Sabah dan Sarawak juga amat berminat dan mengikuti perkembangan politik negara. Saya yakin, pelaksanaan Undi18 nanti, ramai anak muda Sabah akan menonjol sebagai pemimpin pelapis, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat nasional, siapa tahukan?
Mungkin juga penglibatan mereka yang menetap di kawasan bandar lebih terdedah kepada isu-isu kepolitikan berbanding di kawasan luar bandar. Kalau di Semenanjung, sudah pasti liputan internet jauh lebih baik sekali gus memberikan mereka maklumat perkembangan politik terkini.
UPKO didakwa lebih mengutamakan etnik Kadazandusun. Macam mana mahu mendekati orang muda kalau UPKO dilihat tidak inklusif?
Sebab itu kami sudah menjenamakan semula parti ini sebagai parti berbilang bangsa. Bukan sahaja untuk masyarakat Kadazandusun, bahkan suku etnik lain juga. Ramai ahli parti adalah orang Cina, Bajau dan pelbagai kaum lain, cuma mungkin persepsi orang luar sahaja yang berfikiran kami mengutamakan satu-satu kaum. Sebelum UPKO dijenamakan semula, kami sememangnya parti berbilang kaum kerana perlembagaan parti menerima pelbagai suku kaum sebagai ahli.
Macam mana mahu ubah persepsi itu?
Mungkin ambil masa tetapi dalam struktur pimpinan parti, ramai sahaja yang bukan Kadazandusun. Barangkali kami bertanding di kawasan majoriti Kadazandusun, sebab itu persepsinya masih sama tetapi sebenarnya tidak kerana kami memang terbuka menerima sesiapa sahaja. Selepas ini, mungkin kami perlu bertanding di kawasan yang bukan majoriti satu etnik sahaja.
Berapa peratus anak muda bakal mewakili UPKO dalam pilihan raya?
Saya tidak boleh memberikan angka berapa peratus perlu dikemukakan. Saya percaya pucuk pimpinan UPKO akan mempertimbangkan mana yang terbaik dan memberi ruang kepada golongan muda. Cuma sudah pasti saya akan suarakan dan nyatakan kepada pucuk pimpinan parti untuk mengetengahkan orang-orang muda. Itu memang hasrat saya.
Ada berhubung dengan sayap-sayap Pemuda dalam PH?
Kami sudah berjumpa dengan beberapa rakan pimpinan Pemuda PH sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan. Kami telah mencadangkan beberapa program bersama tapi kita sedia maklum dengan prosedur operasi standard (SOP) masih agak ketat dan kita baru saja melalui dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, segala rancangan tertangguh. Saya berharap tahun ini kami dapat meneruskan dan melakukan perancangan Pemuda PH.
Kehadiran UPKO boleh mengembalikan zaman kegemilangan PH pada 2018?
Ya, kenapa tidak? Saya lihat kepimpinan negara sekarang begitu rapuh dan rakyat mula hilang kepercayaan kepada mereka. Banyak ketidakadilan, salah guna kuasa dan kelemahan yang semakin terserlah. Saya yakin PH mampu bangkit semula.
Di Sabah pun, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat mengecewakan rakyat. Terlalu banyak mereka janjikan dalam kempen PRN termasuk Sabah akan maju pesat membangun apabila bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Tetapi hari ini kita lihat, jangankan janji pembangunan, kemudahan asas seperti air dan jalan raya pun semakin kritikal.










