JUMAAT lalu, seorang sahabat bertanya: “Apakah kesan suatu sabitan jenayah dan hukuman penjara kepada kerjaya seorang wakil rakyat? Sekiranya wakil rakyat itu kemudian merayu dan hukumannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan prosiding rayuan, apakah kesan penangguhan hukuman itu?” Saya minta dia beri sehari dua untuk saya mencari jawapannya.
Isu hilang kelayakan seorang wakil rakyat, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dijelaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa itu, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Oktober 2019. Jelas beliau, seorang wakil rakyat akan hilang kelayakan apabila dia disabitkan kesalahan jenayah dan dikenakan hukuman penjara 12 bulan atau lebih, atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.
Andainya wakil rakyat itu membuat rayuan ke atas sabitan dan hukuman itu, statusnya sebagai wakil rakyat kekal sehinggalah keputusan rayuan diketahui. “Sekiranya rayuan ditolak, maka wakil rakyat itu akan terlucut kelayakannya,” tambahnya lagi ketika bercakap kepada wartawan dalam forum anjuran sebuah universiti tempatan.
Pada Julai tahun lalu, selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar menjelaskan, walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak telah disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi, bekas Perdana Menteri itu masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Pekan dan menghadiri sesi sidang Dewan Rakyat sehinggalah proses rayuannya berakhir.
KESAN RAYUAN
Di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, apabila seorang wakil rakyat itu disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang dari satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, dia akan hilang kelayakannya.
Di bawah Perkara 48(4)(b) pula, sekiranya dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan dan hukuman, wakil rakyat itu membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut, kehilangan kelayakannya mula berkuat kuasa selepas 14 hari rayuan kesnya diputuskan.
Ini bermakna selagi mahkamah yang mendengar rayuan kesnya itu belum lagi membuat keputusan, statusnya sebagai wakil rakyat kekal sah di sisi undang-undang.
Pada 1975, ahli Parlimen DAP, Fan Yew Teng hilang kelayakan apabila beliau dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 setelah disabitkan kesalahan di bahawa Akta Hasutan 1960.
Pada Oktober 2009, wakil rakyat, Tian Chua disabitkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mencederakan (menggigit) seorang anggota polis dan menghalangnya menjalankan tugas dan dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000. Hukuman itu ditangguhkan untuk membolehkannya membuat rayuan. Pada 18 Jun 2010, Mahkamah Tinggi mengurangkan dendanya kepada RM2,000 sahaja yang akibatnya wakil rakyat itu tidak hilang kelayakan.
PENGAMPUNAN
Di bawah Perkara 48 (4)(c) pula, andainya dia gagal dalam rayuannya, wakil rakyat itu kemudian memfailkan satu petisyen untuk mendapatkan pengampunan, maka kehilangan kelayakannya ditunda lagi. Ia akan mula berkuat kuasa hanya selepas keputusan penolakan petisyen pengampunan itu diumumkan.
Dalam bahasa mudah, status wakil rakyat seorang ahli politik di negara ini kekal walaupun dia telah disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara selagi kesnya masih dalam proses rayuan. Itu di peringkat pertama.
Andainya wakil rakyat itu gagal di peringkat pertama ini, dia ada peluang lagi untuk memfailkan petisyen pengampunan. Kelayakannya sebagai wakil rakyat hilang hanya setelah petisyennya itu ditolak. Kuasa memberi atau menolak pengampunan ini disebutkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
PILIHAN RAYA
Memandangkan seorang wakil rakyat itu tidak hilang kelayakannya selagi proses rayuan belum berakhir (peringkat pertama) dan kedudukan begini tidak berubah sehingga prosiding pengampunan sampai ke penghujung (peringkat kedua), bolehkah dia bertanding dalam satu pilihan raya pada masa akan datang?
Mengikut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, andainya seorang wakil rakyat gagal dalam rayuannya dan gagal juga dalam petisyen pengampunannya, masih ada jalan ketiga dia menyelamatkan kerjayanya. Pada pendapatnya, seorang wakil rakyat yang hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak berjaya mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, masih boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).
Abdul Hamid berpendapat, sekiranya ahli politik itu mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli Parlimen walaupun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi Perdana Menteri jika partinya menang majoriti.
Pada 8 Disember lalu, sebuah portal berita memetik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai berkata: “Sekiranya Najib masih kekal sebagai ahli Parlimen, apakah ini bermakna dia boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Jika dia menang, dia akan menjadi ahli Parlimen lagi. Apakah ini bermakna dia boleh jadi Perdana Menteri?”
Ada pengamal undang-undang yang berbeza pendapat. Menurut mereka, walaupun status Najib sebagai ahli Parlimen kini kekal kerana kehilangan kelayakannya itu akan hanya berkuat kuasa selepas 14 hari keputusan rayuan diumumkan. Namun, sabitannya tidak diketepikan (the conviction was not vacated) dan oleh yang demikian, dia tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Polemik di atas membuktikan selagi suatu isu undang-undang itu belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah paling atas di negara ini, ia akan terus mendapat pentafsiran yang berbeza.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










