Terima kasih sukarelawan - Utusan Malaysia

Terima kasih sukarelawan

BANTUAN sukarelawan bukan sahaja dapat mengurangkan beban agensi kerajaan tetapi lebih penting lagi dapat meringankan kesengsaraan mangsa banjir. – UTUSAN/SYAWAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIBAH banjir besar melanda beberapa negeri termasuk yang luar jangka di Lembah Klang dilihat berjaya mencetuskan semangat kesukarelawan dan kebersamaan luar biasa dalam kalangan anggota masyarakat dari seluruh pelosok negara. Walaupun tanggungjawab utama membantu mangsa bencana alam ini terletak di bahu kerajaan melalui pelbagai agensi yang ada, namun usaha dan inisiatif spontan dan pantas dalam kalangan sukarelawan cukup membanggakan.

Kebanyakan daripada mereka yang bertindak pantas ini terdiri daripada orang perseorangan dan pelbagai persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disusuli sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, swasta serta pelajar institusi pengajian tinggi.

Apa yang dapat kita lihat, kelompok sukarelawan ini terus bertindak begitu pantas demi menyelamatkan mangsa banjir tanpa menunggu sebarang arahan. Jelas sekali matlamat mereka hanya satu, iaitu segera bantu mangsa yang memerlukan.

Ada yang sanggup datang dari jauh misalnya utara Semenanjung untuk membantu mangsa di Lembah Klang dan Pantai Timur. Malah ada yang sanggup sewa pelbagai peralatan dan jentera seperti bot, kenderaan pacuan empat roda serta water jet untuk memudahkan tugas menyelamat mangsa, mengagihkan bantuan serta membersihkan kediaman. Ramai juga yang menyediakan bantuan makanan termasuk masak secara gotong-royong setelah menyedari mangsa kelaparan dan tiada makanan.

Antara kisah sukarelawan yang tular baru-baru ini membabitkan seorang lelaki dari Melaka, Azwan Omar yang segera mengambil cuti kecemasan untuk datang ke Shah Alam bagi membantu mangsa banjir. Kisah Azwan menggunakan kereta Viva miliknya untuk membawa sebuah bot ke lokasi banjir berbekal hanya RM50 serta berjaya menyelamatkan nyawa puluhan mangsa terperangkap dalam kediaman mereka mendapat pujian daripada warganet. Ini adalah antara contoh betapa ikhlas dan jujurnya sukarelawan dalam membantu mangsa.

Ironinya, semua jenis bantuan dihulurkan tanpa mengira latar belakang mangsa baik dari segi agama mahupun bangsa. Pokok pangkalnya, aspek ihsan dan kemanusiaan menjadi faktor pendorong utama yang menggerakkan naluri dan semangat kesukarelawanan mereka. Menarik lagi apabila sukarelawan dari pelbagai latar belakang dilihat berganding bahu dengan mengetepikan segala perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik.

Sikap prihatin dan peka dengan musibah serta penderitaan sedang dilalui oleh mangsa banjir juga dilihat menyuntik semangat ingin membantu golongan sukarelawan ini yang menaburkan khidmat dan keringat tanpa mengharapkan sebarang balasan, ganjaran mahupun penghargaan. Ringkasnya, musibah seperti ini berjaya menyatukan rakyat Malaysia.

Jelas sekali bantuan sukarelawan ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban agensi kerajaan tetapi lebih penting lagi dapat meringankan kesengsaraan mangsa banjir.

Kita harus akui, bilangan yang terjejas terlalu ramai dan di beberapa lokasi secara serentak menyebabkan pihak berkuasa juga tidak menang tangan untuk membantu mangsa secara optimum. Jadi, di sinilah kita nampak betapa signifikannya peranan sukarelawan ini yang dapat bergerak ke semua lokasi.

Harus diingat, keperluan setiap mangsa adalah berbeza, justeru kita perlu menyediakan apa yang mereka perlukan.

CUBIT

Satu lagi perkara yang menarik ialah golongan sukarelawan dan NGO ini tidak mengharapkan atau meminta peruntukan kewangan daripada kerajaan sebaliknya mereka bergerak sendiri dengan mengumpul sumbangan peralatan dan barangan serta dana. Pelbagai lapisan rakyat sanggup menghulurkan bantuan kerana turut rasa simpati dan ingin membantu mengikut kemampuan masing-masing.

Ini adalah satu sikap terpuji rakyat Malaysia yang wajar dibanggakan. Ironinya, setiap kali berlaku sebarang musibah seperti ini, ramai yang berlumba-lumba menghulurkan bantuan termasuk wang ringgit demi meringankan beban mangsa.

Pada hakikatnya musibah besar seperti ini berjaya menzahirkan semangat kesukarelawanan terpuji di samping semangat kekitaan yang tinggi, umpama cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Memasuki fasa pasca banjir, kita berharap semangat kesukarelawanan ini akan terus membara dan membakar semangat seluruh anggota masyarakat untuk terus membantu mangsa. Hal ini penting kerana kerja-kerja membersihkan kediaman dan membaik pulih segala kerosakan sedang bermula dan mangsa sangat memerlukan bantuan kita pada ketika ini.

Dalam konteks ini, tidak semua dalam kalangan kita ada kesempatan untuk turun padang membantu mangsa disebabkan pelbagai kekangan. Namun jangan lupa, kita masih boleh membantu mangsa dengan pelbagai cara lain, misalnya kita boleh membelikan pelbagai barangan keperluan dan serahkan kepada NGO untuk mengagihkan kepada mangsa. Selain itu, kita juga boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai mengikut kemampuan masing-masing supaya sukarelawan dapat mengagihkan sumbangan wang tunai di samping membelikan barangan keperluan. Pada masa sama, kita juga boleh berdoa agar mangsa terus tabah dan cekal harungi ujian ini serta dipermudahkan segala urusan mereka selepas ini.

Tuntasnya, musibah banjir besar sekali lagi membuktikan rakyat Malaysia cukup prihatin dan sangat mengambil peduli masalah serta kesengsaraan dihadapi orang lain sekali gus mencetuskan semangat kesukarelawanan yang tinggi. Semoga semangat seperti ini terus membumi dalam diri supaya kita sama-sama berganding bahu membangunkan negara dan melindungi anggota masyarakat yang lain.

Terima kasih para sukarelawan.

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×