TANGGAL 16 Mac 2020 akan terus diingati dengan pengumuman oleh kerajaan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dikuatkuasakan dua hari kemudian termasuk menutup pintu sempadan negara. Ini bermakna pada tarikh sama juga, kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik antara Johor dan Singapura untuk mencari rezeki perlu membuat keputusan wajar dan tepat dengan situasi diri mereka.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Sama ada memilih mengangkat bendera putih dan duduk terkurung bersama keluarga di tanah air sepanjang PKP, mereka juga dalam dilema untuk membuat pilihan berhijrah ke seberang tambak itu buat sementara waktu.
Tempoh sementara itu bukan sebulan dua tetapi memakan masa dua tahun apabila terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing. Si isteri berjauhan dengan suami, bapa pula terpisah dengan anak-anak atau paling tidak ibu merindui anak di perantauan.
Ketika itu, hanya dua pertimbangan terlintas dalam fikiran rakyat Malaysia yang bekerja di sana untuk membuat keputusan, pilih satu iaitu kerjaya atau keluarga. Ada yang awal-awal tidak sanggup berjauhan dan berpisah, terpaksa memilih berhenti kerja secara mengejut sebelum pintu sempadan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-
Singapura (Linkedua) dikunci rapat tepat pukul 12 tengah malam, 18 Mac 2020.
Namun, terdapat juga mereka yang dahulunya berulang-alik mencuba nasib tinggal di republik itu sebelum tidak sanggup meneruskan perjuangan dan memilih untuk pulang ke tanah air selepas beberapa bulan. Di tanah air, majoriti mereka memilih kerjaya sebagai penghantar makanan bermotosikal dan ada juga mencuba nasib menceburi bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Bagaimanapun, dianggarkan sebilangan besar rakyat negara ini terus bertahan mencari rezeki di sana meskipun terpaksa berdepan faktor perbelanjaan yang naik berlipat kali ganda berbanding berulang-alik setiap hari. Jika dahulu mereka hanya perlu sediakan wang untuk bayar petrol dan makan tengah hari, kini perbelanjaan merangkumi sewa bilik, makanan untuk sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan kos-kos harian lain yang turut menjadi faktor pengembara ‘angkat tangan’ untuk tinggal di sana.
Ada yang berkongsi cerita, terpaksa menggantung sementara tabiat menyimpan wang seperti biasa dilakukan Mohamed Zaki Samsudin, 35, kerana dia dahulu hanya berbelanja sekitar SGD200 sebulan untuk perbelanjaan minyak motor, makan tengah hari dan Permit Masuk Kenderaan (VEP).
“Kini perbelanjaan saya meningkat kepada lebih SGD1,000 sebulan untuk perbelanjaan harian termasuk sewa bilik bersama dua rakan lain. Duit belanja juga saya sekat untuk tidak berlebihan, cukup untuk makan dua kali sehari. Jika saya bekerja balik ini pun terkesan, pasti ada yang lain lebih teruk,” ujarnya.
Bagaimanapun, pekerja dalam bidang minyak dan gas di sebuah syarikat di Singapura itu antara yang bersyukur dengan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura bermula 29 November lalu apabila dapat pulang tanpa dikuarantin.
KEJUTAN
Dengan cara itu sahaja, Mohamed Zaki dan ribuan rakyat Malaysia lain yang pulang bercuti sementara dengan menaiki bas atau kapal terbang dapat mengubat rindu bersama keluarga selepas sekian lama hanya berhubung melalui panggilan video atau mesej. Detik melangkah masuk ke pintu rumah masing-masing, perasaan rindu sesama mereka terlerai dan tidak kurang juga yang membuat kejutan apabila pulang tanpa memaklumkan awal-awal demi mahu membahagiakan ahli keluarga.
Jika tanpa VTL, sudah pasti tidak ramai yang berpeluang untuk kembali ke tanah air buat seketika kerana faktor tempoh kuarantin dan kos proses itu yang tinggi sebelum ini menjadi penghalang untuk mereka menatap wajah tersayang. Walaupun dihadkan hanya kira-kira 1,440 sehari bagi peringkat awal VTL, mereka tetap sabar menunggu giliran untuk pulang bercuti kerana tidak boleh menggunakan medium pengangkutan lain termasuk kenderaan persendirian buat masa ini.
Kini harapan setinggi-tinggi gunung diletakkan agar pintu sempadan negara dibuka semula untuk ulang-alik harian seperti berpuluh tahun lalu kerana bukan sahaja pengembara yang berada di Singapura, bahkan yang terpaksa berhenti kerja juga mahu kembali ‘bermandi’ hujan emas di sana. Rata-rata bekas pekerja Malaysia di sana yang ditemui akan memberi satu jawapan sama: “Kami tidak kisah menempuh kesesakan setiap hari seperti dahulu, asalkan dapat bersama keluarga di samping meneruskan kerjaya di Singapura.”
Perkara itu juga mungkin antara yang diambil kira kerajaan kedua-dua negara sebelum mencapai kata sepakat membuka semula sempadan di bawah VTL yang lebih longgar berbanding skim-skim lain sebelum ini.
Tanpa kerjaya, mungkin keluarga merana tetapi tanpa keluarga juga mungkin kerjaya tidak bermakna. Dilema antara keluarga dan kerjaya itu pasti bukan sahaja dihadapi rakyat Malaysia di Singapura tetapi sesiapa sahaja yang melalui fasa perhubungan jarak jauh walaupun dalam negara.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.










