RAMAI dalam kalangan kita tidak menyedari mengenai Perkongsian Kerajaan Terbuka atau Open Government Partnership (OGP) yang dilancarkan pada 2011 oleh lapan kerajaan pengasas – Brazil, Indonesia, Filipina, Norway, Afrika Selatan, United Kingdom (UK), Mexico dan Amerika Syarikat bagi menyediakan platform dan peluang antarabangsa untuk mewujudkan proses kerjasama di antara organisasi masyarakat sivil dan kerajaan.
Hari ini terdapat 79 negara telah mengambil langkah melibatkan masyarakat sivil dalam usaha meningkatkan prestasi, mendapatkan komitmen konkrit daripada kerajaan untuk bersikap lebih terbuka dan memupuk ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi. Ia juga bertujuan mengukuh dan menambah baik tadbir urus, memerangi rasuah, perubahan iklim, menambah baik kesihatan, pendidikan, memanfaatkan teknologi baharu dan kritikan perkhidmatan awam yang lain serta menangani cabaran lama tadbir urus.
Situasi banjir dalam negara menunjukkan tidak ada penyelarasan di antara agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil yang menyebabkan kelewatan membantu mangsa. Perkongsian pintar yang diselaraskan dengan baik antara kedua-dua sektor swasta dan kerajaan akan mempercepatkan sistem penyampaian dan mengurangkan kemusnahan disebabkan bencana.
Jika Malaysia menganggotai OGP, masalah banjir dapat diatasi dengan lebih sempurna. OGP ini memimpin melalui pengalaman dan membantu masyarakat sivil untuk berkongsi amalan terbaik, mengajukan pengetahuan pakar untuk dipertimbangkan semasa kerajaan membuat keputusan. Ia dibentuk untuk memberi idea bagi menyediakan bantuan teknikal untuk menyokong kapasiti dan institusi.
Sebagai contoh, pakar-pakar OGP membantu dalam menghadapi banjir besar di UK menggunakan data kerajaan untuk mencipta pelbagai aplikasi kegunaan mangsa banjir.
Satu lagi senario, Belanda juga menggunakan big data untuk meningkatkan kawalan banjir dan pengurusan seluruh sistem pengurusan air. Belanda kini mengekalkan salah satu sistem air yang canggih di dunia dan dipantau rapi. Ia perlu memandangkan lebih separuh daripada rakyat Belanda tinggal di kawasan terdedah kepada banjir dan mempunyai sejarah banjir yang mengerikan.
Melalui OGP, audit penyertaan rakyat dilaksanakan di Filipina merupakan satu inisiatif yang boleh digunakan di Malaysia. Negara itu menggunakan maklum balas rakyat dalam perkhidmatan awam seperti kawalan banjir yang telah melumpuhkan sebahagian Manila beberapa tahun lalu.
Menyertai OGP akan mengubah sifat dan mewujudkan hubungan lebih sinergi dan formal di antara kerajaan dan masyarakat sivil di Malaysia, sambil membenarkan masyarakat sivil mengekalkan kebebasan mereka. Kedua-dua pihak boleh bekerjasama membangun pelan tindakan nasional dan mereka juga akan berganding bahu antara satu sama lain untuk memantau pelaksanaannya.
Apa yang berlaku di negara ini walaupun ada hubungan kerajaan dengan msyarakat sivil, tetapi ia masih tidak teratur, informal dan kadangkala tangkap muat sebarang NGO yang kurang wibawa dan ada kepakaran semata-mata memenuhi kuota jawatankuasa sahaja.
Salah satu prinsip pengasas OGP ialah tiada satu institusi sama ada kerajaan atau organisasi mempunyai monopoli ke atas sesuatu idea atau inovasi. Semua pihak mempunyai sesuatu yang manfaat untuk dikongsi dan dipelajari.
Untuk menjadi dan layak menyertai OGP, setiap negara perlu bekerja dalam empat bidang, iaitu ketelusan fiskal, akses kepada maklumat, pendedahan berkaitan pegawai awam yang dipilih dan pegawai kanan serta penglibatan rakyat. Kerajaan melaksanakan dengan baik di kebanyakan bidang kecuali akses kepada maklumat.
Apabila kerajaan menyertai OGP, mereka mesti menyokong deklarasi dan komited kepada prinsip- prinsip berikut:
-Menggalakkan keterbukaan ketersediaan maklumat mengenai aktiviti kerajaan;
-Melibatkan rakyat dalam membuat keputusan;
-Melaksanakan piawaian tertinggi integriti profesional melalui pentadbiran;
-Meningkatkan akses kepada teknologi baharu untuk keterbukaan dan akauntabiliti.
Kerajaan mesti bersedia untuk mengadakan mesyuarat rasmi secara tetap dan teratur dengan masyarakat sivil bagi menggalakkan penciptaan pembaharuan khusus serta mewujudkan kepercayaan di antara menteri dan penjawat awam peringkat tertinggi bagi membincangkannya.
Menurut bekas Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mereka yang berada dalam kerajaan adalah sangat penting untuk meneruskan hubungan sihat dengan kumpulan yang boleh menjadi ‘rakan kritikal’ mereka.
Rakan kritikal ini mungkin mempunyai pandangan yang bertentangan mengenai dasar tertentu kerajaan. Namun, hujah dan kritikan mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana mereka bersuara dengan kewibawaan, memberikan kritikan serta pandangan kritis dan konstruktif selain mempunyai alasan dan tidak retorik semata-mata.
KEPENTINGAN RAKYAT, NEGARA
Apabila bekas menteri Cabinet Office Paymaster General UK, Francis Maude membincangkan mengenai pembaharuan dalam perkhidmatan awam, ketelusan dan banjir di negara itu semasa mesyuarat OGP di Dublin, beliau menyatakan perkara berikut: “Perkongsian OGP yang saya sangat bangga menjadi sebahagian daripadanya adalah negara sedang mengubah cara melihat dan melakukan keterbukaan. Kami semua telah melaksanakan komitmen yang bermakna disokong oleh beberapa tindakan yang sukar dan praktikal.
“Dan ketelusan semakin dilihat ketara serta boleh diukur dengan kesan langsung kepada kehidupan masyarakat. Saya telah mengatakannya sebelum ini dan saya akan menyatakan sekali lagi – ketelusan ialah idea yang sudah tiba masanya.”
Penglibatan kerajaan dengan masyarakat sivil perlu diinstitusikan dengan menyertai OGP, strategi yang diperbaharui, pendekatan berasaskan kebenaran untuk memastikan semua program negara ditadbir urus secara konsisten, teratur dan koheren. Ini akan menjadi medan untuk menang cepat, kemenangan yang paling penting – rakyat.
DATUK Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah – Malaysia Chapter.










