Merancakkan sosial, ekonomi serantau - Utusan Malaysia

Merancakkan sosial, ekonomi serantau

ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) dan Lee Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara Malaysia-Singapura pada 29 November lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH melakukan lawatan tiga hari ke Indonesia dari 9 hingga 11 November, komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala dengan negara-negara jiran ASEAN diteruskan lagi melalui lawatan sehari ke Singapura, 29 November lalu.

Seperti dinyatakan oleh Ismail Sabri dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sebagai jiran terdekat, hubungan erat antara Malaysia dan Singapura amat penting di mana libat urus pelbagai peringkat yang lebih aktif dan kerjasama lebih rapat pastinya adalah jalan ke hadapan untuk kedua-dua buah negara.

Lawatan Ismail Sabri ke Singapura melalui Tambak Johor yang disambut Hsien Loong di Woodlands Checkpoint adalah penting sekali kerana ia merupakan sebahagian daripada pembukaan secara bertahap sempadan kedua-dua negara bagi membolehkan perjalanan antara rakyat masing-masing yang terhenti sekian lama sejak pandemik Covid-19 melanda dunia berlangsung semula.

Seperti di Indonesia, lawatan Ismail Sabri ke Singapura turut diiringi Menteri-Menteri Kabinet iaitu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. Dalam lawatan ini, Ismail Sabri dan Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara yang memberi ruang kepada rakyat di kedua-dua belah tambak yang terpaksa berjauhan dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bersatu semula dengan insan-insan tersayang.

Pada peringkat permulaan, VTL darat hanya dihadkan kepada 1,500 orang pengembara setiap hari melalui pengangkutan bas terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura serta penduduk tetap (PR) dan pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Lebih penting lagi, pelancaran kedua-dua VTL membolehkan pengaktifan semula aktiviti sosial dan ekonomi rentas sempadan yang pastinya memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negara yang saling bergantung antara satu sama lain di peringkat individu mahupun negara dalam usaha mencapai kemakmuran bersama.

Keputusan membuka secara berperingkat sempadan darat dan udara antara Malaysia dan Singapura ini pastilah positif sekali kerana ia akan merancakkan kembali aktiviti sosial dan ekonomi kedua-dua negara serta menghidupkan semula sektor perhotelan, pelancongan dan restoran bukan sahaja di Johor tetapi juga negeri-negeri lain di Malaysia.

ESAK TANGIS

Sebab itulah kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk melaksanakan beberapa langkah tambahan membabitkan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura, iaitu:

Memasukkan semua kategori pengembara untuk VTL darat tertakluk kepada keperluan kesihatan yang ditentukan oleh kedua-dua negara.

Memperluaskan VTL darat kepada laluan perkhidmatan bas tambahan melalui Link Kedua, kereta api yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan kenderaan persendirian seperti motosikal dan kereta (secara berperingkat).

Mengarahkan pegawai dari kedua-dua negara merangka langkah-langkah bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan melalui udara antara Singapura dan destinasi-destinasi seperti Pulau Pinang, Pulau Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Sesungguhnya pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura ini merupakan satu mercu tanda besar dalam sejarah pentadbiran Ismail Sabri bermula 20 Ogos lalu.

Saya sendiri berasa amat terharu sekali melihat dalam pelbagai media massa ada foto dan laporan esak tangis rakyat Malaysia bila dapat bersua kembali insan-insan tersayang yang telah lama terpisah.

Ia adalah kesinambungan kepada kegembiraan rakyat Malaysia menyambut pengumuman Ismail Sabri bahawa mereka dibenarkan untuk merentas negeri pada 11 Oktober sebelumnya setelah peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus yang membolehkan mereka berjumpa insan-insan tersayang dalam negara.

Dalam konteks negara pula, walaupun kali ini tidak ada memorandum persefahaman yang dimeterai antara kedua-dua pihak, tetapi amat penting sekali kedua-dua Perdana Menteri menyatakan komitmen mereka untuk menyambung kembali secepat mungkin kerja-kerja membabitkan mekanisme dua hala sedia ada di peringkat kementerian dan pegawai bagi memastikan kerjasama pelbagai aspek dan isu-isu belum selesai berada di landasan yang betul.

Salah satu daripada mekanisme ini adalah Pemukiman Tahunan Pemimpin membabitkan kedua-dua Perdana Menteri yang tidak dapat dilaksanakan sejak dua tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan dijangka diadakan di Singapura pada suku pertama tahun depan dengan Ismail Sabri sendiri sudah menyatakan persetujuan untuk menghadirinya.

Seperti diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, eksport Malaysia berkembang 25 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021 berbanding tempoh sama tahun ini. Begitu juga import yang mencatatkan pertumbuhan dua angka, 21.8 peratus dengan Singapura menjadi antara negara penyumbang utama kepada peningkatan eksport dan import ini.

Data yang ada, di mana nilai eksport Malaysia ke Singapura bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu adalah 14 peratus daripada nilai eksport keseluruhan (RM140,573 juta daripada RM1,003,748 juta) dan nilai import bagi tempoh sama adalah 9.4 peratus daripada nilai import keseluruhan (RM75,530 juta daripada RM801,173 juta) menjelaskan bahawa saling memakmurkan adalah dasar terbaik.

DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×