Kikis stigma hasil cukai tiris - Utusan Malaysia

Kikis stigma hasil cukai tiris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SEBAIK sahaja dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang baharu pada 19 Oktober lalu, DATUK MOHD. NIZOM SAIRI menganggap pelantikan tersebut sebagai amanah berat dalam mengemudi agensi penting yang bertanggungjawab memastikan kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi menjamin kelancaran setiap program pembangunan negara.

Berpengalaman selama 37 tahun dalam agensi itu sendiri, Mohd. Nizom dilihat individu tepat yang arif dalam bidang percukaian langsung merangkumi operasi percukaian, pematuhan dan pungutan cukai, percukaian antarabangsa serta latihan percukaian.

“Untuk rekod, kami berjaya meningkatkan kutipan hasil melebihi RM100 bilion setiap tahun sejak 2011 sehingga kini.

“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat cemerlang berbanding tahun-tahun sebelumnya,” kata lulusan ijazah sarjana dari Lawrence Technological University, Amerika Syarikat ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN: Apa strategi LHDN bagi pematuhan cukai oleh orang ramai?
MOHD. NIZOM: Kami sentiasa merangka strategi bagi memudahkan pematuhan cukai secara sukarela berteraskan inovasi dengan memanfaatkan sumber sedia ada dan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Antaranya memudahkan urusan pembayar cukai dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian dan digital di bawah inisiatif Go Digital for Future Services. Sehingga kini, 28 perkhidmatan dalam talian ditawarkan dan enam aplikasi kepada pelanggan khususnya pembayar cukai.

Melalui sistem MyTax yang merupakan pusat gerbang maklumat dan pusat sehenti bagi pembayar cukai, mereka boleh mengakses maklumat seperti transaksi lejar, status bayaran balik, potongan cukai bulanan, jadual ansuran CP500 dan status Sijil Penyelesaian Cukai (SPC). Ini termasuk perkhidmatan e-Filing, ByrHasil, e-Daftar dan lain-lain.

Sempena sambutan Hari Inovasi dan Integriti pada 1 November lalu, LHDN melancarkan e-Janji Temu dan Sistem e-Daftar Niaga Kuching yang boleh dicapai di https://janjitemu.hasil.gov.my/ iaitu sistem permohonan janji temu secara dalam talian untuk hadir ke kaunter meliputi semua pejabat dan cawangan termasuklah di Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) demi memberikan perkhidmatan berkesan, menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja.

Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan merangkumi percukaian, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Pendaftaran Perniagaan (Kuching, Sarawak).
Sistem e-Daftar Niaga Kuching pula membolehkan proses pendaftaran, kemas kini, bayaran dan lain-lain urusan melibatkan lesen perniagaan di Kuching, Sarawak secara dalam talian.

Selain itu, LHDN meningkatkan pemahaman dan kesedaran cukai dalam kalangan rakyat melalui sesi libat urus dan pemantapan aktiviti pendidikan cukai untuk mendapatkan maklum balas secara terus demi menghasilkan polisi percukaian dan perkhidmatan terbaik serta berkesan.
LHDN turut menyediakan Gerbang Pendidikan Percukaian melalui platform Eduzone di portal rasmi www.hasil.gov.my yang mengandungi pelbagai risalah dan artikel berkaitan percukaian.

Pematuhan cukai melalui pengaplikasian teknologi Big Data, Hasil PowerData (HPD) juga dilaksanakan. Dengan cara ini, maklumat pembayar cukai dari pelbagai sumber dapat diseragamkan dengan hanya satu klik. Proses pengumpulan dan pengurusan maklumat dalam Gudang Data ditambah baik keupayaannya sesuai dengan pembangunan persekitaran Big Data & Advanced Data Analytics sekali gus membolehkan keputusan dibuat lebih tepat dan berkualiti ke arah meningkatkan kutipan cukai.

Bagi 2021, kerajaan membuat unjuran kutipan cukai sebanyak RM174.4 bilion. Apa cabaran utama LHDN untuk mencapai sasaran ini?
Angka ini merupakan unjuran hasil cukai keseluruhan merangkumi cukai langsung dan tidak langsung. Untuk cukai langsung, sasaran awal ialah RM147 bilion pada tahun ini.

Namun, berdasarkan senario ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19, kerajaan melakukan kajian semula dan menetapkan sasaran kutipan cukai langsung baharu iaitu RM132 bilion.

Cabaran utama LHDN adalah untuk mengikis tanggapan negatif orang ramai termasuk pembayar cukai yang enggan menjalankan tanggungjawab mereka kerana stigma hasil cukai ini lebih kepada ketirisan berbanding manfaat.

Namun kita juga perlu sedar, jasa cukai ini tetap besar dan berjaya membangunkan negara sehingga hari ini. Maka untuk mengubah stigma ini, aspek ketelusan dan kejujuran dalam membelanjakan pendapatan negara mestilah sentiasa menjadi amalan setiap agensi kerajaan.

Insya-Allah, dengan gerak kerja secara berpasukan dan tersusun, saya yakin sasaran RM132 bilion yang ditetapkan kerajaan dapat direalisasikan.

Bagaimana aspek operasi penguatkuasaan cukai seperti audit dan siasatan?
Sebagai sebuah agensi yang mentadbir cukai langsung, aktiviti penguatkuasaan sememangnya menjadi aktiviti teras dan rutin. Sistem percukaian Malaysia adalah berdasarkan Sistem Taksir Sendiri (STS) di mana pembayar cukai perlu mengisytiharkan pendapatan, mengira cukai pendapatan yang dikenakan, mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan membuat bayaran yang sepatutnya.

Asas dan tunjang utama kejayaan kepada sistem ini adalah pematuhan secara sukarela terhadap undang-undang dan peraturan percukaian. Namun, sukarela tidak membawa maksud pembayar cukai boleh memilih sama ada mahu membayar cukai ataupun tidak. Sebaliknya, ia adalah dorongan atas kesedaran sendiri untuk menjalankan tanggungjawab mengisytiharkan pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Sehubungan itu, aktiviti audit dan siasatan cukai akan kekal sebagai mekanisme semak dan imbang dalam memastikan kejayaan STS sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara dan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh.

Sebagai menjamin ketelusan dalam melaksanakan prosedur audit dan siasatan, LHDN menyediakan Taxpayer Roadmap dan pelbagai rangka kerja berkaitan boleh diakses orang ramai melalui portal www.hasil.gov.my untuk rujukan.

Sejajar itu, tindakan audit dan siasatan dilaksanakan lebih berkesan dan memberikan keselesaan kepada pembayar cukai. Misalnya bagi pembayar cukai syarikat yang mempunyai banyak anak syarikat, semakan menerusi audit yang seragam dan serentak dilakukan berbanding kaedah sebelum ini yang hanya dibuat kepada syarikat induk.

Melalui cara ini, bukan sahaja isu-isu ketirisan cukai dalam kumpulan syarikat yang sama dapat dikesan, malah penemuan-penemuan audit tersebut akan membantu pembayar cukai mengambil tindakan pembetulan dengan segera sekali gus menghindarkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang pada masa hadapan.

Bagi tujuan ini, langkah awal yang diambil mulai 1 Januari lalu ialah melaksanakan pemusatan fail pembayar cukai bagi kategori syarikat tertentu dan pemencaran fail pembayar cukai bagi kategori Individu Berprofil Tinggi.

Namun, dengan mengambil kira senario ekonomi, sosial dan pandemik yang masih belum pulih sepenuhnya, LHDN perlu lebih peka dan berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan cukai.

LHDN perlu memberikan keutamaan kepada menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai agar mereka mudah melaksanakan tanggungjawab kepada negara. Meskipun begitu, ia tidak bermakna kita langsung tidak menjalankan aktiviti penguatkuasaan cukai, sebaliknya lebih berfokus dan sasaran memberikan kefahaman kepada pembayar cukai tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan berbanding terus menghukum dengan mengenakan penalti, menguatkuasakan perintah larangan ke luar negara, memohon notis kebankrapan dan sebagainya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2022 ada diusulkan pelaksanaan Cukai Makmur bagi syarikat yang memperoleh keuntungan luar biasa walaupun dalam suasana pandemik dan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) kepada individu berumur 18 ke atas. Apa rasional cadangan ini?
Pengenalan Cukai Makmur sebanyak 33 peratus secara one-off (sekali beri) akan dilaksanakan untuk tahun taksiran 2022. Ia terpakai kepada syarikat meliputi semua industri dengan pendapatan bercukai melebihi RM100 juta.

Dalam situasi pandemik, bukan semua syarikat atau perniagaan terjejas, sebaliknya masih ada syarikat mendapat manfaat dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Saya fikir ia tidak membebankan majoriti pembayar cukai kerana seperti yang dimaklumkan Menteri Kewangan baru-baru ini, tidak lebih 250 syarikat akan tertakluk kepada pengenaan cukai makmur ini.

Hasrat kerajaan adalah menggunakan hasil cukai tambahan secara one-off ini bagi membiayai pelbagai program pemulihan negara akibat kesan pandemik.

Selain itu, pengenalan TIN bukanlah cadangan baharu, sebaliknya dibentangkan dalam Bajet 2020 lalu dan sepatutnya mula dilaksanakan pada Januari tahun ini. Namun, atas sebab-sebab tertentu, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga selesai sesi libat urus dilakukan pada tahun ini.

Setelah sesi libat urus selesai, maka inisiatif ini sekali lagi dimasukkan dalam pembentangan bajet untuk mula dilaksanakan pada 1 Januari 2022 yang mana TIN kepada setiap orang yang mempunyai pendapatan kena cukai, setiap orang yang wajib mengemukakan Borang Nyata Cukai menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas.

Secara asasnya, penggunaan TIN akan diwajibkan kepada pembayar cukai untuk urusan seperti setem dokumen dan surat cara melibatkan pemilikan harta tanah, pindah milik saham dan pindah milik perniagaan dan borang permohonan perolehan kerajaan.

Apa mesej kepada orang ramai berhubung tanggungjawab pematuhan cukai?
Cukai merupakan kaedah perkongsian rezeki daripada golongan berada dan layak dikenakan cukai kepada golongan kurang berkemampuan. Melalui kutipan cukai, kerajaan berupaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang akhirnya limpahan ekonomi ini akan turut dinikmati rakyat dalam bentuk pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan.

Cukai adalah konsep daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat, justeru setiap rakyat hendaklah memainkan peranan agar setiap daripada kita menyumbang kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat seluruhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN