Ketika tengkujuh dia menghilang - Utusan Malaysia

Ketika tengkujuh dia menghilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANG masih kita boleh lihat dari kepala kita sendiri iktibar bencana banjir besar 18 Disember lalu ialah sebilangan Yang Berhormat masih berada di ‘tahap yang rendah’. Tidak sekadar dari segi penentuan dasar, tetapi kaedah melaksanakan suatu perkara.

Pandai main politik tak semestinya pandai memimpin dan pandai mentadbir. Untuk berdepan dengan pesaing politik mungkin tidak sesusah mana. Barangkali hanya perlu susun percaturan politik. Namun dengan rakyat, harus ada siasahnya.

Maka selalulah saya berpegang pada falsafah ini – harus cari dan dapatkan pemimpin yang bersifat elok dan bijak, bak pantun serangkap ini:

Kalau mencari tampang belimbing,
Cari di teluk, kedua di Cempedak,
Kalau mencari seorang pemimpin,
Cari yang elok, kedua bijak.

Semasa banjir besar seminggu lalu, kementerian tertentu agak ketara di mata rakyat tidak upaya laksanakan kerja sehingga melenyapkan rating keyakinan. Bukan tidak mahu berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir, tetapi soalnya ‘kalau sudah berjangkau dua hari duduk atas bumbung rumah’, apa pula kisahnya?

Bukan juga soal ‘tidak mahu update atau kemas kini’ kelibat ketangkasan anggota penyelamat pihak berkuasa kita, tapi biarlah rakyat yang amati dan menilainya. Bukankah ramai doktor dan jururawat kita yang menjadi unsung hero tular di media sosial tanpa mereka meminta-minta pun?

PENDUDUK terpaksa berlindung di atas bumbung sebuah surau di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor selepas rumah mereka dinaiki air, Ahad lalu. – IHSAN PEMBACA

GUNUNG BERAPI, TAUFAN
Kita tidak ada gunung berapi atau taufan bermusim. Dan acap kali kita dihidangkan pula dengan kecekapan anggota penyelamat menangkap ular menyusup dalam rumah dan sesekali dikejutkan dengan kemalangan jalan raya mengorbankan puluhan nyawa.

Maka kita pun bersyukur tidak melalui malapetaka alam sedahsyat itu dialami penduduk Indonesia dan Filipina. Tetapi masih juga kita belum mahu belajar sampai terus ‘dihantui’ kisah sebilangan menteri kurang cerdik serta pergerakan aset-aset kita belum mencapai tahap membanggakan di saat-saat memerlukan dan mendesak.

Semusim lalu, dalam pentadbiran 22 bulan, kita pernah dikejutkan dengan kritikan pedas terhadap prestasi banyak menteri. Lantas dicetuskan cadangan supaya ‘disekolahkan’ menteri-menteri berkenaan. Ia bukanlah sekolah dalam bentuk kelas, tetapi latihan itu mesti wujud.

Dalam banyak perkara memang ada lompangnya. Misalnya menteri tidak dapat membezakan antara dasar dengan perbuatan harian. Sebab itu berlaku perbuatan pelik-pelik, sehingga ada pentas siap mikrofonnya melancar sukarelawan banjir dan bagainya lagi.

Kita ada 24 jam satu hari, 365 hari setahun kali empat tahun, maknanya sebelum masa kempen pilihan raya, kita sudah berkempen. Bukan sahaja dalam media tradisional, tetapi juga media maya, bukan lagi alam nyata tetapi alam ghaib, semua kita terus berpolitik sehingga selepas pilihan raya pun berterusan politiknya.

Adakah itu yang kita cari, mahukan? Sebenarnya ramai yang pandai, tetapi tidak ramai yang bijak. Ramai yang dapat markah tertinggi matematik tetapi mereka tak berkebolehan mengira agihan hak dan kepentingan orang ramai. Pada zaman ini terlalu ramai yang menyebut perihal ‘memilih pemimpin yang berkualiti’. Kualiti apa?

Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’ tetapi disebut sifat-sifat terpuji. Dipilih oleh kerana mereka bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding dengan gelagat temolok sendiri sahaja.

CALON PILIHAN RAYA
Kepada parti-parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi, beringatlah. ‘Tidak lama lagi’ bukan bermaksud semata-mata tarikhnya dalam Februari, Mac atau April 2022. Sebab tarikh mandat kerajaan sedia ada memerintah berakhir 16 Julai 2023 pun termasuk ‘tak berapa lama juga’. Masa berlalu pantas.

Ya, beringatlah akan ujian yang anda pasti tempuh selepas Parlimen bubar nanti. Kerana demi untuk meraih satu undi ‘emas’ daripada seorang pengundi berdaftar sahaja, mungkinkah terpaksa ‘merangkak’?

Maka bolehlah mulai sekarang cuba-cuba tengok dan uji bakal calon-calon pilihan raya atau pemimpin di kawasan – atas kemampuan, kejujuran, pengalamannya, rekod khidmat, budi bahasa dan sumbangannya kepada parti. Setakat mana dasar calon boleh menang atau winnable candidate dapat dilaksanakan.

Yang kita rakyat mahukan hari ini ialah dia (calon dan partinya) tidak ada ideologi besar-besar. Dalam pengertian Islam, Syumul Wal Syamil, tidak ada satu konsep yang terlalu besar diumumkan oleh parti-parti berkenaan.

Tetapi dia tahu cara bagaimana menjadikan Malaysia ini negara maju. Dia nak bantu rakyat. Dan bantuan itu dan kerja itu sebahagian daripada amalan dia sejak daripada tok dia dulu dalam parti berkenaan, dan itu menjadi tradisi.

Yang jadi masalah adalah betul dia menang di situ, tetapi servis kepada kawasan, lawatan untuk khidmat bermasyarakat, tempat rakyat mengadu, rakyat pun tak pergi pada dia.

Sebab dia bukan tempat dirujuk. Rakyat melihat orang yang tempat dia mengadu adalah orang yang dia biasa nampak dan jumpa.

Ya, lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah tetapi ketika tengkujuh dia menghilang? Atau dia hanya pemimpin yang menyogok duit naik ke atas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya