PETALING JAYA: Ahli Parlimen perlu membahaskan perkara yang menjadi kepentingan kepada rakyat bukan membazir masa dengan berdebat atau membahas hal-hal politik.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Ahli Parlimen perlu membuang bendera ‘orang politik’ dan masuk ke Dewan Rakyat sebagai ‘orang legislatif dengan melihat semua ahli Parlimen sebagai kawan-kawan yang profesional.
Menurut beliau, ahli Parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan, perlu meletakkan dalam pemikiran masing-masing bahawa mereka bukan lagi orang parti, tetapi pembuat dasar yang bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Ahli Parlimen ketika di Dewan Rakyat kena sentiasa ikut peraturan yang digariskan dan mereka perlu fokus kepada hal-hal yang berkaitan dengan menghasilkan dasar atau Rang Undang-Undang (RUU) yang terbaik untuk rakyat dan negara.
“Ahli Parlimen perlu melayan semua sebagai saingan yang profesional yang tiada diskriminasi terutama membabitkan Ahli Parlimen pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia berkata, perbahasan ahli Parlimen adalah tidak berkualiti dan tidak berpelajaran yang hakikatnya ahli Parlimen tidak bersedia untuk berbahas dalam luar bidang mereka.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, kenyataan itu menunjukkan Johari kecewa dengan mutu dan kualiti serta perdebatan ahli Parlimen yang sepatutnya menjadikan sidang Dewan sebagai tempat membincangkan pandangan, menjana idea serta memberi alternatif bernas kepada kerajaan dalam merangka dasar-dasar bermanfaat untuk rakyat dan negara.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Mazlan Ali berkata, ahli Parlimen perlu memainkan peranan sebagai wakil rakyat kerana rakyat sentiasa memerhati tindak-tanduk mereka dan perlu menjalankan tugas yang baik.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan ahli Parlimen menggunakan pentas Dewan Rakyat sebagai mengkritik peribadi Ahli Parlimen lain berbanding membahaskan isu-isu yang ada kepentingan rakyat.
Katanya, dalam perbahasan, ahli Parlimen perlu mengkaji sesuatu isu dengan memberi statistik dan fakta-fakta sebenar bukan lebih kepada persepsi dan juga naratif politik berlebihan.
“Langkah yang boleh diambil untuk ahli Parlimen lebih berdisiplin adalah pihak ketiga dan rakyat perlu aktif ikuti perbahasan mereka.
“Sekiranya prestasi ahli-ahli Parlimen merundum, mereka boleh rekod dan bila tiba pilihan raya, mereka boleh memberitahu di mana-mana platform media sosial bahawa Ahli Parlimen berkenaan tidak laksana tugas dengan baik.
“Kedua, ketua parti juga memainkan peranan untuk mengingatkan ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti mereka supaya lebih berdisiplin dan prihatin dalam menjalankan tugas mereka. Sekiranya ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas, ketua parti boleh mengambil inisiatif untuk tidak memilih mereka dalam pilihan raya seterusnya,” katanya. – UTUSAN










