Mekanisme subsidi diesel dimaklum masa terdekat

Mekanisme subsidi diesel dimaklum masa terdekat

ANWAR Ibrahim melihat Pameran Era Pascanormal Madani ketika hadir merasmikan majlis itu di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mekanisme dan tarikh pelaksanaan penya­saran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberikan penjelasan berhu­bung perkara itu.

“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar kemudian akan ada tindakan susulan.

“Sebab itu saya bezakan perkara dasar dan titik bengik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal Madani, di sini semalam.

Selasa lalu, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel sekali gus dapat memberi penjimatan kepada kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.

Dalam pada itu, Anwar me­nemplak kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengajak Perdana Menteri agar turun ke pasar-pasar basah bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau setiap masa turun padang mendekati rakyat untuk melihat sendiri keluhan mereka berhubung masalah dihadapi.

“Kerja saya saban minggu, saya ke warung kecil, ke pasar, tiap kali sebelum jumaat tanya (rakyat) harga.

“Saya fikir dia elak jawapan parti itu dukung tauke besar,” katanya.

Sementara itu, berhubung dengan isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘parallel pathway’, Perdana Menteri berkaya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Terdahulu dilaporkan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Mengulas me­ngenai calon Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, Anwar berkata, calonnya sudah dikenal pasti.

“Proses pemilihan ketua baharu SPR itu telah dilakukan dan perlu mendapat perke­nan Yang di-Pertuan Agong. Tim­balan Pengerusi SPR tidak terlibat dalam proses pemilihan Pengerusi suruhanjaya itu kerana kerajaan mengikut pro­ses ditetapkan selama ini,” jelasnya.

Anwar juga turut diminta mengulas mengenai calon Yang Dipertua Dewan Negara dan beliau berkaya, ia akan ditentukan selepas berbincang bersama pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) esok.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pimpinan parti pada peringkat awal dan sete­rusnya pimpinan Sarawak selepas mengadakan kunjungan ke Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN