Sahabat Maktab, peluang jemaah tabur budi

Sahabat Maktab, peluang jemaah tabur budi

SYED Saleh Syed Abdul Rahman beramah mesra bersama Sahabat Maktab selepas majlis pelantikan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Bergelar jemaah haji bukan batas untuk berkhidmat, apatah lagi bagi seorang doktor yang ilmu dan pengalamannya amat ditagih ketika musim haji.

Bagi Dr. Nazil Nuhairi Ismail, 47, kepakaran dan pengalaman dalam bidang perubatan selama 23 tidak seharusnya ‘terhenti’ disebabkan pemergian ke Mekah untuk melaksanakan ibadah.

Sebaliknya, ia perlu diteruskan apatah lagi adanya peluang menerusi penyertaan sebagai Sahabat Maktab.

“Minat untuk menjadi Sahabat Maktab ini sejak berada di Mekah lagi. Ibadah haji bukan melibatkan ibadah khusus seperti membaca al-Quran atau solat. Berkhidmat juga satu ibadah yang sangat besar.

“Malah, kalau tengok dalam sirah pun ada kaum yang kerjanya menyantuni jemaah haji pada ketika itu. Ada yang bawa minuman dan ada juga yang jaga kebajikan. Justeru, ia juga satu ibadah besar. Apatah lagi apabila berkait rapat dengan kesihatan, maka lagilah besar,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Dr. Nazli Nuhairi , dia mula memohon untuk menjadi Sahabat Maktab bersama isteri Wan Nor Hasnita Wan Daud , 45, ketika tiba di Tanah Suci 18 Mei lalu.

Dalam pada itu, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, program Sahabat Maktab yang diperkenal sejak 2006 merupakan inisiatif untuk memberi peluang jemaah haji berkhidmat kepada jemaah yang lain.

Walaupun bilangan mereka tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan jemaah, kumpulan kecil ini menggunakan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam membantu jemaah lain.

“Terdapat tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang akan memberikan sumbangan tanpa sebarang imbuhan.

“Sahabat Maktab akan bekerjasama membantu petugas haji mengurus kelancaran aktiviti jemaah haji di maktab terutama ketika operasi Masyair.

“Sahabat ini dipilih dalam kalangan jemaah haji yang bersedia membantu Tabung Haji secara sukarela dan mempunyai sifat kepimpinan dan latar belakang mengurus yang baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN