PELANTIKAN Duta Besar Jepun ke Malaysia yang baharu, Katsuhiko Takahashi baru-baru ini menyuntik peluang dan potensi hubungan bilateral ke dimensi baharu dalam mengangkat impak serta pulangan berangkai kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi kedua-dua negara. Dinamika pertalian erat yang kekal efektif serta praktikal merentasi lapangan dan sektor meluas menyaksikan kepentingan kritikal hubungan dua hala ini perlu terus dipupuk dan dipertahankan.
Sejarah pulangan dari segi pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi khususnya mencipta lembaran perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan mobiliti sosial hasil daripada pemindahan dan pertukaran ilmu, kepakaran, modal serta rangkaian pelaburan komprehensif membolehkan dampak berangkai dirasai oleh sektor lain.
Hubungan ekonomi dan perniagaan berteraskan sektor elektrik dan elektronik khususnya serta bidang pembuatan, pembekalan, penjualan dan perkhidmatan yang dijana oleh kemasukan pelaburan bersasar dan berpandukan strategi pembangunan sejagat untuk jangka masa panjang menghasilkan limpahan kemajuan dan peningkatan keupayaan sosioekonomi setempat. Dalam merungkai dan menganalisa pulangan dan potensi impak pelaburan pihak luar, perkiraan secara langsung seperti jumlah modal atau bilangan pekerjaan yang bakal tercipta bukan faktor tunggal.
Peranan, strategi dan objektif masa depan, komitmen sumbangan kepada pembangunan masyarakat setempat serta hasrat konsisten untuk mempertahankan kemampanan dan kesinambungan industri tempatan dan alam sekitar menjadi pegangan dan kriteria.
Ini dicerminkan dari segi perkembangan perdagangan, pelaburan dan kemajuan industri kritikal. Walaupun sektor ekonomi, pendidikan, sosiobudaya, pelancongan serta hubungan sesama masyarakat terus mendominasi, hubungan erat kedua-dua negara ini memerlukan transformasi paradigma dan anjakan daya saing baharu.
Hubungan sosiobudaya dan masyarakat dalam jalinan berkaitan seperti pendidikan, perniagaan dan pelancongan bukan hanya perlu diteruskan tapi diberi anjakan perspektif dan nafas baharu berpandukan penyesuaian perubahan trend dan permintaan masa depan.
Kemelut pandemik Covid-19 serta pembangunan semula ekonomi mencipta ruang serta potensi menggunung dalam sektor kritikal yang akan menjadi medan penentu untuk memacu kepentingan dan kelangsungan kedua-dua negara. Di sebalik tirai ancaman dan cabaran bukan konvensional serta pergolakan pentas geopolitik rantau, dimensi ekonomi baharu berasaskan teknologi berimpak tinggi, ekonomi hijau serta teras ekonomi berpaksikan ilmu dan digital membuka takuk baharu.
Sebagai negara yang bakal menghadapi krisis populasi berumur dan peningkatan golongan baharu generasi Z serta generasi Alpha, Jepun dan Malaysia berdepan cabaran sama bagi memenuhi tuntutan dan keperluan perubahan demografi serta dampak berkaitan yang akan mengubah rubrik dan wajah penyusunan polisi ekonomi dan pembangunan.
PERTAHANAN
Usaha kedua-dua pihak perlu terus diperdalam untuk menerokai bidang baharu kritikal selain spektrum konvensional dan arena penting seperti aspek pertahanan dan keselamatan menjadi pentas yang masih kurang diliputi. Kerjasama pertahanan ini termasuk perkongsian kepakaran dan perisikan akan terus memainkan peranan penting.
Persaingan mutlak ke atas dominasi sumber asas kritikal masa depan terutama bidang semikonduktor, sumber mineral penting seperti rare earth dan sumber asli lain seperti minyak sawit dan getah menjadi antara faktor panggilan utama yang terus meletakkan Malaysia dalam radar kuasa-kuasa besar ini untuk terus mengorak langkah strategik bagi potensi dan kepentingan masa depan.
Jepun yang dahagakan sumber tenaga dan turut menerima tempias isu kelestarian tenaga dan penjanaan sumber tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui akan terus memasang hasrat menjana kerjasama lebih erat dalam bidang baharu ini dengan Malaysia.
Kelebihan yang ada pada negara kita dari segi kepakaran modal insan, kestabilan institusi kewangan, perbankan dan potensi industri tempatan, potensi dan bekalan sumber dan tenaga kritikal serta kedudukan geografi strategik menjadi nadi dan rencana utama untuk Jepun dan kuasa lain dalam memperluas percaturan futuristik.
Perencanaan bersasar dan tersusun ini untuk memastikan daya saing dan kelebihan dalam perlumbaan pengaruh kuasa dan kelangsungan dalam pentas rantau dan global yang semakin meruncing akan terus mencetus usaha kuasa-kuasa besar ini termasuk Jepun dalam memastikan hala tuju dan kekukuhan fabrik masyarakat dan daya saing ekonomi tidak terjejas.
Walaupun Jepun akan terus memperkukuh usaha untuk memperkasa hubungan dengan sekutu erat lama termasuk Malaysia, sejarah perjalanan hubungan yang terjalin lama ini diselami unjuran positif akan terus mekar dalam dekad dan abad akan datang sekiranya lonjakan perspektif dan pengunjuran baharu terus diutamakan. Malaysia sekian lama menjadikan Jepun sebagai contoh budaya yang tinggi dari segi disiplin, budaya dan etika kerja serta nilai berlunaskan dedikasi dan produktiviti holistik dalam memacu daya saing dan pembangunan kapasiti masyarakat.
Kini, Jepun terus mengorak langkah dan menyusun strategi sama dalam memperkaya jalinan dan pulangan bersama yang dapat mengangkat kecemerlangan dan kesejahteraan jangka masa panjang di sebalik cabaran pelbagai. Malaysia perlu terus bijak dalam memperkukuh serta merencana jalinan hubungan era baharu bertunjangkan impak positif kepada kedua-dua pihak demi kepentingan bersama.
Harapan disandarkan kepada Takahashi serta inisiatif strategik Malaysia untuk memacu penanda aras futuristik bagi kesinambungan pertalian erat kedua-dua negara.
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.










