Kenapa ada layanan berbeza? - Utusan Malaysia

Kenapa ada layanan berbeza?

DENYS Peleshok (kanan) menyatakan pandangannya mengenai warga asing yang sering mengambil kesempatan ke atas keramahan rakyat Malaysia kepada penulis (kiri), baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADUK naik junjung. Itulah pepatah yang sesuai diajukan kepada sebahagian golongan Karen yang semakin naik kepala di negara kita.

Saya ingin mengemukakan beberapa sebab utama yang menjadikan golongan kulit putih berasa begitu berkuasa dan angkuh sehingga berani melanggar undang-undang serta budaya sesebuah negara terutamanya di Asia tanpa rasa malu dan takut. Namun, memandangkan bangsa kita lebih gemar mendengar pandangan orang luar daripada anak tempatan sendiri, maka pada perkongsian kali ini, saya bawakan nasihat seorang mat salih berasal dari Ukraine yang rasa terpanggil untuk mengulas perihal sikap melampau sebahagian warga Malaysia dalam ‘menyantuni’ mat salih.

Denys Peleshok, 32, sewaktu ditemu bual berpendapat, sikap mengangkat mat salih dalam kalangan rakyat kita sebenarnya tidaklah begitu keterlaluan sekiranya dibandingkan enam, tujuh tahun dahulu.

“Rakyat Malaysia secara amnya ramah, itulah sebab­nya kadangkala keramahan mereka disalah anggap dan diambil kesempatan. Tetapi hakikatnya memang kita boleh perasan yang orang putih selalunya diberi perhatian lebih baik berbanding bangsa-bangsa lain.

“Nasihat saya, janganlah menyembah mana-mana bangsa, cukuplah dengan bersikap adil terhadap setiap orang tanpa mengira warna kulit dan penampilan mereka,” katanya.

Peleshok menjelaskan, perlu ada keseimbangan dalam melayan mana-mana warganegara atau bangsa kerana setiap budaya adalah unik dan mesti dihormati. Tidak sepatutnya ada budaya yang dilihat lebih superior (unggul).

Saya rasa agak aneh apabila Peleshok melontarkan nasihat sedemikian kerana bukankah majoriti kita yang beragama Islam ini sememangnya sudahpun mengetahui tentang kesalahan mengagung-agungkan sesebuah bangsa itu ditegah dalam agama?

“Sudah tentu ada negara yang lebih maju dari segi ekonomi, tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mencemuh atau memandang rendah terhadap mereka yang datang dari negara kurang membangun.

“Apatah lagi melayani mereka dengan buruk. Kita (orang asing) harus menghormati undang-undang di negara yang didiami sebagai tetamu,” ujarnya.

Ahli perniagaan Ukraine ini begitu berpegang teguh dengan prinsip untuk tidak berkawan dengan sesiapa yang mengambil kesempatan ke atas rakyat di negara ini, terutama yang bongkak dan tidak menghormati penduduk tempatan. Dia juga akan menasihati mereka supaya bersikap lebih bermoral.

Hari ini Karen daripada golongan mat salih tunjuk kepala. Esok, lusa mungkin kita dikejutkan pula dengan Karen dalam kalangan warga Arab. Pihak penguat kuasa pun janganlah bersikap dwistandard. Kalau warga kita langgar prosedur operasi standard (SOP), sikit bukan main lagi disamannya. Namun, bersikap lunak pula dengan mat salih sampai ada budi bicara. Bila ditekan dan tular, barulah nak bertindak. Bersikap adillah dalam melaksanakan tugas.

MENGELUH

Masyarakat kita mula mengeluh, marah dan kecewa dengan sikap golongan Karen di Malaysia. Malangnya, mereka tidak sedar, sikap menyanjung mat salih secara berlebih-lebihan itulah antara puncanya.

Negara jiran, Indonesia pun sudah masak dengan perangai sebahagian pelancong mat salih yang seperti tidak bertamadun ini. Pada Oktober lalu, media antarabangsa melaporkan kegusaran penduduk dan pemimpin Bali dengan kedatangan pelancong mat salih setelah pintu sempadan dibuka terutamanya golongan backpacker yang sering menyanggahi undang-undang.

Alasan kononnya kita melayan mereka dengan baik kerana ia sebahagian daripada budaya orang Timur yang bersopan-santun dilihat sekadar retorik kosong. Akui sahajalah yang kita memang suka dengan penampilan mat salih.

Jika tidak, mengapa pelancong asing lain yang tidak berkulit putih tidak mendapat layanan sama? Mengapa mereka dipandang jelik?

Sebagai seorang yang beragama Islam, tidakkah kita mengetahui sikap mengangkat sesebuah bangsa sangat bertentangan dengan ajaran Islam?

Dalam hadis diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, Nabi SAW bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ajam (yang bukan Arab), atau ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”

Saya sama sekali tiada apa-apa niat untuk menimbulkan kebencian terhadap golongan mat salih. Sama sekali tidak! Tetapi ia sekadar satu nasihat dan renungan agar kita dapat bersama-sama bermuhasabah diri dan memperbaiki sikap kita yang terkadang lari daripada garis panduan.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×