PERTAMA sekali, Persidangan Agung Tahunan Kelima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ahad ini, sesekali tidak berniat memberi amaran atau isyarat kepada mana-mana parti di dalam atau luar Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya meminta semua pihak bersikap terbuka terhadap aspirasi akar umbi yang menyuarakan pembaharuan dan perubahan kepada politik serta kerajaan.
Susulan suasana politik dan pentadbiran kerajaan yang berkecamuk sekarang, rakyat berasa muak dan tidak mahu lagi berada dalam lingkungan yang buruk serta mengecewakan itu. Rakyat bosan melihat perpecahan Melayu serta politiking kelas tiga yang penuh toksik dan berpanjangan.
Justeru, perwakilan akan membawa suara akar umbi bahawa penyatuan bangsa Melayu amat penting untuk bersama mengembalikan kestabilan politik negara. Walaupun di sudut sanubari akar umbi tidak menolak aspirasi, pengalaman dan keupayaan UMNO tetapi pada masa sama mereka mahu revolusi pembaharuan dan pembudayaan integriti yang didukung Bersatu dipergiatkan lagi bersama nilai-nilai Islamik yang disuburkan Pas dalam menjayakan penyatuan tersebut.
Kombo tiga parti Melayu ini sangat penting dan de facto kepada banyak perkara. Tetapi kombo Bersatu-UMNO-Pas mesti dibina dengan memasukkan elemen dan nilai baharu politik kontemporari yang dibawa Bersatu iaitu mendukung integriti, memerangi jenayah rasuah serta menentang penyelewengan kuasa dan gejala kleptokrasi.
Jadi, apabila Bersatu mengulangi ketegasan melaksanakan pembaharuan dan perubahan dalam politik serta kerajaan menerusi pentas persidangan kali ini, pihak-pihak lain jangan melihatnya dengan remeh, sekadar satu dogma atau berbentuk ancaman tetapi persaingan yang sihat dengan setiap parti menawarkan set pembaharuan kepada akar umbi masing-masing bagi memperkukuhkan landskap baharu politik nasional.
Maknanya, semua parti perlu menyumbang kepada proses pembaharuan dan perubahan landskap politik negara. Jadi, jika tidak ada keterbukaan dan iltizam politik, sukar untuk kita mengecapi impian itu. Proses membina semula politik ini juga bukan misi solo Bersatu tetapi mesti dilakukan bersama bukan sahaja semua parti politik malah jentera kerajaan, industri serta seluruh rakyat sebagai inisiatif nasional melalui cara masing-masing.
Mengimbau inti ucapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan, 4 Disember lalu, beliau menegaskan, landskap politik negara sedang melalui suatu proses perubahan yang amat signifikan. Antaranya, kerajaan yang didominasi hanya sebuah gabungan parti politik kini berubah dengan kemunculan gabungan parti politik baharu di peringkat nasional dan wilayah.
Pastinya dalam ucaptama, Ahad ini, Muhyiddin menampilkan perkara serupa tetapi dengan nada lebih tegas. Antaranya keruntuhan sistem parti dominan, tarikh penyatuan Melayu yang hampir luput, ketegasan PN menyokong kerajaan sehingga Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iktibar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta realiti runcing parti Melayu mendepani pengundi 18 tahun.
Masa telah membuktikan, parti dominan di kebanyakan negara yang sekian lama menguasai politik dan kerajaan untuk tempoh panjang akhirnya tumpas kepada parti atau gabungan yang mendukung slogan atau idealisme baharu. Kita tidak boleh lagi menganggap masa lalu akan menjamin masa depan kita selama-lamanya melainkan ia diiringi perubahan dan pembaharuan.
Persidangan kali ini juga pasti menjadi wadah mendengar saranan, kritik dan mencerna buah fikiran dari akar umbi mengenai keperluan Bersatu memperkemas serta memperkukuhkan pentadbiran di semua peringkat – ibu pejabat, bahagian, sayap serta cawangan. Mana-mana parti tidak boleh mengabaikan aspek ini kerana itu juga bermakna menafikan kepentingan akar umbi.
SRIKANDI, ARMADA
Mengambil pengalaman daripada gerak kerja jentera parti pada PRN Melaka baru-baru ini, pasti ada perwakilan termasuk sayap Srikandi serta Armada yang akan menyentuh pentingnya pengukuhan, ketangkasan, strategi serta keupayaan petugas mengendalikan jentera untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
Pasti juga ada perwakilan mengagumi dengan mengangkat PN sebagai gagasan yang mendukung nasionalisme secara sederhana walaupun diterajui anak pribumi. Ini dibuktikan menerusi sikap prihatin PN merentas semua kaum selain memberi ruang dan layanan saksama termasuk wanita dan golongan muda. Dalam Bersatu juga diwujudkan sayap bersekutu sebagai ruang untuk mereka berpayung dengan harmoni tanpa diskriminasi dan janggal.
Pucuk kepemimpinan Bersatu juga pasti akan menegaskan PN adalah yang terbaik. Ini diterjemahkan menerusi 71 ahli Parlimen dalam gabungan tersebut. Persidangan ini pasti menyatakan penghargaan atas sokongan generasi muda kepada PN sebagai sebuah gabungan parti seperti dizahirkan menerusi PRN Sabah dan PRN Melaka.
Justeru, parti-parti di luar PN jangan cepat-cepat mengklasifikasikan pencapaian Bersatu dan PN dengan cemuhan, momokan serta tohmahan melulu. Pun, jangan anggap peningkatan prestasi PN sebagai ancaman melainkan untuk mendorong mereka melakukan pembaharuan supaya akhirnya muncul senario baharu politik yang inklusif, lebih bersih dan dihormati.
Dalam konteks Johor, aspirasi prihatin dan mensejahterakan rakyat bukan sahaja dipertahankan PN malah ditunjangi oleh keperibadian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sentiasa menilai perkembangan politik dan memastikan kesejahteraan serta kepentingan rakyat tidak digugat orang politik. Baginda amat mengambil berat soal perpaduan Bangsa Johor sama ada dalam satu kaum mahupun antara kaum.
Persidangan ini turut menyaksikan perwakilan Johor membawa aspirasi akar umbinya yang mahukan Muhyiddin diangkat semula sebagai Perdana Menteri kerana keupayaan, integriti dan pandangan jauh beliau membawa pembaharuan kepada politik Malaysia.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ledang dan Ketua Penerangan Badan Pimpinan Bersatu Johor.










