HSR: Jangan ada terpinggir - Utusan Malaysia

HSR: Jangan ada terpinggir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang setuju, ada yang bantah berkaitan menghidupkan semula projek mega kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang dibatalkan pada Januari lalu dengan penalti dibayar kepada kerajaan Singapura. Yang membantah beri alasan kos pembinaan terlalu besar sehingga boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara pada masa kini.

Bagi yang setuju, seperti dijangkakan, projek ini akan memanfaatkan ekonomi tempatan dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan dalam industri pembinaan dan logistik serta pemindahan teknologi dan inovasi dalam industri kereta api berteknologi tinggi.

Mengikut laluan jalan raya, jarak antara Stesen Sentral Kuala Lumpur dan Pusat Pemeriksaan Woodlands adalah kira-kira 340 kilometer (km). Dalam kontak kereta api laju di luar negara seperti Shinkansen di Jepun, kelajuan maksimumnya ialah 320 km/jam. Ini bererti jika ada HSR, perjalanan antara dua stesen keretapi itu mengambil masa kira-kira 64 minit berbanding empat jam menerusi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Sistem rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terdiri daripada rel berkembar elektrik dari Padang Besar ke Gemas dan dari Gemas ke Johor (dijangka siap pada 2023) dan rel tunggal dari Tumpat ke Gemas melalui bahagian pedalaman Semenanjung (Laluan Timur). Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL) pula yang sedang dalam pembinaan adalah di bawah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL).

Projek ECRL yang dijangka siap pada 2026 adalah sejauh 665 km bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang melintasi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ringkasnya, rangkaian kereta api dalam negara meliputi wilayah Pantai Barat, pedalaman (Laluan Timur) dan Pantai Timur (ECRL).

Rangkaian keretapi ini disokong rangkaian lebuh raya di Pantai Barat (PLUS, Bukit Kayu Hitam-Johor Bahru; Lebuh Raya Pantai Barat, Banting-Taiping), Pantai Timur (Lebuh Raya Pantai Timur, Kuala Lumpur/Karak-Jabor (LPT1), Jabor-Kuala Terengganu (LPT2) dan Kampung Gemuruh-Pengkalan Kubor (LPT3) dan Lebuh Raya Tengah Utama berserta jalan raya bertaraf persekutuan dan negeri.

Namun, peranan rel cabang terpinggir daripada arus pembangunan dan perancangan infrastruktur berikutan projek mega HSR dan ECRL. Apa yang mendesak pada masa ini ialah akses rangkaian rel ke pelabuhan sekunder atau kecil untuk mengatasi masalah kesalinghubungan terakhir dengan pelabuhan darat berbanding pelabuhan premier seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang yang ada rangkaian rel utama KTMB.

Kedua-dua pelabuhan ini adalah pintu dagangan utama bagi pengimport dan pengeksport di wilayah Pantai Barat. Bagi Pelabuhan Pulau Pinang, ia juga pintu bagi pedagang di wilayah selatan Thailand yang mudah diakses menerusi Asian Highway-2 dan PLUS serta rel (Hatyai-Padang Besar-Butterworth) dari selatan Thailand, khususnya Songkhla dan Satun.

Pelabuhan sekunder seperti di Lumut, Port Dickson dan Tanjung Bruas tidak mempunyai akses kereta api ke pelabuhan darat kecuali menerusi jalan raya.

Pelabuhan darat yang lokasinya di laluan kereta api utama KTMB dan berhampiran estet perindustrian mempunyai peranan penting untuk memudahkan urusan logistik pelabur dan pedagang. Ia juga mengurangkan kesesakan pemungahan kargo untuk urusan eksport dan import di pelabuhan maritim.

IPOH

Rangkaian rel cabang adalah perlu bagi memudahkan akses ke pelabuhan sekunder terutama dengan pelabuhan darat seperti Pelabuhan Lumut dengan Terminal Kargo Ipoh, Pelabuhan Port Dickson dengan Pelabuhan Darat Nilai menerusi Stesen Kereta Api Seremban, dan Tanjung Bruas dengan Pelabuhan Darat Taboh Naning.

Pelabuhan sekunder di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka berperanan memajukan ekonomi negeri kerana masing-masing mempunyai kesalinghubungan dagangan dengan pelabuhan di Sumatera. Khususnya bagi pelabuhan di Tanjung Bruas, kesalinghubungan bukan hanya di Sumatera tetapi juga dengan pelabuhan di China, Jepun, Taiwan dan Thailand.

Dalam konteks pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), pembangunan rel cabang di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan wilayah Selatan Thailand adalah penting untuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan serta menyokong pembangunan negeri seperti

Pelan Induk NCER 2.0 (2016-2025) dan ECER 2.0 (2018-2025).

Sehubungan dengan NCER, adalah dicadangkan jambatan darat dari Pulau Pinang ke Songkhla dengan membina rel cabang dari Pelabuhan Songkhla-Hatyai-Bukit Kayu Hitam-Arau-Pelabuhan Pulau Pinang. Ini bererti di sebelah Malaysia, rel cabang perlu dibina dari Bukit Kayu Hitam ke Arau. Bukit Kayu Hitam sebagai hab logistik di wilayah utara Semenanjung dan keperluan untuk membina pelabuhan darat di Bukit Kayu Hitam bagi memudahkan urusan logistik ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan darat Pulau Pinang-Songkhla berperanan sebagai kesalinghubungan multimodal yang boleh menjimatkan kos logistik dan masa perjalanan berbanding menyusuri Selat Melaka dan Laut China Selatan.

SUNGAI KOLOK

Untuk ECER, perkhidmatan keretapi perlu dihidupkan semula antara Pasir Mas dengan Sungai Kolok (Narathiwat). Perkhidmatan kereta api ini beroperasi pada 1954 dan dihentikan (1982) untuk penumpang dan kargo (2003) berikutan aktiviti penyeludupan yang berleluasa dan faktor sekuriti.

Begitu juga laluan Pantai Barat KTMB yang menghubungkan Padang Besar dengan Hatyai. SKRL ialah rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pan-Asia yang sedang dibangunkan untuk menghubungkan Singapura, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan China.

Kesalinghubungan rel pada masa ini lebih menumpu antara bandar ke bandar. Kesalinghubungan terakhir merupakan isu utama dalam infrastruktur pengangkutan kereta api terutama dari bandar ke desa.

Pembinaan rel cabang akan meningkatkan kecekapan logisitik antara pelabuhan sekunder dengan pelabuhan darat. Akses ke pelabuhan sekunder menerusi pelabuhan darat akan menjadi faktor penarik kepada pelabur antarabangsa untuk melabur di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka serta di NCER dan ECER.

Akhir sekali, rel cabang ke pelabuhan sekunder adalah pelengkap kepada rangkaian rel utama KTMB dan ECRL dan menjadikan kesalinghubungan dalam negara adalah selanjar dan sebahagian daripada SKRL.

PENULIS ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan untuk Indonesia, Thailand dan Singapura (UUM-ITS), Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN