Graduan tak boleh cepat ‘koyak’ - Utusan Malaysia

Graduan tak boleh cepat ‘koyak’

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) buat pertama kali memperkenalkan Matlamat Pendidikan bagi melahirkan graduan bitara yang holistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan. – FACEBOOK UPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK negara dilanda wabak Covid-19 yang mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi, kita berhadapan pelbagai cabaran kompleks untuk mengekal dan mempertahankan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang dinikmati selama ini. Maka timbul persoalan, bagaimana kita boleh menggembleng kepakaran golongan graduan yang ada untuk membantu membangunkan semula ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat?

Data Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) menunjukkan hampir semua komponen kesejahteraan yang diukur terkesan disebabkan pandemik. Prestasi IKRM menurun sebanyak 2.1 peratus pada 2020 kepada 118.3 mata berbanding 120.8 (2019) di mana kedua-dua subkomposit kesejahteraan, iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial mencatatkan penurunan masing-masing 3.4 peratus dan 1.2 peratus.

Oleh itu, golongan graduan yang sentiasa menjadi harapan kita perlu memainkan peranan lebih signifikan bagi membantu membangunkan atau membina semula negara agar dapat pulih. Hal ini penting kerana kesan pandemik dijangka berlarutan untuk beberapa tahun akan datang.

Justeru, kita perlu lahirkan graduan bitara yang cemerlang dan lengkap serba- serbi bagi memenuhi aspirasi dan harapan rakyat serta negara. Bitara bermaksud tiada tara atau hanya satu-satunya. Ringkasnya, dalam konteks ini, bitara merujuk kepada ciri graduan yang tiada tolok bandingnya.

Mengambil kira cabaran hari ini dan masa hadapan, sudah tentu kita memerlukan graduan bitara yang memiliki ciri-ciri seperti berdaya saing, kuat mental dan fizikal, tidak mudah putus asa, kreatif dan sentiasa berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan sesuatu masalah, ada atribut keusahawanan serta memiliki jati diri dan semangat patriotisme yang kental.

Justeru, setiap institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melihat keperluan ini secara lebih serius dan menjadikannya sebagai agenda utama demi rakyat dan negara. Harus diingat, di samping melahirkan graduan yang memenuhi ekspektasi dan keperluan industri atau majikan, kita juga mempunyai tanggungjawab membentuk graduan menjadi warganegara bitara dan kental yang mampu mendepani apa jua cabaran mendatang.

Dalam hal ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, memulakan inisiatif dengan melancarkan Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang turut memberikan tumpuan khusus untuk melahirkan graduan bitara. UPM buat pertama kali juga tampil dengan penetapan Matlamat Pendidikan, iaitu melahirkan graduan bitara yang holistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan.

Dalam usaha untuk merealisasikannya, UPM menggariskan lima matlamat utama dalam membentuk graduan bitara. Diharap inisiatif khusus seperti ini boleh memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

MALU, TAKUT

Melahirkan graduan bitara sewajarnya menjadi agenda utama semua IPT kerana pada hari ini, kita masih bergelut dengan isu melibatkan graduan seperti jati diri, kesukaran menembusi pasaran kerjaya, kegagalan memikat hati majikan, keengganan menceburi bidang keusahawanan serta kadar pengangguran membimbangkan.

Ironinya, jika graduan memiliki ciri-ciri yang diperlukan, mereka pasti dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas tamat pengajian dan tiada keperluan untuk mengeluh mahupun merungut serta sekadar menunggu kerja mencari mereka atau memilih pekerjaan. Ini bukan sahaja dapat membantu membangunkan ekonomi diri dan keluarga tetapi boleh menyumbnag kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Misalnya pada hari ini, masih ramai yang malu, takut dan tidak mahu menceburi bidang keusahawanan walaupun ia menjanjikan peluang dan masa depan lebih baik daripada bekerja dengan orang atau sekadar makan gaji. Hal ini kerana ramai yang tidak yakin, takut gagal serta tidak berani mengambil risiko.

Para graduan juga perlu sedar dan mengambil iktibar di mana tatkala pekerjaan konvensional secara makan gaji terkesan akibat Covid-19, bidang keusahawanan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi penyelamat dengan menyediakan jalan penyelesaian signifikan dalam membantu golongan pekerja yang terjejas menjana pendapatan di samping turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

ASPIRASI

Dalam konteks ini, kita juga menyokong pelbagai inisiatif disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan khususnya berjiwa usahawan. Antaranya, KPT menghasilkan hampir 50,000 usahawan dalam kalangan pelajar serta melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu pada Februari lalu. Jadi, kita memerlukan graduan bitara yang boleh membantu merancakkan sektor ekonomi negara melalui penglibatan mereka secara aktif dan langsung dalam semua sektor ekonomi yang memerlukan sumbangan mereka.

Di samping itu, pada hari ini, negara kita juga berhadapan pelbagai masalah sosial dan politik di samping isu jati diri dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Maka kita berharap graduan boleh memainkan peranan untuk membantu menangani masalah sosial yang ada, menyumbang kepada amalan politik yang matang dan profesional serta membantu mengukuhkan jambatan perpaduan yang dilihat agak rapuh sejak kebelakangan ini.

Ironinya, masa depan negara banyak bergantung kepada kemampuan generasi muda khususnya graduan dalam memikul tanggungjawab dan amanah untuk meneruskan legasi kecemerlangan yang bakal diwariskan oleh generasi hari ini. Untuk itu, kita perlu melahirkan graduan bitara yang boleh bertindak aktif, agresif dan proaktif dalam mendepani segala cabaran mendatang.

Justeru, kita berharap semua IPT dapat membentuk dan melahirkan graduan bitara yang memenuhi aspirasi dan ekspektasi rakyat dan negara demi masa depan lebih baik.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN