KONSERVATIF dimaksudkan dengan mempertahankan adat, nilai dan lain-lain yang menjadi kelaziman atau tradisi dan tidak mudah menerima perubahan. Namun, istilah konservatif tidak wajar dikaitkan dengan pandangan kolot, lama atau lapuk.
Mereka yang bersifat konservatif sering berada dalam persekitaran kehidupan harmoni dan selamat. Dalam kata mudah, konservatif membawa makna suatu pendekatan sederhana, santun, hemah, berbudi. Tidak bersifat suka berkonfrontasi, tiada pula berkecenderungan untuk bermusuh-musuhan dan tidak gemar memburukkan atau memperlekehkan pihak lain secara keterlaluan.
Pihak yang menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu dikatakan membawa pendekatan konservatif. Penggerak utama parti berkenaan mengambil gaya menawan hati rakyat secara terbuka dan berterus terang.
Hasilnya, rakyat rasa selesa, tidak tertekan atau tidak berasa serba salah dalam membuat pilihan. Pendekatan mengetengahkan calon-calon muka baharu disenangi masyarakat. Menampakkan semangat cuba mencari pembaharuan dan sedia membuka peluang kepada mereka yang segar (fresh) dalam erti kata upaya tenaga serta bersih daripada sebarang permasalahan peribadi yang kurang disenangi masyarakat.
Cara berkempen pula tidak terlalu menjual janji sehingga membuat rakyat sangsi sama ada boleh dilaksana atau sebaliknya. Isu janji pilihan raya telah banyak membawa pengalaman yang memualkan masyarakat. Banyak janji ditabur, namun tidak pula ditunai apabila mandat sudah diberi.
Masyarakat berasa rimas, serabut dan bosan jika disogok dengan kata-kata kurang manis, gaya memikat keterlaluan termasuk menyebar kelemahan pihak lawan secara berlebih-lebihan, menyentuh hal-hal peribadi yang masih kabur kesahihannya semata-mata mahu meraih undi.
Mesej yang cuba disampaikan para pengundi pada PRN itu ialah berkempenlah secara sihat, segalanya biarlah berlandaskan elemen kenyataan yang sahih dan tepat, bukan rekaan. Juga tidak perlu dikaitkan dengan hal-hal spiritual yang meragukan seperti melibatkan malaikat tidak memihak kepada mana-mana kumpulan atau sesiapa.
Sifat konservatif tidak merangkumi mereka yang panas baran, suka melepaskan kata-kata dengan penuh geram berbaur marah dan dendam. Tidak juga mencakupi mereka yang suka bercakap besar, seolah-olah memiliki kuasa atau peluang yang luar biasa. Contohnya: “Kalau aku lakukan begini, semua akan musnah.”
DIASAK
Pada PRN Melaka, jelas para pengundi mahu mereka dibebaskan diri dalam membuat pilihan tanpa perlu diasak, diugut atau diperlekeh (underestimate) seolah-olah mereka tidak tahu memilih barangan asli atau tiruan. Isyarat yang mereka hantar ialah: “Kami sudah tahu dan kenal siapa dan parti apa.”
Amat sesuai jika konsep konservatif terus diamalkan sepanjang masa. Bukan sahaja di Melaka, mungkin juga di PRN Sarawak atau pada mana-mana pilihan raya. Apa yang pasti, konsep yang berlandaskan keikhlasan dan kebenaran itu sesuai pada sebarang musim dan suasana.
Istilah konservatif juga boleh dikaitkan dengan bersikap sabar. Misalnya, seseorang itu tidak mudah melenting apabila peribadinya diserang secara bertubi-tubi.
Sebaliknya, individu itu terus tabah dan tenang menghadapi apa yang disifatkannya sebagai cabaran biasa dalam kehidupan. Individu itu tetap yakin bahawa pada suatu ketika kemudiannya, segala tohmahan dan cacian akan berganti dengan kebenaran dan akan hadir duduk perkara yang jelas.
Sikap sedia bermuhasabah dan mencari kelemahan sendiri juga dikatakan menepati makna konservatif. Ramai yang tertarik dengan kenyataan seorang ahli jawatankuasa Pusat sebuah parti yang bertanding di beberapa kawasan tetapi semuanya kalah dengan teruk sekali sehingga banyak pula yang hilang wang pertaruhan.
Menariknya, tokoh itu tidak berminat memasang radar mencari kesalahan sesiapa atau mana-mana pihak ekoran kekalahan dialami, tetapi menyeru semua pihak dalam partinya bermuhasabah diri, mencari punca kelemahan sambil memikirkan jalan terbaik bagi menebus kegagalan.
Dalam konteks tadbir urus negara, konservatif boleh dikaitkan dengan konsep sederhana, salah satu daripada empat paksi utama yang berjaya mengekalkan Malaysia berada dalam suasana stabil, aman dan makmur. Pendekatan bersederhana menampilkan semangat sedia memahami dan menerima segala sesuatu mengikut lunas-lunas sesuai, berpandukan struktur dan sistem seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Pendekatan konservatif bertahan lama. Suatu pendekatan yang tidak ekstrem atau keterlaluan yang tentunya senang diterima umum pada bila-bila masa. Malah, boleh juga jika mahu dikaitkan pendekatan konservatif dengan tiga lagi paksi yang menjadi tonggak kestabilan dan kemakmuran negara, iaitu konsensus, inklusif serta adil saksama.
Tidak rugi kalau bercermat, tidak luak jika berjimat. Lebih tinggi melompat, lebih parah jika terjatuh!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










