Dedahkan murid ilmu berniaga - Utusan Malaysia

Dedahkan murid ilmu berniaga

APABILA murid didedahkan dengan ilmu keusahawanan sejak di peringkat sekolah rendah lagi, mereka akan lebih berkeyakinan untuk menceburi dunia perniagaan pada masa akan datang. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBACA catatan seorang usahawan muda yang mengakui minatnya dalam bidang keusahawanan mula berakar semenjak di bangku sekolah lagi, menyegarkan minda saya untuk terus mengenalinya.

Tulisannya menyebut: “Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya sudah berminat berniaga. Perniagaan pertama saya adalah menjual aiskrim kepada rakan-rakan sekolah. Ketika itu masih lagi sekolah rendah di Kuala Kangsar. Aiskrim yang macam mana?”

Dia seorang usahawan lelaki yang berjaya dalam bidangnya, menyambung tulisan tersebut. Katanya: “Aiskrim plastik (Aiskrim Malaysia)! Bermodalkan beberapa ringgit sahaja, dan membeli plastik aiskrim yang datangnya dalam bungkusan mempunyai gambar King Kong. Saya menggunakan kordial di peti sejuk arwah nenek, dan membancuh 2, 3 jenis perisa untuk dimasukkan dalam plastik tersebut dan mengikatnya. Pasti anda pun masa kecil-kecil dulu pernah merasa aiskrim sebegini, bukan?”

Akhirnya, dia sendiri merumuskan secara padu: “Mula dari situ, saya minat berniaga.”

Mengaitkan minatnya dengan pepatah Melayu yang menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya, adalah sesuatu yang tepat.

Sebenarnya, budaya keusahawanan sewajarnya dipupuk dalam kalangan murid sejak awal lagi iaitu bermula di peringkat sekolah rendah dengan memperkenalkan unsur perniagaan dalam pembelajaran mereka. Sama ada mengaitkan pelajaran atau melalui penceritaan guru bertujuan merangsang semangat untuk anak-anak kita.

Ia juga boleh dilakukan dengan memperkenalkan subjek keusahawanan. Apabila murid didedahkan dengan ilmu keusahawanan sejak di peringkat sekolah rendah lagi, mereka akan lebih berkeyakinan untuk menceburi dunia perniagaan pada masa akan datang.

Subjek keusahawanan akan mendedahkan murid tentang asas-asas pengurusan bisnes dan mampu menyemai minat untuk mereka berniaga pada usia muda. Sebagai contoh, kefahaman yang boleh diterapkan ialah tentang cara-cara mengira untung dan rugi dalam perniagaan.

Wujudkan perasaan ingin tahu merupakan terjemahan sikap positif yang perlu ada jika seseorang mahu menjadi usahawan berjaya.

Sekiranya seseorang mempunyai minat mendalam, hasil atau kesannya dilihat lebih optimum. Justeru, pendidikan keusahawanan hari ini perlu diberi perhatian serius dan merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat yang kreatif dan berinovasi.

Sebagai contoh, penerapan nilai keusahawanan itu diselitkan dalam mata pelajaran matematik yang dapat melahirkan pelajar sebagai pencipta kerja yang berpotensi dan bukan sekadar pencari kerja, sama seperti masyarakat sebelumnya.

KREATIF

Usaha membudayakan keusahawanan diteruskan di peringkat sekolah menengah dan sekolah teknik apabila pelajar diberi peluang memilih untuk mengikuti pendidikan perdagangan dan keusahawanan melalui mata pelajaran elektif. Sebenarnya, pendidikan keusahawanan hari ini perlu diberi perhatian serius dan merupakan komponen penting dalam menjana masyarakat yang kreatif dan berinovasi.

Bidang ini sangat signifikan dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan sama ada dari lepasan sekolah menengah, sekolah vokasional, teknikal atau lulusan institusi pengajian tinggi yang mampu memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat progresif dan berdaya maju.

Ingatlah, budaya keusahawanan merupakan satu set norma, kepercayaan dan amalan yang dikongsi oleh kumpulan yang lahir daripada proses pembangunan sikap dan personaliti usahawan untuk ke arah lebih maju dalam usaha dilakukannya.

Dalam memulakan sesuatu perniagaan atau penglibatan dalam keusahawanan, minat adalah sangat penting. Dengan minat, segala usaha akan disinergikan dengan sumber-sumber lain untuk menghasilkan kejayaan. Minat juga dapat membentuk golongan usahawan berusaha bersungguh-sungguh dalam bidangnya.

Pengaruh dan rangsangan daripada ibu juga berupaya membentuk anak sebagai personaliti usahawan yang akan mengikuti jejaknya. Ini diakui sendiri oleh seorang usahawan muda yang mana catatannya turut saya baca dan berjaya menghayatinya secara sungguh-sungguh.

Usahawan muda ini yang juga seorang wanita berjaya mencuri hati saya dengan kata-katanya: “Saya melihat kesungguhan ibu saya dalam membangunkan syarikat miliknya. Dahulu ibu hanya bekerja sebagai ketua eksekutif modal insan di syarikat lama.”

Seterusnya usahawan wanita muda itu menulis: “Namun, setelah merasakan ingin menceburi bidang perniagaan, ibu bekerja keras untuk berjaya. Oleh itu, saya ingin mengikut jejak langkah ibu saya.” Dan kini dia menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Saya juga melihat dan mengakui salah satu sumbangan besar dan penting dalam menggalakkan lahirnya usahawan ialah melalui koperasi sekolah. Kita kena akui penubuhan koperasi sekolah dapat membantu pelajar untuk memahami aspek perniagaan dengan mendalam.

Pelajar yang menyertai koperasi sekolah akan didedahkan dengan urusan jual-beli, pengiraan untung rugi, komunikasi berkesan untuk menarik pelanggan dan mengatur strategi jualan barang yang mampu meraih permintaan yang baik.

Penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat diaplikasikan ketika pelajar-pelajar mencari pengalaman berniaga di koperasi sekolah.

Pengalaman tersebut dapat membantu pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Pengalaman berniaga sewaktu menyertai koperasi sekolah amat bernilai untuk dibayar harganya.

Ia akan banyak membantu mereka apabila dewasa kelak dari segi keyakinan diri dalam perniagaan dan pengurusan wang. Jadikan bidang keusahawanan ini sebagai pilihan tepat yang menyeronokkan dan menggembirakan.

DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN