Beri perhatian pada emosi mangsa banjir - Utusan Malaysia

Beri perhatian pada emosi mangsa banjir

SOKONGAN psikososial diperlukan oleh mangsa banjir bagi membantu memulihkan kestabilan emosi dan tekanan perasaan yang terjejas akibat bencana itu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR merupakan satu fenomena semula jadi kejadian alam walaupun terdapat juga kejadian banjir yang berlaku akibat daripada aktiviti manusia. Banjir sering kali dianggap sebagai musibah.

Secara umumnya, sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan manusia dianggap musibah, bencana atau malapetaka kerana mengancam dan menjejaskan kehidupan manusia. Ancaman ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti kemusnahan harta benda ataupun kehilangan nyawa, jangkitan penyakit dan sebagainya.

Namun asasnya, musibah juga merupakan ujian kepada semua makhluk sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “…dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan (makanan), dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Semua ancaman tersebut sering kali berlaku sebagai kesan buruk akibat banjir. Lantaran itu, ia adalah satu musibah ke atas umat manusia, mahkluk lain juga alam sekitar.

Hakikatnya, bencana atau musibah banjir yang berlaku perlu diuruskan dan ia sememangnya boleh diuruskan secara lebih sistematik bagi mengurangkan beban yang bakal ditanggung dalam kehidupan manusia dan alam sekitar.

Sebagai satu bentuk bencana alam, banjir itu sendiri perlu diuruskan sebaiknya kerana jika tidak, ia akan mencetus atau mewujudkan rangkaian krisis yang lain kepada kehidupan manusia dan alam sekitar. Adalah sesuatu yang normal setiap kejadian musibah dan bencana akan mencetuskan krisis baharu kepada manusia. Krisis-krisis seperti kekurangan bekalan keperluan harian, makanan dan bekalan air bersih, kekurangan sumber tenaga, kekurangan bekalan ubatan serta krisis gangguan kesihatan mental.

Dalam pengurusan risiko banjir dan sebagainya, aspek berkaitan pemulihan dan pelbagai sistem sokongan lain merupakan aspek penting dalam usaha mewujudkan sistem pengurusan banjir yang lebih sistematik. Salah satu daripadanya ialah sokongan psikososial bagi membantu proses pemulihan akibat musibah banjir.

Aspek sokongan psikososial dalam konteks ini difahami sebagai proses untuk membantu memulihkan kestabilan emosi dan tekanan perasaan individu yang terjejas akibat bencana banjir. Ini adalah satu proses intervensi yang dilakukan kepada seseorang individu pada ketika bencana berlaku dan juga dilaksanakan dalam konteks di mana lokasi itu berlaku.

Contohnya, memberikan bantuan kecemasan kesihatan mental di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hospital atau klinik dan sebagainya.
Intervensi psikososial ini sebenarnya merupakan aspek penting dan perlu diberi perhatian utama dalam pengurusan pemulihan banjir. Ini kerana salah satu objektif utamanya ialah untuk mengelak atau mengurangkan risiko berlaku krisis dan kesan buruk yang tidak terkawal lanjutan daripada bencana tersebut.

BUNUH DIRI

Peluang kemunculan risiko krisis selepas bencana adalah lebih tinggi dan ketara dalam kalangan manusia. Krisis yang berlaku secara berterusan, atau gagal ditangani pada peringkat awal akan memburukkan lagi keadaan mangsa banjir. Lebih-lebih lagi meningkatkan tekanan emosi sedia ada dan akhirnya mengganggu kestabilan kesihatan mental mereka serta menjejaskan proses pemulihan bencana banjir.

Sememangnya terdapat banyak kajian dilakukan khususnya oleh negara-negara maju terhadap kesan dan risiko dialami oleh mangsa yang terkesan akibat bencana banjir.

Para penyelidik juga merumuskan kebanyakan mangsa banjir menunjukkan kesan epidemiologi kesihatan mental tertentu. Antaranya tahap tekanan emosi yang memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan akhirnya menjejaskan kesihatan mental.

Dari perspektif kesihatan mental, sering kali bencana banjir yang berlaku mencetuskan gangguan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan, tekanan pascatrauma, gangguan fungsi kognitif dan bunuh diri. Seperti yang dimaklumi juga, sering kali bencana banjir memberi impak besar terhadap harta benda, malahan kestabilan kerjaya dan produktiviti individu terbabit yang mana pada akhirnya akan mencetuskan tekanan dan gangguan emosi lain pula kepada mangsa.

Kajian sama juga menunjukkan kesan gangguan emosi dialami mangsa boleh berlaku secara mendadak dan muncul hanya selang beberapa hari selepas bencana. Malah, terdapat juga individu menunjukkan kesan tersebut hanya selepas beberapa minggu atau beberapa bulan.

Walaupun belum lagi wujud kajian secara saintifik yang dilakukan untuk menilai perkaitan antara bencana dan kesannya kepada mangsa banjir di negara ini, namun tidak bermakna ia tidak memberi apa-apa kesan mendalam. Kajian-kajian tertentu seperti itu sebenarnya amat perlu untuk dilakukan kerana akan membantu dalam kerangka pengurusan psikososial bencana banjir pada masa hadapan.

Atas faktor ini, tumpuan dan usaha untuk terus memelihara kesejahteraan mental dan kestabilan emosi mangsa perlu diberikan tumpuan sewajarnya. Pihak berkaitan perlu berusaha menyediakan perkhidmatan kesihatan mental ini kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan sementara atau secara lawatan ke rumah mangsa.

Setiap sesi lawatan perlu disusuli ujian saringan kestabilan mental dan emosi, seterusnya merangka pelan rawatan dan pemulihan berkaitan kepada mangsa. Pemantauan berkala seperti ini perlu dilakukan bagi mengenal pasti mangsa yang terkesan kestabilan emosi disebabkan bencana sedia ada yang melanda mereka.

Ia juga bertujuan memastikan mereka yang benar-benar lebih memerlukan rawatan tersebut mendapat perkhidmatan yang sememangnya mereka perlukan. Seterusnya, usaha ini dapat memastikan golongan yang terkesan secara ketara itu tidak tercicir dan tertinggal tanpa menerima sebarang intervensi sewajarnya.

Akhirnya, gangguan dan penyakit mental itu dapat diuruskan pada peringkat awal lagi sebelum sempat untuk menjadi bertambah serius tanpa sebarang rawatan.

PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN