Benarkah kita lambat bertindak? - Utusan Malaysia

Benarkah kita lambat bertindak?

BENCANA banjir adalah yang paling kerap dan membawa kerosakan paling besar setiap tahun di negara ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJAN lebat turun tanpa henti setelah beberapa hari. Masyarakat masih leka dengan kegiatan harian mereka. Tiada yang menjangka hujan berderu ini bakal membawa gelombang air bah begitu mengempoh dan meluap sehingga kebanyakan mangsa hanya sempat bergegas menyelamatkan nyawa mereka sehelai sepinggang. Harta mereka binasa dihanyut banjir.

Mangsa-mangsa berlindung di atap bangunan dan kawasan tinggi. Terperangkap dikepung air tanpa makanan, perubatan atau bekalan asas. Lebih memburukkan keadaan, ada mangsa terpaksa menunggu lebih dari 12 Jam sebelum bantuan tiba daripada agensi-agensi kerajaan.

Kejadian banjir bukanlah perkara baharu bagi Malaysia. Boleh dikatakan berbanding semua bencana di negara ini, banjir adalah yang paling kerap dan membawa kerosakan paling besar setiap tahun. Namun, tindakan agensi-agensi kerajaan yang kurang berdaya menunjukkan kelemahan ketara pada keupayaan dan keselarasan dalam menangani malapetaka ini.

Di negara ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah pihak berkuasa bagi kerja-kerja penyenggaraan saliran yang diiktiraf, malah bertanggungjawab juga dalam isu pencegahan banjir. Dasar dan strategi tebatan banjir utama JPS sebahagian besarnya terdiri daripada langkah-langkah pembinaan struktur (contohnya empangan dan benteng untuk mengawal aliran banjir).

Namun, strategi pembinaan struktur ini mengambil masa lama dan kos yang tinggi. Akibatnya, peruntukan kewangan untuk projek tersebut meningkat dengan ketara dan memberi tekanan besar kepada kerajaan. Daripada insiden banjir baru-baru ini, jelas perbelanjaan tinggi ini tidak dapat mengatasi bencana banjir yang makin serius di pasca era kehangatan global kini.

JPS juga bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir kepada orang ramai. Ia menubuhkan sistem pemantauan banjir kebangsaan berasaskan internet yang dikenali sebagai Infobanjir di mana data hujan dan paras air boleh dikumpulkan untuk seluruh negara.

Malangnya, maklumat ini gagal dimanfaatkan dan disebarkan kepada penduduk di kawasan bahaya banjir agar mereka membuat perancangan dan persediaan sesuai. Kegagalan merancang adalah merancang untuk gagal, namun bagaimana perancangan hendak dibuat tanpa maklumat?

NADMA

Jentera bantuan bencana banjir adalah di bawah Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam (NDRC) dengan sekretariatnya dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri mempunyai objektif utama untuk menyelaraskan operasi bantuan dalam menyediakan bantuan kewangan daripada negara di bawah Tabung Bantuan Bencana yang disasarkan kepada mangsa bencana. Pun begitu, harus ditekankan, jentera bantuan ini hanya bertindak secara reaktif (reactionary), iaitu selepas terjadinya sesuatu peristiwa banjir.

Pada Oktober 2015, Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah agensi khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), khusus untuk pengurusan risiko bencana dan perkara lain berkaitan dengannya. NADMA dikawal selia di bawah Arahan No. 20 MKN dan semua perkara berkaitan bencana diuruskan oleh jawatankuasa tiga peringkat, iaitu Jawatankuasa Pusat Pengurusan dan Bantuan Bencana (CDMRC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri (SDMRC) yang dipengerusikan oleh setiausaha negeri dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.

NADMA secara teorinya bertanggungjawab ke atas semua operasi pascabanjir di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, mukim dan kampung. Bagaimanapun, kebanyakan operasi di setiap negeri dibiarkan dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing. Kegagalan keselerasan ini dapat dilihat apabila pihak yang mempunyai kemampuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa menjalankan kegiatan menyelamat dan membantu mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada NADMA mahupun kerajaan negeri.

Ini adalah kegagalan institusi yang jelas dan nyata sehingga memberikan kesan kepada mangsa banjir yang terpaksa menunggu sehingga tiga hari sebelum bantuan sewajarnya tiba. Terdapat juga kekurangan dari segi penyertaan pihak berkepentingan walaupun pihak berkuasa mengiktiraf peranan penting pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama Mercy, Palang Merah, Bulan Sabit Merah dan lain-lain.

Namun, terdapat kekurangan dalam melatih kemahiran ahli bukan kerajaan dan membekalkan mereka dengan peralatan-peralatan seperti sampan dan bot. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kebergantungan besar masyarakat kepada kerajaan dan keengganan kerajaan untuk melepaskan tanggungjawab kepada orang awam.

Ini adalah satu kegagalan ketara kerana dalam insiden banjir di Lembah Klang baru-baru ini, ahli-ahli NGO dan masyarakat prihatin tiba jauh lebih awal sebelum agensi kerajaan yang dibiayai. Namun, mereka hanya mampu berputih mata kerana tidak mempunyai alatan sesuai bagi melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

Apa guna kerajaan membelanjakan wang yang besar daripada jumlah terkumpul cukai yang dibayar rakyat jika manfaat tidak dirasai semasa bencana melanda kami?

PENULIS ialah seorang peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya