BIADAb! Itu ungkapan sesuai menggambarkan tindakan pemuda dan dua wanita mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan berlakon sebagai orang cacat untuk menggunakan tandas dan tempat letak kereta khas. Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan mereka selepas menonton klip rakaman yang tular baru-baru ini dan mahu pesalah terbabit dikenakan hukuman setimpal.
Mohamad Iswan Ishak, seorang pemuda yang didakwa mempersendakan OKU menjelaskan, dia dan rakannya hanya melakonkan apa yang mereka nampak berlaku.
“Mungkin video itu saya tak habis cerita. Salah saya,” katanya dalam video terbaharunya di TikTok.
Bagi saya, apa jua alasan yang diberikan sudah terlambat. Nasihat saya, berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum mengambil sesuatu tindakan. Mereka tidak diminta dilahirkan dalam golongan istimewa ini. Jadi, tolong dan tolong jaga hati golongan itu.
Apa yang berlaku ini jelas memperlihatkan betapa ceteknya adab golongan muda dalam memahami dan menghormati orang lain. Tanpa disedari, ia satu bentuk penghinaan. Entah ke mana hilangnya budi bahasa dan sifat saling hormat-menghormati.
Mungkin bagi segelintir pihak, ia merupakan isu remeh yang tidak perlu diperbesarkan, tetapi tidak bagi saya yang memiliki seorang adik OKU. Adik saya, Mior Azib merupakan seorang penghidap sindrom Down. Jadi, isu seperti ini sangat sensitif kepada saya dan juga mereka yang memiliki ahli keluarga golongan istimewa ini.
Apa guna anak muda sekarang belajar tinggi-tinggi tetapi adab dan ilmu yang diperoleh tidak berjalan seiring? Sia-sia ilmu yang dicurahkan oleh tenaga pengajar tetapi tidak dipraktikkan.
Ulama terkenal, Abdullah bin Al-Mubarak Rahimullah berkata: “Kita dengan (mempelajari walau) sedikit ilmu adab itu lebih diperlukan (diutamakan) dari hanya memperbanyakkan ilmu (agama).”
BERLAKU DI DUNIA NYATA
Sebenarnya sikap mempersenda fizikal orang lain kerap berlaku dalam dunia realiti. Ia semakin menjadi-jadi dan mereka sedikit pun tidak rasa bersalah mempersendakan fizikal orang lain. Malah, semakin seronok pula, lebih-lebih lagi bila berjumpa satu geng yang sama-sama cetek adab.
“Eh, bukanlah lawa sangat pun dia tapi boleh pula dapat lelaki handsome.”
“Ish, gemuknya dia. Tak sesuailah pakai baju itu.” – Itu antara ayat hinaan yang biasa kita dengar, menggambarkan betapa gelapnya hati manusia. Dan sedarkah anda, dalam Islam kita dilarang menghina fizikal seseorang?
Dalam apa jua yang dilakukan, cuba cermin diri sendiri. Kita juga manusia yang mempunyai banyak kekurangan, mungkin lagi teruk daripada orang yang dipersendakan itu. Janganlah sewenang-wenangnya menghina ciptaan Allah SWT. Tidak rugilah, belajarlah menjaga hati seseorang. Mereka juga tidak diminta dilahirkan sedemikian.
Berbalik kepada kisah lakonan pemuda dan wanita tadi, banyak kali saya melihat manusia yang sempurna fizikalnya meletakkan kenderaan di tempat OKU. Begitu juga ramai yang mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU erutama di hentian rehat dan rawat (R&R) dan pusat beli-belah. Mereka langsung tidak rasa bersalah menggunakan kemudahan yang tidak diperuntukkan untuk mereka, sedangkan yang layak pula terpaksa menunggu giliran menggunakan kemudahan tersebut.
Apalah salahnya tunggu giliran sedangkan anda diberikan kudrat dan fizikal sempurna daripada menyusahkan golongan istimewa ini?
Istilah ‘sekejap’ atau tiada orang menggunakan kemudahan pada waktu itu sering digunapakai sebagai alasan. Ini perlu dihapuskan dalam fikiran selain ia bersifat mementingkan diri sendiri.
Begitu juga ketika menaiki lif atau dalam pengangkutan awam. Masih ramai lagi buta hati, buta mata untuk memberi ruang atau keutamaan bagi mereka yang berkerusi roda atau mempunyai anak OKU.
Malu apabila melihat dengan mata sendiri, anak muda berebut-rebut menaiki lif sedangkan mereka mampu berjalan dan menaiki eskalator.
BERMULA DARI RUMAH
Pendidikan asas ini perlu bermula dari rumah sejak kecil lagi. Sebagai ibu bapa, kita perlu memainkan peranan sekiranya anak mula bercakap sesuatu yang kurang enak didengar. Anak-anak perlu didik menghormati dan tidak mengejek OKU atau sesiapa sahaja. Mereka perlu ditegur sekiranya sudah mula bercakap sesuatu yang salah.
Walaupun sifat kanak-kanak suka bertanya seperti, “Kenapa dia tiada kaki?”, “Kenapa muka dia begitu?” apabila melihat golongan OKU. Jadi, tugas ibu bapa untuk terangkan dengan jawapan yang berhemah dan mudah difahami sesuai dengan usia mereka.
Kita mungkin sudah terbiasa melihat anak kecil tantrum (buat perangai) di tempat awam dan jangan sesekali menegur atau menyindir mahupun menghukum ibu bapa yang sedang tenangkan anak mereka. Kita tidak tahu sama ada anak itu tantrum kerana penat, tidak mendapat apa yang diinginkan atau mereka dalam golongan anak-anak istimewa seperti autisme. Beri ruang kepada ibu bapa untuk memujuk anak mereka. Berilah sokongan moral dan berhenti memandang serong kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini.
Akhir kata, setiap manusia tidak dilahirkan dalam keadaan sempurna, justeru belajarlah bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Hormat-menghormati sesama manusia kerana Tuhan menyayangi orang yang berbuat kebaikan.
Kelebihan dan kesempurnaan yang ada hanya bersifat sementara. Jangan riak kerana ia boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja.










