Pilih satu: Belajar atau jadi YB - Utusan Malaysia

Pilih satu: Belajar atau jadi YB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 1.2 juta remaja berusia antara 18 hingga 21 tahun berpeluang mengundi (Undi18) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Namun, ada pihak mempersoalkan sama ada usia muda sedemikian sudah cukup matang untuk memilih seorang wakil rakyat berikutan pemikiran golongan itu agak ‘rapuh’, mudah dipengaruhi.

Bagi Presiden dan Pengasas Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya, LIM SAN SHIEN, dari segi undang-undang, umur 18 tahun dikategorikan sebagai orang dewasa bahkan sudah layak dipilih sebagai Yang Berhormat (YB).

Bagaimanapun, San Shien, 21, yang juga Ikon Siswa Kepimpinan Negeri Johor berpandangan, usia muda belum tentu memberi jaminan seseorang boleh menjadi wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN menerusi telefon, kelmarin.

UTUSAN: Adakah usia 18 tahun sudah cukup matang untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat?
SAN SHIEN: Dalam Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971, takrifan umur dewasa ialah 18 tahun. Seorang belia berumur 18 tahun sudah boleh berkahwin, bekerja, memperoleh lesen memandu, menyertai pasukan beruniform dan menandatangani kontrak. Maka, Undi18 dilihat selari dengan hasrat kerajaan untuk terus memberdaya dan memperkasakan peranan dan tanggungjawab belia dalam menyumbang idea, tenaga dan bakti kepada negara.

Undi18 di Malaysia juga telah dilaksanakan di banyak negara seperti United Kingdom, Australia, Portugal, Jepun dan Korea Selatan.

Dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, seorang pelajar universiti berusia 21 tahun menjadi calon. Komen anda?
Kalau hendak jadi calon, perlu ada hala tuju yang jelas. Bagi saya, kalau masih dalam proses belajar, biarlah dia sendiri tentukan sama ada mahu teruskan belajar atau berkhidmat untuk rakyat sepenuh masa kalau menang nanti. Kalau boleh, pilih salah satu supaya dapat betul-betul fokus.

Tidak salah kalau nak berkhidmat kepada rakyat sambil belajar. Tapi pastinya perlu ada perancangan untuk mengimbangi dan membahagikan masa antara pelajaran dan khidmat kepada rakyat. Tugas sebagai wakil rakyat tentunya memerlukan seseorang kekal komited dan bersemangat untuk melindungi kebajikan rakyat, menghadiri mesyuarat dan persidangan Dewan.

Kalau diberikan mandat dan terpilih sebagai wakil rakyat, dia hendaklah mempunyai idea tentang pendekatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Seorang calon juga perlu ada pengalaman berbakti kepada masyarakat atau pernah menyandang jawatan profesional yang menyediakan pengetahuan dan pengalaman cukup matang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat nanti agar dia dapat membiasakan diri dan tidaklah kekok untuk memikul amanah.

Pemimpin macam mana yang diinginkan oleh golongan muda?
Mereka yang ada latar belakang pendidikan yang baik dan pengalaman pekerjaan adalah kriteria penting. Contohnya, seorang pemimpin yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi, undang-undang, kejuruteraan dan kelayakan lain adalah mustahak supaya dapat menyumbang kepakaran dan pengetahuannya kepada rakyat dan negara.

Selain itu, memiliki rekod prestasi yang baik. Kita boleh meneliti apa sumbangan yang boleh diberikan menerusi pengalaman kerjayanya dan pencapaian seorang pemimpin dalam persatuan serta penyertaan aktiviti komuniti setempat. Ini penting supaya kita dapat menilai diri calon berkenaan.

Kita juga boleh menilai keperibadian calon melalui ucapan, tutur kata, tulisan dalam media sosial dan idea dikemukakan semasa berkempen.

Seterusnya, seseorang pemimpin mestilah ada asas perjuangan. Pemimpin perlu proaktif untuk terus mengorak langkah, mendepani cabaran dengan memperkenalkan dasar atau pembaharuan yang mesra dan mengangkat martabat rakyat dengan nawaitu yang ikhlas.

Pemimpin juga harus ada objektif yang jelas, kena ada idea kreatif. Pemimpin perlu peka tentang pembangunan setempat dan mengenal pasti potensi kawasan tersebut untuk melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi, mempercepat pembangunan industri, membangunkan bakat orang ramai, meningkatkan keupayaan usahawan untuk mentransformasikan perniagaan dengan memanfaatkan teknologi baharu dan memperkukuh aspek kemapanan.

Ciri-ciri lain adalah integriti, amanah dan bertanggungjawab.

Benarkah golongan muda menolak pemimpin veteran yang sering mencatur politik negara?
Saya rasa pemimpin-pemimpin sebegini diperlukan sebab anak muda ibarat umur setahun jagung, darah setampuk pinang dan mungkin kurang pengalaman dalam kehidupan lagi. Kita perlukan nasihat dan bimbingan daripada pemimpin senior yang sudah lama berkecimpung dalam politik. Pemimpin veteran mempunyai banyak kisah pengalaman hidup, pandangan yang baik, pengalaman luas dan ilmu menyeluruh boleh dikongsi. Kita boleh belajar daripada mereka tentang selok-belok politik dan pentadbiran negara.

Lagipun bukan senang nak jadi pemimpin atau wakil rakyat. Kita akan dapat pengetahuan bermakna dan pengalaman berharga jika kita dengar perkongsian mulut orang yang pernah melaluinya sendiri. Saya selalu menggunakan slogan ‘Suara belia suara keramat, nurani belia mestilah didakap.’

Sebagai mewakili anak muda, apa harapan saudara pada negara (kerajaan)?
Saya berharap kerajaan sentiasa menerapkan pendekatan keseluruhan masyarakat supaya dapat memahami kehendak, bekerjasama erat dengan rakyat dan menjalin hubungan yang rapat antara kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

Saya berharap kerajaan memastikan sukatan pelajaran yang cukup komprehensif merangkumi perkembangan terkini dalam negara dan dunia. Pendidikan dan kursus menyeluruh perlu disediakan bertujuan melengkapi anak muda dengan pengetahuan dan kemahiran agar dapat melahirkan pemimpin berciri holistik sejajar dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Saya berharap kerajaan terus mendengar suara anak muda dalam pelbagai bidang di semua peringkat kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan.

Juga perlu ditekankan aspek perpaduan di mana kerajaan juga perlu terus menyemai semangat patriotisme dan perpaduan erat dalam kalangan rakyat supaya negara kita sentiasa aman, damai dan harmoni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×