BARU-BARU ini, nama Timah menarik perhatian ramai termasuk ahli politik. Isunya adalah berkaitan produk minuman arak keluaran tempatan.
Ada yang mendakwa jenama tersebut merujuk kepada nama seorang gadis Melayu sekali gus Muslim walaupun logo simbolnya adalah seorang lelaki. Ini sahaja sudah cukup membuat seorang yang berfikir mengimbas semula andaian yang Timah merujuk kepada seorang manusia, apatah lagi wanita Melayu beragama Islam.
Atau kemungkinankah ia merujuk kepada produk lain seperti bijih timah misalnya? Ataupun hal-hal berlainan? Jika demikian, riuh rendah yang membingitkan telinga sudah tentu dapat dihindarkan sama sekali, kalau tidak pun terus dipadamkan.
Pada masa dan ketika yang sangat mencabar dengan pelbagai andaian palsu serta tohmahan, peristiwa Timah tidak perlu digembar-gemburkan tanpa usul periksa mendalam. Ia mencuri masa apa lagi emosi yang rapuh dengan asakan serangan Covid-19 tanpa reda. Isu Timah dipandang remeh jika dibanding dengan isu-isu kesihatan yang serupa.
TEMBAKAU
Ambil sahaja contoh produk tembakau. Walaupun umumnya berjenama Inggeris dan bukan Melayu, namun tidak kurang orang Melayu Muslim menggunakannya terutama sekali sebagai rokok. Malah tidak kurang juga cerdik pandai serta agamawan terlibat secara tabie berlarutan.
Yang ganjilnya, perkara seperti ini tidak diheboh-hebohkan oleh mana-mana pihak, termasuk ahli-ahli politik khususnya yang membangkitkan isu Timah atas sebab-sebab tertentu. Mengapa agaknya?
Adakah penggunaan tembakau tidak dianggap berbahaya berbanding arak, amnya kepada kesihatan manusia? Dan tiada kena-mengena pula dengan apa jua jenama?
Apa yang lebih membimbangkan adalah angka kematian yang tinggi dalam kalangan masyarakat awam terutamanya. Isunya tidak seremeh nama atau simbol sahaja, bahkan mampu menggugat mereka yang tidak merokok melalui racun berkepul-kepul dalam hembusan asap yang terhidu bersama.
Pada keseluruhan, kadar kematian puluhan ribu setiap tahun dan terus meningkat. Sudah tentu melebihi bilangan peminum arak dan kaki botol. Pun begitu, penjualan tembakau di merata tempat, terdedah kepada semua ahli masyarakat usia 18 tahun ke atas. Kawalan tidak ketat membolehkan yang lebih muda dari usia 18 tahun mula merokok.
Pengaruhnya tanpa sempadan, tidak ubah wabak Covid-19 yang menjalar seantero kepada yang tidak ambil peduli tentangnya. Kesan begitu dahsyat sehingga menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggubal kawalan cukup ketat sebagai syor bagi negara anggota.
Banyak yang akur terutama sekali di negara maju berbanding yang tidak, termasuk Malaysia. Dasar kawalan tembakau kita masih longgar dan bolos berbanding negara jiran, Singapura dan Thailand.
Paling jelas apabila beberapa negeri di Semenanjung dibiarkan (malah digalakkan) menanam pohon tembakau secara meluas bagi menagih keutungan ekonomi semata-mata.
KETAGIHAN
Dari segi itu tidak banyak bezanya apabila arak dikilangkan di sini juga untuk tujuan ekonomi terutamanya. Kalau dikatakan arak itu haram, lama sudah ada Fatwa Kebangsaan yang turut mengharamkan penggunaan tembakau atas pelbagai dasar kesihatan serta ketagihan. Tetapi pelaksanaan terabai kerana ramai pelaksana juga ketagih tembakau dan rokok, walaupun kesihatan diancam oleh lebih 4,000 racun dalam hanya sebatang rokok.
Bayangkan jika sebungkus rokok mengandungi 20 batang dihisap seharian. Puluhan ribu disedutkan berkesudahan dengan pelbagai penyakit teruk dan membawa maut. Ketagihan pula angkara bahan nikotin yang tidak mengenal usia serta rupa. Sering juga disebut sebagai penyebab utama arah penggunaan dadah berketagihan lebih berbahaya – heroin umpamanya. Dan kini pelbagai jenis lagi.
Perlu ingat, peperangan melawan musuh nombor satu negara sudah berlarutan lebih 50 tahun. Masih lagi belum selesai, malah lebih tenat lagi kerana usia yang terlibat semakin rendah sabah tahun. Anak-anak gadis juga terus turut terjebak berbanding tahun-tahun dahulu. Ini sekali gus menunjukkan kegagalan besar tetapi tiada yang melaung-laung isu ini seperti isu Timah. Mengapa pula demikian?
Sebaliknya berita-berita cubaan menyeludup dadah berbahaya dan rokok sering tersiar. Walaupun berita pengesanan dan penangkapan oleh pihak berkuasa amat dialu-alukan, tapi ia tidak menjawab kemusykilan, mengapa rakyat kita menjadi sasaran tidak putus-putus? Rupanya ada jawapan memeranjatkan, termasuk terdapat dalang kekangan tegar setempat terlibat dan menggunakan pelbagai dakyah dalam aktiviti mereka.
Ada pula laporan yang pihak tertentu sememangnya menganjurkan penyeludupan, khususnya tembakau. Ini bertujuan memaksa kerajaan supaya tidak menaikkan harga atau cukai rokok dengan alasan untuk mematahkan aktiviti menyeludup tembakau berharga rendah. Ini disenangi pula dengan penggunaan teknologi canggih menyampai cita rasa tembakau dengan lebih mudah. Vape merupakan contoh terbaik serta berleluasa.
BERTINDAK SEGERA
Oleh itu, boleh dirumuskan secara perbandingan, isu Timah tidaklah segenting isu ketagihan dadah serta tembakau. Bukan sahaja meragut ratus ribuan tetapi dalam jangka masa berpuluh-puluh tahun menjangkau usia penagih bertambah muda! Murid sekolah tidak terkecuali. Maka mengapa ramai membisu?
Bukankah sudah tiba masanya kita semua bersuara lebih lantang untuk mencari penyelesaian buat terakhir sekali? Ahli-ahli politik dan YB (Yang Berhormat) boleh mengepalainya sebagai amanah mutlak penyelamat umat. Bersuaralah sekarang. Menjeritlah asalkan kena pada tempatnya lagi berkesan.
Derita rakyat sudah tidak tertahan lagi. Bertindaklah secepat mungkin dengan berhemat. Ramai akan menyokong YB atas kejujuran, bukan muslihat politik.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










