DIANGGARKAN pada masa kini, harta umat Islam yang tidak dituntut berjumlah kira-kira RM70 bilion. Punca-punca harta ini tidak dituntut adalah pelbagai termasuklah maklumat tidak lengkap, pertelingkahan waris, pembekuan harta pusaka, isu kematian berlapis, isu anak angkat, waris tidak dapat dikenal pasti dan kos pentadbiran harta pusaka.
Walaupun angka ini dilihat semakin meningkat, namun kita seakan-akan tidak dapat menangani masalah harta umat Islam yang tidak dituntut ini. Isu harta pusaka juga menjadi semakin rumit hari demi hari kerana harta itu tetap ada walaupun berpindah tangan atau ditahan, namun hayat manusia pula tidak kekal. Harta pusaka yang tidak dituntut dan ditahan menyebabkan semakin ramai umat Islam terhalang atau kehilangan harta leluhur mereka yang sepatutnya boleh dimanfaatkan.
Secara umumnya, pembahagian harta pusaka dilakukan sebaik sahaja hal-hal berkaitan pengebumian jenazah selesai dengan mengurus hutang si mati, melaksanakan wasiat dan harta sepencarian serta faraid kepada waris yang berhak. Daripada turutan ini, kita mendapati urusan pusaka perlu disegerakan bagi mengelak harta pusaka dimakan atau dikuasai secara batil oleh individu yang mentadbir, menyelesaikan hutang dan wasiat tertahan, menyambung kelangsungan hidup waris, mencegah bilangan waris yang akan bertambah apabila berlakunya kematian berlapis, dan mengelak urusan dokumentasi yang rumit.
Harta pusaka yang tidak dapat dimanfaatkan juga menjadi satu kerugian dalam ekonomi. Zakat misalnya, tidak dapat dikenakan ke atas harta pusaka yang tidak dituntut atau ditahan ini kerana milikan yang tidak sempurna. Jika bertahun-tahun tertahan, maka bertahun-tahunlah manfaat daripada harta-harta ini tertangguh. Sedangkan wang zakat diperlukan untuk membantu para asnaf dan mengubah hidup mereka. Inilah antara salah satu kos melepas yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam.
Sememangnya mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam hal pembahagian harta pusaka, terdapat pelan perancangan kewangan Islam di pasaran yang boleh dipilih oleh umat Islam bagi mengurus harta mereka selepas meninggal dunia dengan lebih efisien, sekali gus mengurangkan kebarangkalian harta itu tertahan untuk agihan pusaka.
Namun, mengambil pelan perancang kewangan sebegini bukanlah satu kewajipan, apatah lagi jika didatangkan dengan kos yang di luar kemampuan seseorang. Dalam hal ini, tidak dapat tidak, institusi pengurusan harta pusaka perlu mengambil langkah ke hadapan untuk mengurus harta pusaka bagi individu dan membuat perancangan agar harta pusaka tidak ditahan atau terbeku akibat urusan birokrasi yang rumit.
Di Malaysia, mahkamah syariah mengeluarkan perintah faraid, pengesahan wasiat, hibah, wakaf, harta sepencarian dan wasiat wajibah. Agensi seperti Jabatan Tanah dan Galian, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil mentadbir harta pusaka mengikut jenis (alih, tidak alih) dan nilaian harta tersebut.
Sememangnya urusan pentadbiran harta pusaka memerlukan maklumat yang lengkap bagi melicinkan setiap proses. Ketika ini, maklumat lengkap tersebut hanya bergantung kepada pemohon (waris).
KPI
Sebenarnya pemohon juga mengalami cabaran untuk mendapat maklumat yang lengkap daripada agensi-agensi tertentu bagi memulakan proses permohonan harta pusaka. Ini tidak termasuk cabaran karenah birokrasi yang rumit dan kos yang tinggi sehingga boleh mendatangkan rasa putus asa kepada pemohon.
Hal ini berlaku khususnya apabila pemohon berusaha untuk menyelesaikan isu harta pusaka yang rumit seperti kematian berlapis, pertukaran nama dalam geran dan lain-lain. Ini bermaksud sebenarnya pentadbir dan pemohon berdepan dengan isu yang sama yakni maklumat kurang lengkap. Oleh itu, perlu ada titik persefahaman di antara agensi kerajaan berkaitan, agensi pentadbir harta pusaka dengan pemohon.
Sebagai pemohon, tidak dapat tidak, kita perlu mempunyai maklumat yang lengkap semasa membuat permohonan harta pusaka. Bagaimanapun, tidak semua maklumat yang diperlukan berada dalam tangan waris. Di sinilah pentingnya peranan agensi-agensi kerajaan tertentu dan agensi pentadbir harta pusaka untuk membantu pemohon mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi memproses permohonan harta pusaka mereka.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah menjadikan matlamat agensi untuk mengurangkan jumlah harta pusaka yang ditahan; menjadikan penyelesaian pentadbiran harta pusaka sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam skop pekerjaan; memberi motivasi positif kepada setiap pegawai agensi untuk mencapai penyelesaian harta pusaka yang mereka tangani; meletakkan tempoh tindakan susulan/penyelesaian kepada setiap permohonan dan mencadangkan bentuk-bentuk penyelesaian kepada pemohon bagi urusan bukan di bawah kuasa agensi.
Selain itu, menjalinkan kerjasama strategik di antara agensi-agensi pentadbir harta pusaka agar setiap permohonan dapat disemak silang dan dapat diselesaikan; mewujudkan pasukan khas dalam agensi bagi menangani kes-kes pusaka yang rumit termasuklah untuk turun padang membuat siasatan; sebagai langkah ke hadapan, mewujudkan pangkalan data berkaitan harta pusaka tertahan, membuat rumusan dari segi lokasi, jenis, seterusnya mencadangkan kepada pasukan khas yang menyiasat harta pusaka bagi mencegah harta pusaka umat Islam ‘hilang’ begitu sahaja.
Pasukan khas tersebut boleh bekerjasama dengan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri tentang harta pusaka umat Islam yang didapati tiada waris bagi mengelakkan harta ini ‘diambil’ secara batil oleh pihak-pihak tertentu atau menjadi usang/terbiar.
Pada akhirnya, pentadbiran harta pusaka ini bermatlamat untuk mengurus dan mengagih mengikut ketetapan syarak, bukan ditahan atau dihimpunkan pada satu-satu tempat sahaja dengan manfaatnya tertahan kepada mereka yang berhak.
Sinergi di antara pemohon (waris) dengan agensi pentadbir harta pusaka amat penting kerana pada masa kini, harta tersebut perlu melalui proses pentadbiran secara berpusat, bukan secara individu.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










