Rakyat Melaka tentu pilih politik damai - Utusan Malaysia

Rakyat Melaka tentu pilih politik damai

PENGUNDI Melaka pasti akan memilih calon-calon yang benar-benar dapat memberi perkhidmatan sebaiknya tanpa terbelit dengan sikap dan perlakuan tidak digemari rakyat. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN tiba-tiba kuasa undi di tangan rakyat Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bernilai ‘lebih mahal’ daripada biasa. Mahal disebabkan keputusan yang bakal dibuat oleh pengundi negeri itu bukan sahaja untuk mencorak kepimpinan kerajaan negeri, tetapi untuk menghantar isyarat tentang manifestasi cita rasa rakyat di negara ini pada umumnya yang berharap hadirnya suasana politik mendamaikan.

Terlalu banyak ‘mainan politik’ di hadapan mata rakyat. Segalanya berkisar dengan sikap dan tindak-tanduk dalam kalangan pemimpin parti. Mereka dengan sikap dan cara mereka, sedang rakyat sekadar memerhati.

Direnung dari satu sudut, para pemimpin parti-parti politik seolah-olah tidak mengendahkan soal denyut nadi rakyat tentang politik tanah air.

Ada rakyat kecewa kerana pemimpin yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sudah melompat parti. Sedangkan sedia maklum, sebarang pilihan pada setiap pilihan raya berpandukan kepada parti dan calon. Lebih dikesali, tindakan lompat- melompat turut mempengaruhi tergugatnya kestabilan parti yang di sana sini.

Lebih enam dekad rakyat Malaysia menikmati kestabilan politik dan kelancaran tadbir urus negara. Tidak pernah ada dalam sejarah berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri hanya dalam tempoh tiga tahun selepas PRU. Barangkali apa yang berlaku itu masih dianggap tidak memberi kesan terlalu parah, namun cukup untuk membawa pengajaran besar kepada rakyat.

Melalui apa yang berlaku, sekurang-kurangnya rakyat semakin sedar tentang makna pentingnya ‘kuasa undi.’ Memberi undi sekadar dipengaruhi sentimen benci, marah yang tiada berasas hanya merugikan masa dan tenaga. Tumpuan meneruskan agenda pembangunan menjadi terganggu. Kelancaran tadbir-urus negara menjadi terencat.

Rakyat semakin faham istilah-istilah seperti retorik atau propaganda, termasuk juga istilah janji politik dan janji realistik. Berpeluang pula rakyat Malaysia melalui tempoh-tempoh tertentu untuk mengukur prestasi tadbir urus negara di bawah kepimpinan yang berbeza.

Ada ketika dunia luar melihat hambar terhadap Malaysia. Daripada memuji Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang stabil dan harmoni, terusik juga kebimbangan mereka tentang kemungkinan berlaku pertembungan merebut kuasa atas sifat perkauman. Justeru, tidak hairan jika pada suatu ketika banyak pelabur luar mengalih pelaburan dari negara ini ke negara-negara lain, selain berlakunya kelembapan minat para pelabur baharu untuk melabur di negara ini.

Dalam konteks Melaka, kedatangan pelabur asing amat bermakna dalam menjana pembangunan dan kedudukan ekonomi negeri itu. Melaka perlu subur maju bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang sesuai kepada kalangan anak negeri di samping kesan-kesan sejarah yang terdapat di negeri itu perlu ‘dipersegarkan’ untuk menggamit kedatangan pelancong.

LUAR MUSIM

Pada PRN yang terdekat ini, diramalkan rakyat Melaka akan menghantar suatu isyarat jelas bahawa bilangan kerusi bagi mana-mana parti yang dicadang untuk menerajui kerajaan mestilah berada pada angka yang lebih selesa. Misalnya, daripada sejumlah 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), parti atau gabungan parti-parti bertanding yang diharap dapat menubuhkan kerajaan mestilah memiliki 20 atau setidak-tidaknya 18 kerusi.

Jika berlaku nisbah bilangan kerusi yang dimenangi tidak jauh berbeza, maka akan berulang lagilah episod tawar-menawar atau lompat-melompat parti. Lalu, kemelut yang meresah dan membosankan rakyat akan kembali berlegar. Dan akan tertanya-tanyalah banyak pihak: “Untuk apa PRN Melaka diadakan?”

Rentetan suasana politik tanah air selepas PRU-14 barangkali mendorong rakyat Melaka melalui PRN kali ini untuk menampilkan suara hati mereka bahawa dalam membuat pemilihan, perlu berasaskan beberapa pertimbangan lebih tepat dan penuh berhati-hati. Ini bagi mengelakkan berulangnya penyesalan dan kekecewaan sebaik keputusan diumumkan.

Selain menyatakan kepada diri sendiri: “Aku mesti keluar mengundi!”, rakyat Melaka yang layak mengundi juga akan menyatakan: “Aku mesti memilih parti yang mempunyai tunjang yang kukuh serta dahan dan daunan merimbun yang mampu memberi teduhan untuk semua.”

Para pengundi Melaka juga tentu akan memilih calon-calon yang ‘berwibawa’, tanpa mengira usia. Yang penting bagi mereka ialah calon yang benar-benar dapat memberi perkhidmatan dengan sebaiknya tanpa terbelit dengan sikap dan perlakuan tidak digemari masyarakat.

Pendek kata, belajar daripada kesilapan, berguru pada pengalaman, pengundi-pengundi Melaka pada PRN ‘luar musim’ ini tentunya akan memilih politik yang mendamaikan. Mereka akan merumuskan suatu keputusan di mana ruang untuk ‘mainan drama politik’ yang tiada penghujung episod itu tidak berulang.

Hidup tidak selalu indah, namun yang indah itu perlu dicari, dipelihara dan dikekalkan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×