JUTAAN tahniah diucapkan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya seratus peratus dalam bahasa kebangsaan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) 2021 di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.
Saya rasa begitu bangga kerana akhirnya ada pemimpin kita yang memartabatkan bahasa kebangsaan di pentas dunia.
Di samping mengemukakan idea dan cadangan daripada negara ini dalam sesuatu isu, secara tidak langsung beliau mempromosi bahasa Melayu di hadapan perwakilan negara-negara asing dan jutaan penonton di seluruh dunia.
Bagaimanapun, saya tertanya-tanya juga, adakah beliau merupakan pemimpin pertama kita yang menggunakan bahasa kebangsaan pada persidangan besar seperti ini?
Sekiranya benar, maka saya berharap agar ia menjadi ‘virus’ positif yang dapat mempengaruhi para pemimpin kita yang lain. Bahasa melambangkan bangsa, tanpa bahasa tiadalah identiti sesebuah bangsa dan negara.
Apa salahnya sekiranya para pemimpin atau perwakilan negara kita menggunakan bahasa kebangsaan setiap kali memberi ucapan dalam persidangan antarabangsa?
Bukankah negara ini beberapa kali dimalukan dengan ucapan bahasa Inggeris yang kurang fasih oleh beberapa pemimpin tanah air sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial?
PEMINAT
Itu pun masih tak rasa malu? Janganlah begitu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan pengiktirafan dunia luar sehingga menganaktirikan bahasa kebangsaan, sedangkan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters pun pernah beberapa kali membuat kenyataan dalam bahasa ibunda kita.
Ketika itu, ramai ‘peminat’ mat salih dalam kalangan orang kita melambung-lambung memujinya setinggi langit tetapi tatkala pemimpin sendiri berucap dalam bahasa kebangsaan, tiba-tiba kita pula mengecam.
Pemimpin yang tidak boleh berbahasa Inggeris perlu jujur dengan rakyat kerana tidak ada apa yang perlu dimalukan. Bahkan saya yakin, majoriti rakyat akan menghormati kejujuran tersebut dan sangat berbangga sekiranya pemimpin itu dapat menggunakan bahasa kebangsaan sepanjang masa.
Saya masih ingat kata-kata seorang pekerja asing dari Eropah yang saya kenal, menarik untuk diambil perhatian: “Apa salahnya jika semua pengumuman atau apa-apa kenyataan oleh kerajaan dikeluarkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu tanpa perlu bersusah payah dibuat dalam dwibahasa?
“Sebagai warga asing yang menetap di Malaysia, kami boleh sahaja menggunakan Google Translate atau bertanyakan rakan-rakan warga tentang ertinya. Setidak-tidaknya kami pun dapat belajar perkataan-perkataan baharu bahasa Melayu.”
BERKELANA
Pengalaman saya berkelana selama lapan tahun di luar negara mendapati ramai pemimpin serta perwakilan tanah air kerap berkunjung ke sana atas pelbagai urusan serta menjalankan siri program suai kenal dengan pelajar-pelajar Malaysia. Namun, apa yang menghairankan, sekiranya program tersebut turut dihadiri seorang dua warga asing, secara automatik pemimpin terbabit terus bercakap dalam bahasa Inggeris. Alasannya, dua orang warga asing itu tak faham!
Sebenarnya, siapakah yang perlu diutamakan? Pelajar kita atau dua orang warga asing tersebut? Adakah pemimpin kita ini terkeliru?
Ramai orang Melayu begitu marah jika ada rakyat kita daripada kaum lain tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. Mereka ditohmah dengan perkataan-perkataan seperti ‘mengaku rakyat Malaysia, tapi tak tahu cakap Melayu’ ataupun ‘kalau tak tahu cakap Melayu, sila keluar dari Malaysia.’
Sepatutnya yang perlu dipersalahkan adalah mereka di tampuk kekuasaan yang terdiri dalam kalangan orang Melayu sendiri. Bukankah mereka sendiri pun tidak menitikberatkan bahasa kebangsaan? Bukankah mereka sendiri yang meletakkan pelbagai pilihan bahasa asing dalam portal-portal laman sesawang kementerian atau jabatan masing-masing?
Masihkah kita ingat lagi gerangan artis Melayu kebanggaan negara yang suatu ketika dahulu pernah menghina bahasa kebangsaan secara terbuka di atas pentas?
TURKI
Rakan saya seorang mat salih merungut: “Saya fasih berbahasa Melayu tapi saya tak boleh mempraktikkannya di sini. Setiap kali saya cakap Melayu dengan orang tempatan, mereka balas dalam bahasa Inggeris.”
Faktanya, bahasa Inggeris itu penting kerana ia bahasa antarabangsa. Namun, dalam konteks sebuah negara yang merdeka, kita seharusnya menitikberatkan bahasa kebangsaan. Memperkasakan bahasa ibunda tidak menghalang kita untuk mempelajari atau menguasai bahasa asing.
Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian, banyak negara sedang meningkat naik kemajuannya dalam pelbagai sektor sama sekali tidak mengutamakan bahasa Inggeris sebaliknya pula berusaha keras menyebarkan bahasa ibunda sendiri seperti Turki yang aktif membuka kelas bahasa Turki di seluruh dunia menerusi Institut Yunus Emre yang turut ada cawangan di Kuala Lumpur.
Penulisan yang sinis dan tegas ini sudah tentu akan mendapat pelbagai reaksi daripada para pembaca. Namun akurlah, ini merupakan sebuah realiti yang pahit untuk ditelan. Sekalipun kita berusaha dan berbangga berpakaian persis orang Eropah, bertutur dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, makan ala-ala Barat, tetapi rupa paras kita masih Melayu, berkulit sawo matang, warna mata hitam, paras fizikal rendah. Dan yang pasti, belum tentu mat salih akan melayan kita seperti sebahagian daripada mereka!
Akhir kalam, saya ingin mengingatkan diri sendiri dan para pembaca supaya jangan malu atau segan dengan identiti bahasa dan bangsa sendiri kerana ia adalah sesuatu yang kekal abadi bersama kita. Semoga para pemimpin di negara ini dapat menunjukkan contoh teladan yang baik pada masyarakat. Janganlah sekadar mengangkat martabat bahasa ketika pilihan raya sudah dekat!
PENULIS ialah penyelidik isu tempatan dan antarabangsa.










