PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tirainya semalam.
Kempen selama 12 hari, siang malam dalam media sosial. Barangkali juga diam-diam menyusup dari rumah ke rumah.
Tambah sehari lagi, masuk pula hari ke-13 kempen sebab semua telefon bimbit di tangan pengundi yang masuk ke pusat-pusat pengundian nanti.
Hakikat dalam mana-mana pertarungan selalu dimomokkan dengan telahan seperti disebut pepatah Cina ini: Yang menang jadi raja, yang kalah jadi penjahat (chengzhe wei wang, baizhe wei kou).
Sebenarnya pepatah ini selalu digunakan dalam konteks penulisan sejarah. Sejarah sering ditulis oleh pihak yang menang dalam perang merebut kuasa. Maka yang menang itu diagung-agungkan. Dan yang kalah dicerca semahunya.
Lihat sahaja bagaimana Hang Tuah dan Hang Jebat digambarkan dalam Sejarah Melayu. Hang Tuah diagung-agungkan sebagai wira menyelamatkan Melaka. Hang Jebat pula dicerca sebagai penderhaka yang kejam dan hina. Hang Jebat digambarkan seorang yang mabuk kuasa mengamuk menuntut bela atas kematian sahabat karibnya.
Dia dikatakan kebal kerana keris Taming Sari berada di tangannya. Maka Hang Jebat seorang sahaja sudah cukup untuk mengambil-alih istana Sultan Melaka.
Mungkinkah Sejarah Melayu ditulis oleh penulis-penulis yang diupah pihak tertentu? Mana mungkin huraiannya adil dan saksama menggambarkan setiap tokoh dan peristiwa di Melaka. Hang Jebat misalnya dikatakan bertindak sendirian. Tidak ada yang lain menyokongnya.
Namun, bila direnung secara rasional, adakah mungkin benar Hang Jebat seorang mampu menundukkan semua hulubalang raja? Bala tentera kerajaan Melaka bukan hanya seorang dua. Malah dikatakan mencecah puluhan ribu jumlahnya. Takkan Hang Jebat begitu hebat sehingga mampu menewaskan kesemuanya?
Mungkinkah apa yang berlaku sebenarnya adalah perang saudara? Hang Jebat adalah ketua pihak pemberontak dan dia disokong ribuan rakyat yang simpati dengan perjuangannya. Kumpulannya tewas maka Hang Jebat sebagai ketua dicerca dan dihina seolah-olah tidak ada seorang rakyat pun yang menyokongnya.
Tidak cukup dengan itu, Hang Jebat dituduh pula mengamuk setelah ditikam Hang Tuah membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa. Sehebat manapun seorang pahlawan itu, mana mungkin setelah parah tertusuk keris di badan mengamuk tujuh hari tujuh malam membunuh ribuan manusia?
Mustahil pada saat ini untuk kita mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi. Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat berlaku sudah sekian lama. Tidak ada sumber bukti sahih yang dapat memisahkan yang mana fakta dan yang mana rekaan semata-mata.
Di Melaka hari ini, yang sedang menyaksikan PRN, adakah sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat akan diperbetulkan? Ada memberi huraian pendek kepada saya (penulis) bahawa gelanggang PRN Melaka ini akan memberi jawapan ‘langit tinggi rendah’ kepada pengkhianat, pelompat parti, pemfitnah, penipu manifesto…
DEDALU
Mengamati saingan dan cabaran getir politik hari ini termasuk di Melaka, teringat saya akan sejenis tumbuhan, dedalu – yang tidak tumbuh di tanah. Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas.
Pohon rendang selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasit.
Dalam politik, adakah perlu dicantas dedalu-dedalu ini? Cuma adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun pula di pokok baharu yang rendang?
Dan biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara natural akhirnya. Takkanlah mahu dibiarkan dedalu-dedalu ini bermaharajalela.
Mana-mana parti politik akan ada ‘Abu Jahal’nya. Parti yang mahu survive dalam merenangi arus gelombang aplikasi WhatsApp hari ini perlu segera mencantas dedalu-dedalu ini.
Pokok dedalu…ia menumpang
Menjadi parasit…ia jembalang
Dahan akan mati…ia perlu ditebang
Kalau terjumpa…ia perlu dibuang.
Pokok dedalu…jika dah dibuang,
Jangan ditanam semula…ia musuh utama malam dan siang.
Maka, dalam meniti kempen 12 hari PRN Melaka ini, semua pihak yang tentunya pengundi perlu berwaspada terhadap si putar alam, putar belit dan dedalu.
Carilah fakta, bukannya auta. Dan carilah Hang Tuah dan Hang Jebat yang sebenar.










