KEPUTUSAN pimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini menimbulkan tanda tanya banyak pihak. Mampukah BN bangkit semula dan mendapat kemenangan besar membentuk majoriti seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?
Tidak dinafikan dalam sejarah politik dan pilihan raya, Melaka adalah kubu kuat UMNO dan BN. Sejak PRU pertama 1959, UMNO dan rakan politik bukan Melayu iaitu MCA dan MIC menang besar dalam setiap kali pilihan raya.
Kita lihat kemenangan besar BN bukan sahaja kekuatan UMNO di kawasan majoriti Melayu, tetapi rakan-rakan politik bukan Melayu juga mendapat sokongan kuat pengundi kaum Cina.
Sehingga PRU-12 (2008), sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO masih kuat, dapat 18 daripada jumlah keseluruhan 28 kerusi.
Kedudukan BN Melaka mula berubah pada PRU-13 (2013), di mana MCA ditolak pengundi kaum Cina dan mengalami kekalahan. Hanya seorang calon MCA menang, berbanding enam (2004) dan empat (2008). Kekalahan calon-calon MCA ini mempengaruhi kedudukan keseluruhan BN Melaka.
Dalam PRU-13, BN/UMNO walaupun masih mengekalkan kedudukan tetapi jumlah kerusi DUN dimenangi menurun kepada 21 berbanding 23 (2008) dan 26 (2004).
Kemerosotan BN paling buruk adalah dalam PRU-14, hanya 13 kerusi (dimenangi calon UMNO) dan semua rakan BN bukan Melayu mengalami kekalahan teruk. Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 15 kerusi. Daripada 13 kerusi dimenangi UMNO, enam dengan majoriti sangat kecil, iaitu kurang daripada 1,000.
Dapat dilihat, calon-calon UMNO mengalami kemerosotan dalam PRU-14 berbanding PRU-13 dan PRU-12. Adakah trend ini akan terus berlaku dalam PRN Melaka, 20 November ini?
Berdasarkan senario politik selepas PRU-14, agak sukar bagi BN/UMNO mengembalikan pencapaian gemilang di Melaka. BN/UMNO mungkin menghadapi masalah besar untuk membentuk kerajaan negeri. UMNO menghadapi persaingan besar di kawasan majoriti pengundi Melayu dengan Perikatan Nasional (PN) atau PH. Undi Melayu akan berpecah sekurang-kurangnya kepada dua.
RASUAH
Isu pembangunan yang dibawa oleh BN/UMNO tidaklah begitu laku dan menarik minat pengundi, khususnya orang muda yang semakin besar peratusnya. Isu jalan raya, elektrik dan kemudahan asas lain sudah tidak lagi berupaya menarik pengundi.
Isu-isu yang lebih sesuai seperti masalah pengangguran generasi muda, bebanan kewangan pengajian tinggi, peluang pekerjaan setelah tamat pengajian, ekonomi dan seumpamanya perlu lebih diutamakan.
Semua isu ini dapat diselesaikan atau dapat dikurangkan, khususnya kepada orang Melayu jika persoalan diutarakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan tepat. Apa yang berlaku adalah kewangan negara dialirkan ke lain tempat dengan darjah ketirisan yang tinggi, salah guna kuasa dan rasuah melampau.
Hadirnya beberapa pemimpin tinggi BN/UMNO yang terpalit dengan rasuah dalam kempen PRN Melaka tidak disenangi oleh beberapa pihak dan pengundi. Sama ada telah didapati bersalah (masih dalam rayuan) atau perbicaraan mahkamah, individu ini secara umum tidak dapat diterima sepenuhnya oleh pengundi yang rasional.
Sepatutnya pemimpin sebegini tidak terlibat dalam kempen PRN Melaka, apatah lagi jika dilantik sebagai penasihat kerajaan.
Saya lihat BN/UMNO tidak mudah dan menghadapi masalah besar dalam mengembalikan kejayaan besar seperti dicapai sebelum 2018. Untuk membentuk kerajaan negeri, mungkin mampu jika sokongan pengundi kawasan majoriti Cina memihak kepada BN.
Untuk mengharap sokongan besar kawasan majoriti pengundi Melayu semata-mata adalah amat sukar.
Umumnya, kawasan DUN majoriti pengundi Melayu ini secara relatifnya akan mudah dikuasai oleh parti poliik Melayu (sama ada UMNO, Bersatu atau Pas) sekiranya pertandingan satu lawan satu dengan calon PH. Akibat pertandingan dan perebutan sesama kita, mungkin akan berlaku kawasan DUN majoriti Melayu dimenangi calon PH.
Akibat sengketa sesama kita, kita rebah di medan sendiri. Terbinakah keinsafan akibat pertikaman sesama sendiri, atau kita terus diulit lena harapan palsu berpanjangan? Insaflah bangsaku!
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.










