LAPORAN Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai angka muflis membabitkan golongan muda bakal meningkat amat mengganggu emosi.
Pakar meramalkan jumlah golongan muflis berusia 30 hingga 45 tahun bakal melonjak pada tahun depan.
Ia dikatakan boleh berlaku apabila beberapa kemudahan dan bantuan kewangan seperti moratorium dan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berakhir hujung tahun ini.
Paling dibimbangi, golongan muda yang sengsara itu akan mula mencari ah long untuk menampung kos sara hidup selepas tiada lagi bantuan kewangan.
Seorang pakar kewangan dilaporkan berkata, pinjaman lima serangkai menjadi punca anak muda jatuh muflis. Ia melibatkan pinjaman peribadi, pendidikan, kereta, rumah serta kad kredit. Justeru, pihak berkuasa perlulah mencari solusi agar golongan muda ini tidak mudah bergelar muflis.
Pada era 1990-an, jarang kita dengar golongan berusia bawah 40 tahun menghadapi krisis kewangan hingga bergelar muflis atau bankrap. Kini ada yang belum cukup umur 30 tahun sudah hilang kelayakan untuk mendapat pembiayaan akibat muflis.
Pendidikan kewangan di peringkat sekolah perlu diperkasa melibatkan disiplin menyimpan, berbelanja dan melabur dengan hemat. Pendidikan kewangan diri, keluarga dan perniagaan secara asas perlu dimulakan sejak sekolah rendah hingga universiti.
Budaya materialistik seperti cara hidup mewah dengan barang berjenama hingga mengenepikan produk buatan ‘Gombak’ dan ‘Ipoh’ harus dikikis. Orang muda perlu diajar untuk hidup dengan ukur baju di badan sendiri, bukannya berhutang hingga tidak sedar diri.
Muflis boleh dielakkan jika pinjaman mudah dibuat ikut kemampuan. Bukannya pinjaman yang tidak terkawal hingga menjadi padah bila diburu ah long yang tidak ikhlas untuk menolong menyebabkan hidup keluh kesah.
Kepada orang muda, setiap pinjaman lima serangkai perlu diurus dengan ilmu kewangan dan banyak bertanya dengan pakar bidang tersebut. Bila bergelar muflis, imej agak tercalar. Namun, ada jalannya untuk bebas daripada status tersebut. Cuma jangan muflis idea untuk selesaikan masalah yang membelenggu.










