JIKA ada pengajaran paling penting daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, pertamanya, rakyat negeri itu mahukan kestabilan politik dan kedua, ketepatan strategi dan kekukuhan jentera parti memainkan peranan utama dalam pilihan raya.
Dalam kedua-dua aspek ini, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO selaku induk utama, jauh terkehadapan berbanding pencabar lain dengan mengumumkan lebih awal senarai calonnya termasuk calon Ketua Menteri jika menang selain mengumumkan lebih awal manifestonya.
Seawal 6 November lagi, sebelum hari penamaan calon pada 8 November, BN mengumumkan senarai calon yang membayangkan komitmen untuk melakukan rejuvenasi politik di negeri itu dengan meletakkan 86 peratus muka baharu.
Paling berani, menggugurkan sembilan penyandang jawatan yang mulanya mendatangkan risiko perpecahan dalam kalangan penyokong pihak yang digugurkan tetapi cepat diatasi disebabkan pengumuman lebih awal.
Sepanjang tempoh PRN, jentera pilihan raya BN khususnya UMNO kelihatan cukup ampuh dengan kesemua pengumuman dibuat oleh Pengarahnya selaku Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan dengan tiada percanggahan kenyataan berlaku.
Turut memberi kekuatan kepada jentera pilihan raya ialah bila kesemua sayap UMNO diletakkan sebagai calon, iaitu empat mewakili Pemuda, tiga Wanita dan seorang Puteri, sekali gus memadamkan keresahan awal golongan Wanita mengenai peminggirannya.
Manifesto BN juga diumumkan awal bersama pengumuman calon Ketua Menteri pada 10 November bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran yang mempunyai lima teras. Pertama, mengekalkan kestabilan politik menerusi agenda meraikan politik yang matang termasuk cadangan meminda perlembagaan negeri bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan dalam kalangan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata.
Kesemua ini ditambah persepsi negatif melingkari PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) khususnya sebagai pencetus ketidakstabilan politik kerana persekongkolan mereka dengan empat bekas ADUN yang menarik balik sokongan sehingga menjatuhkan kerajaan dan menyebabkan PRN terpaksa dilangsungkan.
Kemarahan rakyat Melaka ini tergambar bila dua bekas ADUN dari UMNO, iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang bertanding atas tiket PKR dan Amanah ditolak oleh pengundi bersama-sama 10 calon PKR dan lapan Amanah walaupun mereka cuba dijenamakan sebagai ‘katak berprinsip.’
Selaras dengan hukuman yang diberikan kepada pelompat parti yang menjatuhkan kerajaan dan pihak yang bersekongkol dengan mereka ini adalah sokongan besar kepada pihak yang dilihat sebagai dikhianati, iaitu membolehkan BN menang tiga per empat kerusi DUN Melaka, 18 UMNO, dua MCA dan satu MIC.
Paling jelas, keputusan PRN Melaka ini adalah penolakan hampir mutlak pengundi Melayu kepada calon-calon PH sehingga menyebabkan PKR dan Amanah hanya mampu menang di satu daripada 20 kerusi yang mereka tandingi selain menyebabkan DAP kalah di empat daripada lapan kerusi yang mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
MOU
Walaupun Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak terlibat secara agresif dalam kempen PRN Melaka ini mengenangkan dua pihak yang bertembung dengan UMNO, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas adalah rakan sejawatan dalam Kabinet di peringkat Pusat, tetapi pengaruh beliau masih besar.
Ini kerana banyak data yang dikutip oleh pengkaji politik menunjukkan salah satu faktor utama mengapa pengundi menolak PH dalam PRN Melaka ini berikutan ketidakpuasan hati mereka ke atas tindakan pemimpin PH memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan.
MoU yang diusahakan oleh Ismail Sabri ini memang mendatangkan kestabilan kepada politik negara bila PH berjanji menyokong atau berkecuali bagi undi Bajet 2022 serta apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain selepas proses penggubalannya dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.
Pada masa sama, ia juga sebenarnya memberi kelebihan kepada PH mencapai matlamat perjuangannya untuk melaksanakan banyak transformasi politik yang sering dilaung-laungkan oleh pemimpinnya, hanya sanya penyokong PH di peringkat bawahan melihat MoU ini memandulkan PH.
Adalah natural jika ada pemimpin UMNO yang mahukan PRU-15 dilangsungkan secepat mungkin ekoran kemenangan besar BN dalam PRN Melaka untuk mengambil feel good factor. Begitupun, ada sekurang-kurangnya tiga faktor besar yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan ini boleh diambil.
Pertama, kerajaan terikat dengan MoU yang mensyaratkan ia tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022 melainkan jika MoU ini ditamatkan lebih awal ekoran kegagalan mana-mana pihak untuk menunaikan dan melaksanakan mana-mana butiran perjanjian.
Kedua, melangsungkan PRU-15 dalam tempoh terdekat akan meningkatkan risiko untuk pandemik Covid-19 kembali membarah bila berlakunya kempen dan pengundian di seluruh negara sekali gus mengakibatkan pencetusnya dihadapkan dengan persepsi mengabaikan keselamatan rakyat demi kepentingan politik tatkala negara sudah stabil.
Ketiga, pemimpin UMNO juga tidak boleh terlalu yakin kemenangan besar BN boleh diterjemahkan kepada kemenangan besar di seluruh negara kerana PRN Melaka tidak dianggap terlalu penting kerana tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Pusat.
Kemenangan besar BN juga tidak dikatakan sebagai kemenangan mutlak kerana peratusan undi popular BN dan undi majoriti ramai calon BN dikatakan tidak besar, apatah lagi bila komposisi serta pegangan dan budaya politik pengundi di Melaka dikatakan turut berbeza berbanding pengundi di banyak negeri lain.
Tegasnya, sementara ucapan tahniah perlu diberikan, diharapkan BN tidak terbuai-buai dengan rasa gembira, sebaliknya terus mengambil iktibar daripada kekalahan mereka dalam PRU-14 setelah menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelumnya.
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).










