BUKAN meneka dalam kesamaran kerana segalanya sudah menjadi kenyataan. Bahawa 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Itu keputusan muktamad pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Ertinya, majoriti rakyat Melaka menyerah mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan. Sebanyak 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Pastinya, rakyat Melaka tidak mahu melihat ada lagi sebarang kecelaruan atau gangguan terhadap BN, parti yang mereka pilih itu menerajui kerajaan. Kalau ditanya, sudah pasti mereka ada jawapan sendiri tentang kenapa dan untuk apa mereka memilih BN?
Kata-kata mudah yang dapat dipetik bahawa pada PRN itu, rata-rata pengundi memilih sebuah parti yang dianggap stabil. Sudah ada pemulihan keyakinan terhadap BN.
Lumrah dalam sebarang pertandingan, ada kalah dan menang. Paling penting, pihak yang menang bukan untuk bersorak riang menjulang kehebatan tetapi menerima kemenangan dengan syukur dan insaf untuk menunaikan janji dan kepercayaan yang rakyat berikan.
Sementara pihak yang tidak tercapai hajat dan kurang mendapat sokongan, usah gundah melanda perasaan. Seeloknya, jangan ada lagi cemburu di hati. Mungkin ada calar terluka, namun jangan biarkan parutnya kekal berpajangan.
Apa yang bakal dirancang dan dimajukan oleh kerajaan baharu adalah demi kepentingan semua secara adil, seiring idaman setiap rakyat. Jadi, berilah peluang kepada pihak yang memperoleh kepercayaan memikul mandat, menunai tanggungjawab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri menegaskan, agenda utama pentadbiran baharu Melaka adalah untuk menyalurkan kebajikan kepada rakyat selain memajukan sektor ekonomi dengan lebih meluas. Teringat kata-kata orang Melaka: “Melaka jangan hanya menjadi tumpuan pelancong di hujung minggu tetapi sumber ekonomi rakyatnya biarlah segar sepanjang waktu.”
Pentadbiran Melaka di bawah Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang dilantik semula sebagai Ketua Menteri (ke-13) sudah pasti akan menyusun dasar, menyalur perkhidmatan yang sebaiknya untuk rakyat. Termasuk memastikan peruntukan sejumlah RM574 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan di Melaka 2022 dapat dimanfaatkan secara optimum.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyebut tentang peruntukan bagi negeri itu di Dewan Rakyat, Khamis lalu. Peruntukan tersebut, katanya, untuk pelaksanaan 171 projek pembangunan yang dirancang dibangunkan di negeri itu.
Banyak hal menarik boleh dilihat pada PRN Melaka yang baru berlalu. Ramai memuji sikap dan semangat ‘bersahaja’ rakyat Melaka dalam menghadapi PRN kali ini.
Dianggap bersahaja kerana menunjukkan mereka sudah tahu dan kenal siapa dan parti mana untuk dipilih.
BOSAN
Mereka membuat perkiraan mudah tetapi tepat. Selain mencari parti yang stabil, mereka juga dapat mengukur karakter atau asas peribadi setiap calon termasuk soal lompat melompat parti.
Tiga calon muda, iaitu yang berusia di bawah 35 tahun diberi tempat oleh pengundi Melaka. Seramai 21 calon atau 19 peratus daripada keseluruhan 112 calon yang bertanding berumur bawah 35 tahun. Mungkin kecenderungan memberi laluan kepada calon-calon muda ini akan terus berkembang pada masa akan datang.
Terdorong dengan perasaan cemuh dan bosan dengan suasana politik semasa, mungkin menjadi salah satu faktor kenapa peratusan keluar mengundi agak merosot, iaitu tidak sampai pun mencecah 70 peratus sebagaimana diramal dan diharapkan oleh banyak pihak.
Trend ini perlu diberi perhatian serius. Masyarakat perlu disedarkan tentang perlunya mengundi demi kepentingan membentuk kuasa menerajui pemerintahan.
Antara pengajaran dan iktibar lain yang boleh diambil ialah timbanglah semasak-masaknya sebelum bertindak menggugat atau merombak sesebuah kerajaan. Dalam konteks Melaka, mereka yang terbabit terpaksa berhadapan dengan kenyataan, untung tiada, rugi yang diterima.
Satu istilah yang sering digunakan dalam memberi peringatan kepada sesiapa yang gemar memburuk-burukkan pihak lain secara keterlaluan atau menyerang bertubi-tubi ke atas peribadi seseorang ialah pulang paku buah keras (backfired).
Masyarakat menjadi muak dan jemu mendengar serangan keterlaluan terhadap seseorang oleh mereka yang cuba meraih populari melalui cara demikan. Dalam hubungan pada PRN Melaka, cara berkempen melalui serangan peribadi yang dianggap agak keterlaluan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatannya tidak dekat di hati rakyat.
Sekali lagi, pada umumnya di PRN Melaka, rakyat negeri itu tahu mencari yang realistik, bukan retorik. Mereka mahu menyampaikan isyarat bahawa rakyat Melaka atau boleh dikaitkan dengan rakyat Malaysia umumnya sudah tahu memilih apa yang dianggap munasabah oleh mereka berpandukan sejarah dan senario politik semasa di tanah air.
Meskipun tidak ada ceramah-ceramah umum secara terbuka, gerakan kempen rumah ke ruman dan melalui media sosial membuktikan suatu perkembangan baharu yang sihat dalam kalangan masyarakat.
Kejayaan adalah cabaran. Membuktikan keupayaan lebih manis daripada mengintai kelemahan lawan. Semoga segala usaha murni dipermudah dan diberkati!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










