KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak akan hilang apa-apa jika mengeksport tenaga boleh diperbaharui dari matahari dan angin ke Singapura berbanding pasir dan air merupakan kenyataan yang tidak berpandangan jauh.
Memang tenaga boleh diperbaharui datang dari sumber anugerah Allah SWT yang percuma. Begitu juga dengan air dan pasir. Kita cuma perlu melabur dalam penyediaan infrastruktur untuk menjana tenaga dari sumber alam ini sebelum menjualnya secara komersial.
Tetapi antara penjualan air dan pasir ke Singapura dan tenaga boleh diperbaharui atau lebih dikenali sebagai RE mempunyai implikasi yang sangat berbeza untuk masa depan kita semua. Ia mempunyai kaitan dengan daya saing untuk menarik kemasukan pelabur-pelabur yang berkualiti.
Kita sepatutnya bertanya, kenapa Singapura bersungguh-sungguh untuk mengimport bekalan elektrik daripada sumber RE kita? Apa bezanya dengan tenaga dijana secara konvensional?
Di sini sebenarnya Dr. Mahathir gagal mentafsir implikasi masa depan jika Malaysia membenarkan pengeksportan tenaga dari sumber RE kepada Singapura. Jika itu berlaku, ia bakal mendatangkan kerugian besar kepada negara pada masa depan. Sebagai seorang negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya boleh membaca taktik negara jiran kita itu.
Apa yang Dr. Mahathir gagal tafsir atau mungkin tidak mahu faham ialah Singapura memerlukan RE untuk menarik pelabur-palabur berkualiti dan berteknologi tinggi dari sektor teknologi bersih untuk melabur di republik itu.
Sekiranya negara seberang tambak itu menggunakan RE sebagai sumber tenaga utama, ia mampu menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi dunia dalam teknologi bersih seperti Amazon, Google, Apple, Tesla dan sebagainya.
Disebabkan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menjana RE maka Singapura membuat tawaran untuk membelinya daripada Malaysia. Andainya Malaysia membuat keputusan menjual RE kepada Singapura maka ia ibarat menikam diri sendiri atau kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Maka, daripada menjualnya kepada Singapura adalah lebih baik Malaysia menggunakan RE untuk keperluan sendiri dan menjual tenaga daripada sumber konvensional kepada Singapura.
Dengan cara ini, ia bukan sahaja akan mencipta kelebihan kepada Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti daripada firma-firma antarabangsa terbabit yang mengutamakan penggunaan tenaga bersih.
Malahan kuota solar yang digunakan untuk membangunkan ladang solar di Malaysia boleh diagihkan untuk pelaksanaan program solar di dalam negara sebagai mana yang telah kerajaan lakukan. Malaysia adalah antara negara di rantau Asia yang mempunyai industri perkhidmatan solar yang mantap dan berkembang dengan kompetitif.
Buat masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 200 syarikat solar di negara ini yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Malaysia sepatutnya menggunakan kelebihan dalam penghasilan RE ini untuk menjadi pusat kecemerlangan kepada industri berasaskan teknologi bersih di rantau ini.
Berdasarkan kepada permintaan Singapura, mereka mahu bekalan 100MW RE dari Malaysia, 24 jam sehari sepanjang tahun. Untuk membekalkan tenaga sebanyak itu daripada solar secara konsisten 24 jam sehari sepanjang tahun perlu menjana 400MW yang mana ia memerlukan ladang solar seluas 1,600 ekar. Ini akan mendatangkan kerugian kepada kita dari segi penggunaan tanah.
Lagi pula kita semua perlu sedar bahawa RE adalah daya tarikan kepada pelabur berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi untuk melabur di mana-mana negara. Jika Malaysia memiliki kelebihan ini, kenapa mahu diserahkan kepada orang lain? Jika kita bekalkan RE ke Singapura, maka republik itu akan mengisytihar mereka mengguna RE sebagai sumber tenaga dan sudah tentu firma-firma berkualiti tinggi ini akan berbondong-bondong melabur di negara jiran itu. Sampai bila kita mahu terus jadi backyard kepada Singapura? Kita akan rugi. Pada hal, kita mahu menggalakkan pelabur berkeparan dan berteknologi datang ke negara kita. Ini kelebihan yang kita ada yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Pandangan Dr. Mahathir agak terkebelakang kerana masih terikat dengan nostalgia air tiga sen. Bekas Perdana Menteri itu juga mungkin terlepas pandang, kita ada kira-kira 300,000 graduan menganggur. Mungkin kita boleh menggunakan tenaga solar anugerah Allah SWT ini sebagai umpan untuk menarik pelabur-pelabur kategori ‘mewah’ yang seterusnya menyediakan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada rakyat Malaysia. Malaysia perlu siapkan diri dari sekarang. Kerajaan perlu berhati-hati supaya kelebihan yang ada ini tidak terlepas ke negara lain.
Sebab itu kerajaan perlu bertegas dalam soal ini jika mahu menjadikan Malaysia destinasi pelabur-pelabur berkualita yang mampu menawarkan upah tinggi kepada rakyat.
Walaupun ada tekanan-tekanan daripada kumpulan tertentu terutama mereka yang sudah menjalinkan perjanjian dengan rakan di seberang tambak itu, namun kepentingan negara, rakyat dan kepentingan pemain industri RE tempatan perlu diutamakan.
Pada masa sama, Malaysia perlu pelan transisi penggunaan tenaga dalam mencapai sasaran mengurangkan pelepasan intensiti karbon 45 peratus menjelang 2030.
Datuk Dr. Guntor Mansor Tobeng ialah Profesor Adjung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










