TIADA mesej yang paling banyak boleh dipetik daripada perbualan harian umum, selain rata-rata mahu melihat suasana politik tanah air kembali tenang dan stabil. Mereka berharap Malaysia terus segar membangun demi kesejahteraan rakyat dan menjamin masa depan negara.
Bukan sedikit masa dan tenaga tumpah dan terluak semata-mata kerana bercakap dan menghitung tentang politik. Pertelagahan dan tiada persefahaman politik kelihatan di mana-mana.
Penyatuan dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik sukar dicari istilah seiring kata, sepadu cita-cita. Mimpinya tetap berbeza. Tegasnya, mereka ibarat setangkai, namun tidak sebau.
Tanpa boleh disembunyi, senario dalam pertandingan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini misalnya, jelas mempamerkan ‘sengketa dingin’ yang belum berlaku sebelum ini. Nampak sangat ada pertembungan gabungan parti sesama sendiri yang masing-masing sukar mengalah dan bertolak ansur. Dan sukar dicari terjemahan kepada persoalan: “Kenapa lain di Pusat, lain pula di negeri?”
Kata sepakat sudah diketepi, bersikap sederhana tiada lagi dipeduli. Mewajarkan tindakan, ada yang beralasan kononnya mahu menguji kekuatan sendiri. Tidak pula mereka khuatiri, apabila bertanding banyak penjuru. Tidakkah itu hanya boleh menguntungkan lawan sebenar?
Apa pun, suasana baharu pada PRN Melaka, Sabtu ini seolah-olah mahu menguji 495,196 pemilih berdaftar di negeri itu membuat pilihan dengan benar-benar teliti. Lebih teliti dari sebelum ini. Mereka sudah dibayangkan, siapa yang bakal menerajui negeri atau memegang jawatan Ketua Menteri jika mana-mana parti memperoleh kelebihan majoriti.
Berada dalam lingkungan 1,650 kilometer persegi, tidaklah sukar bagi rakyat Melaka mengenali tokoh-tokoh tertentu di persekitaran negeri itu, termasuk untuk mengenali calon-calon yang bertanding. Pun jua, penduduk bumi Hang Tuah itu sudah dapat mengukur parti mana atau corak pemimpin yang bagaimana boleh diberi mandat memerintah negeri.
Sebenarnya isu tiada kesepakatan dalam kalangan pemimpin parti-parti politik tanah air untuk mewujudkan suasana politik stabil dan yang melegakan hati rakyat sudah lama melingkari kehidupan. Malah, kerap sangat kedengaran ungkapan, rakyat semakin bosan dan keliru. Konteks yang diperkatakan ini lebih menjurus kepada kalangan parti-parti sebangsa, seagama dan setanah, serumpun menikmati kemakmuran bersama di bumi Malaysia.
SINGA
Malang bagi seekor singa yang dirinya luka tercalar, hanya kerana menggaru menggunakan kuku yang tajam dan dengan tindakan yang marah penuh emosi tanpa kesabaran. Akhirnya, badannya menjadi lemah dan terdedah kepada ejekan serta cemuhan haiwan-haiwan lain di hutan.
Padahal, singa itu sepatutnya lebih terhormat walau luka membasahi badan jika itu akibat daripada pertarungan dengan lawan lain yang sesama handal di dalam hutan.
Demikianlah kias ibarat mengenai sikap rakus beremosi sesama sendiri, tanpa sabar dan toleransi yang akhirnya membuatkan diri sendiri rugi. Sering kelihatan dalam kehidupan masa kini, ada kecenderungan suka bermusuh-musuhan sesama sendiri. Sukar mencari kata sepakat sedangkan masing-masing mempunyai misi perjuangan yang sama di samping mengejar matlamat serupa.
TENTERA SALIB
Melihat sejenak kepada fakta sejarah, Al-Marhum Syeikh Muammmd al-Ghazali mengatakan: “Yang menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiah pada tahun 1258 Masihi bukannya tentera Monggol. Tetapi yang menghancurkan pusat tamadun Islam itu ialah istana-istana yang subur dengan dosa dan kemungkaran.”
Demikian juga kerajaan Islam Andalusia (756-1492). Yang melenyapkannya bukan tentera Salib. Tetapi yang menghancurkannya ialah kelompok umat Islam yang hidup bermewah-mewahan dan bersenang lenang (lihat Dustur al-Wehdah al-Thaqafiyyah halaman 13).
Di bumi Melaka, kisah pengkhianat bangsa, Si Kitul tetap menjadi ingatan dan pengajaran. Kehidupan bermasyarakat, bernegara, tidak merelakan adanya manusia atau manusia-manusia sepertinya. Kejayaan dan kemakmuran sesebuah bangsa selalunya tegak teguh jika beralaskan semangat solidariti yang padu dan kukuh.
Apa yang boleh diperkatakan, keruntuhan atau perpecahan parti-parti politik di Malaysia banyak disebabkan faktor dalaman, bukan faktor luaran. Istilah dalaman dalam konteks ini termasuk sesama dalam parti yang sama atau dalam parti-parti gabungan sama.
Seperti tubuh manusia, kesakitan yang sering dialami, juga selalunya akibat daripada faktor dalaman, bukan luaran. Mungkin kerana sengaja mengambil sumber makanan yang tidak sesuai atau melakukan sebarang aktiviti tidak sihat.
Pintu penyatuan sentiasa terbuka. Hidup perlu ada sikap saling perlu memerlukan. Bertautlah! Sebagaimana air dicincang tidak akan putus. Sebaliknya, sengketa dan pertelagahan tidak pernah menjanjikan kebaikan dan penyelesaian.
Raikan persamaan, hormati perbezaan. Hidup sentiasa mencari keberkatan.
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










