SELEPAS pembentangan Bajet 2022, timbul pelbagai persepsi penerimaan masyarakat bukan Melayu ke atas kerajaan kepimpinan UMNO. Rata-rata kini memfokuskan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Apakah petanda rakyat akan menerima semula kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan UMNO atau menolaknya?
Majoriti Melayu akan menyokong Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) disebabkan ketiadaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda). Sebanyak 258 borang pencalonan dapat dijual dan ini bermakna PRN Melaka mewarisi gaya PRN Sabah. Ini kerana PRN Sabah terdapat pertembungan lebih tiga penjuru disertai ramai calon Bebas dalam sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perbezaan antara PRN Sabah dan PRN Melaka adalah komposisi etnik dan corak permainan politik. Dalam PRN Melaka, hanya Melayu, Cina dan India menjadi pemain utama dan tidak terdapat pelbagai etnik seperti di Sabah.
Hanya kelihatan tiga situasi iaitu pertembungan majoriti Melayu, pertembungan majoriti Cina dan pertembungan campuran seimbang antara kaum bukan Melayu dan Melayu. Kelihatan juga 17 kerusi DUN pertembungan majoriti Melayu dan lima DUN pertembungan majoriti bukan Melayu.
Disebabkan undi Melayu berpecah, tiga DUN menjadi dominasi pertembungan majoriti bukan Melayu, iaitu Pengkalan Batu, Gadek dan Duyong. Ini menjadikan keseluruhan lapan kerusi DUN akan mewakili sokongan bukan Melayu ke atas parti manakah yang akan membentuk kerajaan negeri nanti. Walaupun begitu, terdapat tiga DUN yang menjadi kerusi campuran walaupun majoriti pengundi Melayu antara 62 hingga 64 peratus, iaitu Asahan, Paya Rumput dan Bemban.
Dalam pertembungan kerusi DUN Melayu di Melaka, kebiasaannya sokongan diberikan sama ada kepada UMNO atau Pas. Di kerusi DUN campuran, peluang antara UMNO dan PH disebabkan sokongan bukan Melayu yang akan menjadi pencatur.
Tetapi jika dilihat, PH mempunyai peluang untuk menang kerana berlakunya perpecahan undi Melayu. Tambahan pula jika terdapat ramai calon Bebas, maka ruang kemenangan untuk BN atau PN kelihatan sukar melainkan berlaku peralihan undi bukan Melayu.
Kini sebahagian masyarakat bukan Melayu berpuas hati dengan pembentangan Bajet 2022. Walaupun begitu, ini tidak bermakna sokongan undi adalah kepada BN melainkan terdapat mana-mana komponen parti iaitu PN, BN dan PH yang mampu mengotakan janji apa yang diperlukan oleh masyarakat bukan Melayu.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, bekas kerajaan PH dan PN juga kelihatan kurang memenuhi sebahagian tuntutan mereka terutama di Melaka. Bagi BN pula, rakyat mengharapkan pemimpin memberikan definisi yang konsisten tentang apa maksud perpaduan dan Keluarga Malaysia. Definisi yang sepatutnya diterjemahkan selari dengan konsep perpaduan dan ‘keMalaysian’ kepada semua kaum dan agama. Tetapi kelihatan definisi ini ada kalanya tidak selari dengan tafsiran maksud Keluarga Malaysia.
ANTAGONIS
Isu sekarang, masing-masing kaum ada definisi tersendiri tentang perpaduan dan Keluarga Malaysia. Masing-masing menuduh kaum lain menyalah-ertikan maksud tersebut. Malahan setiap kaum mempersoalkan peruntukan Bajet 2021 mengikut tafsiran masing-masing.
Rakyat juga tertanya-tanya mengenai komponen parti pemerintah kini juga berpecah-pecah terutama dalam PRN Melaka. Adakah slogan Keluarga Malaysia hanya dirai oleh rakyat marhaen dan bukannya dalam kalangan ahli politik komponen parti pemerintah?
Persoalan timbul, kenapa perlu wujud watak antagonis dalam politik Keluarga Malaysia? Kewujudan watak antagonis dalam kalangan ahli politik hari ini ada kalanya mengutamakan kepentingan agenda politik kendiri daripada parti dan rakyat. Apa yang menakutkan adalah penglibatan anak-anak muda seusia 21 tahun dalam politik sebagai wakil rakyat.
Satu mekanisme diperlukan dalam melatih dan membimbing anak-anak muda untuk menjadi matang sebelum menceburi diri sebagai wakil rakyat. Pengalaman dan ilmu pempolitikan amat penting dalam mendewasakan jati diri ahli-ahli politik hari ini.
Tidak dinafikan kekeliruan timbul dalam kalangan rakyat sama ada ingin memilih BN atau PN disebabkan kedua-dua komponen parti tersebut adalah parti kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan negeri Melaka sebelum ini. Andai kata BN dan PN boleh bersatu, maka rakyat akan lebih mudah menyokong kedua-dua komponen tersebut dalam PRN Melaka.
Pada masa sama, konsep perpaduan dan Keluarga Malaysia hanya kelihatan retorik politik semata-mata. Perpecahan dalam politik juga merupakan salah satu sebab mengapa selama ini perpaduan antara kaum atau sesama kaum gagal diwujudkan. Akhirnya menimbulkan suatu polemik ketidaksepaduan masyarakat di negara ini.
Kini, apa yang bakal berlaku dalam PRN Melaka berkemungkinan terjadi pada PRU-15 nanti. Jika situasi perpecahan dalam komponen kerajaan pemerintah tidak diselesaikan, berkemungkinan konsep Keluarga Malaysia akan berkubur.
Ini mendorong ketidakyakinan rakyat ke atas mana-mana komponen parti pemerintah di peringkat Persekutuan yang berkemungkinan berakhir dengan pembubaran Dewan Rakyat. Malahan kerajaan yang terbentuk pada hari ini adalah lemah dan kurang stabil dari persepsi rakyat.
Andaian persepsi ini berkemungkinan akan diterjemahkan dalam PRN Melaka. Timbul persoalan, adakah ahli MCA dan MIC yang sebelum ini menyertai dan menyokong PN berkemungkinan akan terus menyokong PN dalam kawasan pertembungan majoriti kerusi DUN Melayu?
Walau apa pun, jika kemungkinan-kemungkinan ini berlaku, maka kelihatan PH mempunyai peluang untuk menang tetapi masih belum cukup majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Melaka tanpa sokongan pengundi Melayu di kerusi pertembungan DUN majoriti Melayu.
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











