BENUA Afrika menyimpan banyak khazanah dunia baik dari segi sejarah hinggalah sumber asli yang tidak ternilai. Dahulu, bumi Afrika dilihat suram dan sentiasa terpalit dengan kisah pahit getir, tetapi kini rancak dengan pelbagai bentuk pelaburan dan projek mega bernilai ratusan juta ringgit.
China merupakan antara negara kuasa besar yang paling aktif melabur di benua itu. Sementara itu, Malaysia menjadi antara destinasi pilihan warga Afrika yang ingin melanjutkan pengajian berikutan universiti di negara ini terbukti berkualiti tinggi apatah lagi berpatutan dari segi yuran pengajian serta kos sara hidup. Ramai dalam kalangan graduan dari Afrika di sini kini menjadi pemimpin di negara masing-masing.
Namun, rata-rata rakyat kita melihat benua berkenaan dari sudut pandang negatif atas dasar penilaian mereka terhadap sikap segelintir warga Afrika di negara ini yang terlibat dengan pelbagai jenayah terancang seperti Love Scam, dadah dan sebagainya. Penilaian seperti ini sudah tentu tidak boleh diterima kerana terdapat 54 buah negara di Afrika dan mereka yang melakukan jenayah di tempat kita kebanyakannya datang dari negara-negara tertentu. Mereka ini sama sekali tidak mewakili keseluruhan warga Afrika.
Mungkin pembaca tertanya-tanya, bagaimana kehidupan di Afrika?
Bagaimana budaya dan cara mereka berfikir? Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, saya menemu bual seorang rakyat kita yang sedang berkelana di Uganda atas urusan kerja, Nora Afzam Abdul Wahab.
“Sebelum saya bertolak ke Uganda, ada beberapa rakan memberi amaran kepada saya. Kata mereka, saya perlu berhati-hati kerana di sana (Afrika) ramai orang jahat.
“Jangan sesekali percaya dengan orang Afrika. Kata-kata sebegini membuatkan saya rasa cuak. Tetapi disebabkan amanah kerja, maka saya nekad,” katanya baru-baru ini.
Namun, Nora Afzam, 37, ada buat sedikit kajian tentang Uganda sebelum ke sana. Menariknya, dia dapati Uganda adalah negara paling selamat di Afrika Timur.
Dia yang bertugas sebagai Penasihat Pembangunan Perniagaan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa menjelaskan, kebanyakan orang kita salah faham dengan warga Afrika kerana mereka biasanya lebih mengenali Nigeria dan Afrika Selatan.
Seperti diketahui, sebahagian pendatang Nigeria terpalit dengan jenayah tertentu dan disebabkan itu rata-rata orang kita merasakan semua orang Afrika berperangai seperti mereka. Stigma masyarakat kita adalah sering menganggap orang Afrika tinggal dalam lumpur, makanan tidak sihat dan kotor serta terpaksa dicatu.
“Inilah antara salah faham besar pada pandangan saya. Mungkin juga media sering memaparkan gambar kanak-kanak berkulit hitam tidak berbaju, berperut buncit menangis sambil menghulurkan mangkuk kosong merayu makanan,” jelasnya yang berada di Uganda sejak awal tahun ini. Sepanjang tempoh ini, dia rasa begitu selesa dan selamat.
PERAMAH
Dia sebelum ini pernah mengembara ke Ghana dan selatan Sudan bagi mengajar sekumpulan jurutera di sebuah syarikat. Meskipun berbeza agama dan suku kaum, sikap toleransi warga Uganda dan Ghana dilihatnya sangat tinggi.
Terdapat persamaan antara orang Malaysia dan Uganda, iaitu mudah berkawan disebabkan sikap peramah.
“Apabila berjalan seorang diri, saya pasti akan disapa mereka. Apa yang melucukan, kadang-kadang mereka menyapa saya dalam Mandarin kerana sangkakan saya dari China,” ujarnya.
Selain itu, dia kagum kerana tidak nampak sesiapa pun merokok di tempat awam. Apabila dia bertanyakan penduduk di sana, rupa-rupanya merokok bukan budaya rakyat Uganda.
Tidak berpuas hati, dia bertanya pada seorang doktor kerana rasa aneh apabila tiada papan tanda larangan merokok. Doktor itu menjelaskan, ada tiga sebab utama perokok hampir tidak wujud di Uganda.
Pertama, cukai rokok yang dikenakan kerajaan Uganda adalah sangat tinggi. Kedua, kerajaannya menjalankan kempen berhenti merokok di peringkat tertinggi. Ketiga, merokok di tempat awam dikira sebagai kesalahan jenayah merujuk kepada Akta Kawalan Tembakau Uganda 2015.
Perkara lain yang menarik perhatian Nora Afzam adalah buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar, bahkan buah avokado boleh didapati dengan mudah di halaman rumah. Kalau di negara kita, sebiji avokado bersaiz separuh tapak tangan berharga RM9 tetapi di sana antara 50 sen hingga RM1.50 sahaja. Selain avokado, nanas, tembikai dan mangga juga banyak dijual di tepi jalan.
Cerita Nora Afzam begitu menarik dan penting untuk kita memahami situasi sebenar di bumi Afrika yang penuh warna-warni. Ternyata salah faham kita selama ini lahir daripada sikap menghukum tanpa mengkaji penuh teliti.
Paling penting, jangan sesekali bersikap dwistandard terhadap bangsa-bangsa tertentu. Insya-Allah, saya akan bawakan lebih banyak kisah tentang bumi Afrika nanti.
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.