ISU rakyat Malaysia khususnya berkategori pakar dan profesional berhijrah serta bekerja di luar negara bukanlah perkara baharu di negara kita. Pengaliran keluar kelompok bakat tempatan seperti ini terus diperdebatkan kerana mampu memberi impak besar kepada proses pembangunan dan kemajuan negara terutama boleh menjejaskan impian untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Baru-baru ini juga kita dikejutkan dengan laporan Malaysia bakal ‘kehilangan’ beratus doktor serta jururawat berikutan tindakan beberapa hospital di Singapura menawarkan kontrak lumayan dan insentif menarik untuk mereka bekerja di negara itu. Tawaran bekerja di rangkaian hospital awam republik itu dikatakan menarik minat ramai doktor dan jururawat negara ini untuk berhijrah, khususnya dalam kalangan mereka yang masih berstatus kontrak ketika ini.
Antara faktor yang mencetuskan minat mereka ialah tawaran gaji sehingga mencecah 10 kali ganda berbanding gaji yang diperoleh di negara ini. Selain itu, majikan di negara jiran terbabit menawarkan bantuan dari segi dokumentasi seperti kuarantin, permit kerja dan proses imigresen serta lesen daripada Lembaga Perubatan Singapura (SMC) bagi membolehkan mereka memulakan tugas dengan segera.
Malah Timbalan Menteri Sumber Manusia juga baru-baru ini mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa gaji minimum yang tinggi terutama di negara-negara maju menjadi tarikan utama sebilangan rakyat kita sanggup bekerja di luar negara termasuk di Australia dan Korea Selatan. Gaji minimum di Australia dianggarkan bersamaan RM84.28 sejam, manakala di Korea Selatan gaji minimum bersamaan RM33 sejam.
Di Malaysia pula, pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan atau RM5.77 sejam di wilayah bandar utama dan RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam di luar bandar adalah berdasarkan tempat kerja.
Jelas sekali ada kelemahan ketara dalam pasaran kerjaya tempatan merangkumi aspek kadar gaji dan manfaat yang diterima serta jaminan peluang pekerjaan sehingga bakat tempatan terpaksa membawa diri ke negara luar. Ini satu situasi cukup kritikal dan membimbangkan di mana kita tidak boleh membenarkan fenomena brain drain seperti ini terus berlaku sehingga merugikan negara.
Ironinya, inilah masa untuk kita menggembleng segala tenaga dan bakat sedia ada untuk membina semula negara yang menerima kesan langsung akibat serangan wabak Covid-19. Kita memerlukan kepakaran anak tempatan untuk membantu memulih dan membangunkan semula rakyat dan negara yang terjejas teruk dek krisis kesihatan dan ekonomi global.
HUJAN BATU
Justeru, kita berharap tenaga profesional tempatan dan kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya untuk menoktahkan budaya penghijrahan seperti ini.
Pakar tempatan misalnya, wajar meneliti dan menilai semula rasional di sebalik budaya dan minat untuk berhijrah dan bekerja di negara luar. Kita akui kadar gaji dan pelbagai pakej ganjaran ditawarkan di sini masih rendah serta tidak setara dengan bakat, pengalaman dan kemahiran yang ada berbanding tawaran menarik dan lumayan di negara luar. Namun, adakah gaji dan kemudahan itu semata-mata hendak dijadikan sebagai ukuran dalam kita membina kerjaya dan masa depan diri dan keluarga?
Jangan lupa kata-kata keramat, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Ironinya, kita bekerja kuat dan mengharapkan gaji lumayan untuk menikmati kehidupan aman, selamat dan bahagia bersama keluarga baik sekarang mahupun demi masa depan. Tetapi apakah negara luar yang menjanjikan gaji menarik itu turut boleh menyediakan kehidupan tenang dan bahagia seperti di tanah air sendiri?
Dalam konteks ini, satu fakta penting ialah walaupun kita memberikan sepenuh khidmat bakti kepada majikan dan negara tersebut, jangan lupa kita tetap berstatus orang luar atau imigran dan pada hakikatnya, itu bukanlah negara kita.
Di samping itu, jangan juga lupa tanggungjawab sosial kita terhadap negara tercinta. Inilah satu-satunya negara yang kita ada, maka amatlah wajar untuk kita memberikan sepenuh jiwa dan raga demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, bagi yang sedang memasang impian untuk berhijrah, fikirlah masak-masak sebelum membuat keputusan. Ingat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Bagi yang sedang berkhidmat di luar pula, ayuh, marilah pulang ke sarang kerana negara sedang bergelut untuk pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan lantaran sangat memerlukan kepakaran kalian untuk membangunkan negara.
Pada masa sama, kita berharap kerajaan akan berusaha untuk ‘menghalang’ penghijrahan bakat yang sedang berlaku dengan cara mengkaji dan menambahbaik skim gaji dan pakej perkhidmatan yang sedia ada agar benar-benar setara dengan kelayakan serta kepakaran bakat tempatan. Secara prinsipnya, kadar gaji minimum wajar dinilai semula di samping menambah baik skim dan manfaat perkhidmatan yang ada baik di sektor awam mahupun swasta. Pastikan kelompok bakat dan profesional ini mendapat jaminan kerjaya lebih menarik sebagai tawaran untuk terus berkhidmat di sini. Ringkasnya, iktiraflah selayaknya bakat tempatan yang ada, jangan sia-siakan mereka sehingga terpaksa berhijrah dan mencari rezeki di negara luar.
Sesungguhnya negara kita tidak ketandusan bakat mahupun kepakaran. Justeru, terserahlah kepada kerajaan dan kelompok bakat itu sendiri untuk memilih antara emas di negeri orang mahupun hujan batu di negeri sendiri.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.











