PERIBAHASA Melayu ada menyebut, elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati. Ia bermaksud jika tutur katanya elok, seseorang itu akan disayang semasa ia hidup dan jika budinya banyak, seseorang itu akan dikenang walaupun telah mati.
Bahasa indah digunakan dalam peribahasa boleh mendamaikan perasaan seseorang bersulamkan hati yang lapang tanpa ada perasaan marah. Inilah kesopanan masyarakat Melayu tradisional dalam berbahasa.
Bangsa Jepun dan Cina juga amat mementingkan nilai kesopanan. Pepatah Jepun lama ada menyebut, anda boleh memaafkan segala-galanya kecuali kekasaran. Pepatah Cina pula menyatakan, kata-kata yang baik adalah kunci kepada hati.
Akhir-akhir ini, tidak ramai yang melihat kepentingan nilai kesopanan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Sebenarnya nilai kesopanan teramat berharga kalau ia berupa cagaran bagi membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni.
Meletakkan nilai yang baik pada tingkah laku, sentiasa beradab sopan dan sentiasa mengikut peraturan sememangnya menjadi amalan yang dituntut kerana ia bersendikan falsafah Rukun Negara. Tidaklah janggal seandainya kita mengatakan tidak sempurna jati diri seorang warganegara sekiranya mereka gagal memahami, menghayati dan menjiwai prinsip kesopanan dalam diri mereka.
Prinsip ini diketengahkan bertujuan mengekalkan dan mempertahankan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini. Kesopanan dan kesusilaan yang dicatat pada perkara kelima Rukun Negara menjadi asas utama dalam membina jati diri rakyat Malaysia.
Kita berasa amat sedih sekiranya masih ada rakyat negara ini yang terlupa prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara perlu dihayati dan diamalkan sepanjang masa tanpa memilih waktu dan musim tertentu sahaja. Prinsip kesopanan ini sebenarnya memberi penekanan terhadap aspek nilai kemanusiaan supaya setiap warganegara boleh menghormati dan menerima perbezaan masing-masing tanpa menjejaskan matlamat kesejahteraan sosial.
Ia menekankan aspek perkembangan sahsiah dan tingkah laku seseorang. Sifat individu yang bersopan santun dan bertatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Tatasusila yang dimaksudkan ini membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Berbeza dengan tingkah laku bersopan yang mempamerkan darjah kesusilaan tinggi dalam kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.
Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang maju. Amalan dan budaya yang dituntut ini bermatlamat membentuk warganegara yang bersopan santun dan bertatasusila.
Sifat individu yang bersopan santun adalah amat penting dalam konteks perhubungan sosial melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini. Prinsip kesopanan menjadi garis panduan penting supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni yang dituntut.
KASAR
Kalau pergi lebih jauh, kesopanan mempunyai pengertian sangat luas dan tidak terhad kepada aspek melibatkan pertuturan sahaja. Sebaliknya termasuk kesopanan dalam memberikan pendapat dan menyuarakan idea.
Kritikan membina boleh diguna pakai bertujuan menambah baik sesuatu idea yang dibawa. Bagi menyampaikan sesuatu pandangan dan menyelesaikan masalah, ia haruslah dijalankan dalam suasana yang harmonis, bukannya bersifat konfrontasi, kasar dan menyimpang jauh daripada amalan mengekalkan budi bahasa bersopan.
Jika wujud perbezaan pendapat sekalipun, bincanglah baik-baik dengan semangat kekeluargaan dan carilah titik persamaan dan manfaatkannya demi kepentingan bersama. Kesopanan sepatutnya dihayati dan dikekalkan dalam menyampaikan suara dan cadangan demi kebaikan bersama.
Orang tua-tua dahulu amat menjaga tutur kata mereka sehingga timbulnya ungkapan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ungkapan ini menggambarkan mereka begitu menjaga dan berhati-hati pada setiap tutur kata agar tidak menyinggung orang lain dan sentiasa dalam imej yang sopan, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.
Sopan santun kepada masyarakat tidak terhad kepada tingkah laku sahaja, bahkan merangkumi kesopanan dalam tutur kata kerana ia adalah cerminan akal budi manusia.
Memang tepat dikatakan bahawa nilai kesopanan yang diketengahkan menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang. Tujuannya membentuk warganegara yang sentiasa sopan santun dan bertatasusila.
Kesopanan dan kesusilaan adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kita yang harus ditanam dalam jiwa setiap warganegara. Masyarakat dahulu begitu berhati-hati dalam menggunakan bahasa yang dipertuturkan kerana mereka sedar dan tahu bahawa bahasa cerminan budaya bangsa.
Kita akui, ketiadaan nilai kesopanan dalam komunikasi boleh menyebabkan masyarakat jadi pincang. Tidak ada lagi perasaan hormat-menghormati.
Kita perlu memperlihatkan tingkah laku yang baik bersama nilai susilanya agar akhlak seperti ini boleh dicontohi generasi muda. Dalam masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan cara berfikir ini, menghargai dan menghormati perbezaan merupakan perkara sangat penting bagi melahirkan masyarakat harmoni dan saling menghormati.
Kerukunan hidup dalam masyarakat berbilang kaum merupakan tunjang kestabilan dan kekuatan negara. Suasana harmoni ini boleh dicapai dengan wujudnya masyarakat yang bersifat saling faham memahami. Ini sebenarnya keunikan masyarakat Malaysia yang dikagumi dunia.
Asasnya, mereka boleh berkomunikasi dengan cara yang bersopan. Setiap individu menunjukkan sikap saling menghormati antara satu sama lain dan amalan sebegini menjadi tunjang untuk sebuah negara bangsa yang berjaya. Rakyat ketika ini harus menghidupkan kembali semangat Rukun Negara.
Tujuannya bagi memperkukuhkan lagi keharmonian yang terbina di antara kaum agar tidak tergelincir landasannya. Bukankah melahirkan masyarakat bersopan, bersahsiah mulia, bermaruah, bertatatertib dan bertatasusila sememangnya diimpikan oleh kita semua?
Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni yang amat diperlukan sepanjang masa.
DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.










