Berkesankah hukuman jenayah gangguan seksual? - Utusan Malaysia

Berkesankah hukuman jenayah gangguan seksual?

AKSES tanpa batas kepada pornografi dan bahan lucah melahirkan masyarakat mental berpenyakit. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABD. Al-Aziz Amir pernah berkata: “Pendidikan, pemulihan, bimbingan dan taubat penjenayah ini telah diletakkan pada tempat yang pertama sekali sehingga keengganan orang ramai untuk melakukan jenayah akan berasaskan kepada kesedaran beragama dan dorongan diri sendiri dan bukannya kerana takutkan hukuman.”

Dalam mendepani kebejatan sosial, ketirusan nilai dan keutuhan akhlak dalam masyarakat, kita yakin hukuman jenayah sedia ada perlu dinilai semula bagi menatijahkan solusi terbaik untuk masalah gangguan seksual yang semakin membarah saban hari.

Terkini, dianggarkan enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu. Dan permasalahan tersebut turut menjejaskan golongan remaja serta kanak-kanak lelaki yang tidak terkecuali daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

Ini membawa kita kepada persoalan utama tentang objektif hukuman berbentuk pembalasan serta pencegahan yang dilaksanakan untuk mengatasi kes kesalahan-kesalahan seksual. Peruntukan undang-undang sivil terutamanya di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) secara umumnya meletakkan hukuman penjara, sebatan dan/atau denda sebagai satu bentuk balasan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan aksi atau tingkah laku seksual kepada mana-mana mangsa.

Sebagai contoh, hukuman maksimum untuk kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta 792 adalah penjara sehingga 30 tahun, denda RM20,000 dan minimum enam kali sebatan. Kebanyakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan dalam akta ini bukanlah berupa pilihan untuk hakim, sebaliknya perlu dilaksanakan tanpa gagal.

Seksyen 25 Akta 792 memperuntukkan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah laku lelaki berumur 50 tahun ke atas walaupun Seksyen 289(c) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan pesalah berusia 50 tahun dan ke atas tidak boleh dikenakan hukuman sebatan kecuali bagi kesalahan di bawah Seksyen 376, 377C, 377CA dan 377E Akta 754. Salah satu cara bagi mengurus penjenayah dalam kes jenayah seksual selain sebatan mandatori adalah pemenjaraan bagi tempoh masa panjang iaitu penjara sehingga 20 hingga 30 tahun.

Namun begitu, setelah pelbagai pindaan serta penambahbaikan hukuman bagi jenayah kesalahan seksual dilaksanakan, masih terdapat peningkatan jumlah jenayah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana wujud ratusan aduan serta lambakan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kesalahan bukan secara sentuhan fizikal seperti capaian ke laman pornografi, amang seksual seperti menunjukkan isyarat lucah dalam bentuk audio dan visual terutamanya melalui aplikasi media sosial.

PDRM

Hal ini menunjukkan undang-undang jenayah yang wujud ketika ini masih gagal untuk menghapuskan jenayah secara menyeluruh. Purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula awal 1990-an menjangkau sebanyak 9.5 peratus setahun sebagaimana dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya sudah semestinya menjadi lebih terancam kerana mereka lebih cenderung untuk menjadi mangsa.

Hakikatnya, kita masih belum dapat mencantas akar masalah walaupun kekal setia bergantung kepada peruntukan hukuman sedia ada.

Punca kesalahan seksual ini dipercayai datang daripada perasaan nafsu yang tidak dapat dikawal dalam diri. Ditambah pula faktor luaran seperti akses tanpa batas kepada pornografi dan bahan lucah, akhirnya ia menentukan tindak tanduk seseorang itu apabila dia bertemu masyarakat.

Di sinilah terletaknya kepentingan maqasid (tujuan) syariah yang menjaga nyawa dan keturunan seseorang serta menjunjung tinggi nilai kehormatan diri dan kesopanan yang asalnya memang sudah terpahat dalam budaya setempat. Oleh itu, di samping peruntukan undang-undang lebih bersifat menghukum pesalah dengan hukuman yang boleh dinilai dengan mata kasar, kerajaan sudah perlu mula mengaplikasikan undang-undang jenayah Islam kerana ia jauh lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Undang-undang jenayah Islam secara syumul mengambil kira aspek hukuman balas, pencegahan dan pemulihan kerana ia adalah sebahagian proses untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan. Usaha pemulihan akhlak, pembangunan institusi keluarga dan jiran tetangga, pembangunan sosial dan dakwah tidak akan berhasil tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam yang tidak hanya tertumpu pada tujuan keadilan berbentuk hukuman.

Dalam melaksanakan hukuman ke atas pesalah, bukanlah rasa keseksaan itu yang menjadi tujuan utama tetapi bagi menimbulkan kesedaran yang dapat mengembalikan pesalah tersebut kepada jalan kebenaran dan menjauhkannya daripada jenayah terbabit. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah az-Zukhruf bermaksud:

“Dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana) supaya mereka kembali (bertaubat).”

PENULIS ialah ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Media Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq); aktivis hak asasi manusia dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×