Apa kurangnya produksi kita? - Utusan Malaysia

Apa kurangnya produksi kita?

DRAMA bersiri Squid Game di Netflix adalah berdasarkan permainan tradisional zaman kanak-kanak yang sangat menarik dan cantik gaya persembahannya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kejayaan yang dikecapi diiringi strategi atau formula tersendiri. Elemen itu yang telah dikuasai oleh Korea Selatan dengan baik hingga membuahkan hasil yang sangat lumayan dan berbaloi kepada ekonomi negara.

Korea Selatan menumpukan sepenuh tenaga dan masa terhadap satu-satunya bidang yang menjanjikan pulangan iaitu penguasaan media dalam bidang industri kreatif.

Penguasaan ini menarik bersama beberapa sektor teknologi lain seperti alatan komunikasi, jenama kenderaan, perkakas elektrik dan alat solek untuk turut serta dalam misi mempromosikan Korea Selatan menerusi media kreatif.

Inilah satu contoh kemuafakatan sangat jitu dan berkesan demi membina sebuah negara yang dikenali di mata dunia. Apakah faktor yang membawa mereka hingga dapat mengecapi peluang besar dalam media dunia?

Untuk melihat dan memahami kemunculan media kreatif dari Korea Selatan dengan lebih jelas, helaian sejarah ringkas republik itu disemak semula. Korea Selatan ialah sebuah negara empat musim yang 70 peratus daripada bentuk geografinya adalah berbukit bukau dan tidak sepenuhnya subur.

Bentuk muka bumi ini sedikit sebanyak mengekang peluang dalam sektor pertanian. Malah, negara itu juga tidak dikurniakan dengan galian sumber asli seperti timah, minyak mahupun emas yang boleh menambahkan pendapatan. Oleh kerana faktor-faktor ini, Korea Selatan pernah berada dalam kalangan negara miskin dunia.

Namun begitu, keadaan tersebut tidak sedikit pun menjejaskan semangat rakyat dan para pemimpinnya untuk mengalah dengan kekurangan itu. Mereka berusaha dengan hati yang lapang untuk mengenali kelebihan diri sendiri, apakah yang boleh dilakukan demi kelangsungan hidup serta bagaimana untuk merapatkan jurang Korea Selatan bersama negara-negara maju lain. Persoalan ini yang difokuskan agar rungkaiannya dapat diselesaikan melepasi kotak pemikiran.

Episod sejarah industri media Korea Selatan bermula pada penghujung 1980-an. Pada awalnya, pihak berkuasa Korea Selatan tidak memberikan permit kepada sebarang tayangan industri kreatif dari luar negara. Hanya produksi tempatan dibenarkan untuk beraksi.

Namun, pada 1988, studio Hollywood satu-satunya tayangan antarabangsa telah mendapat kebenaran. Kebenaran ini menimbulkan persaingan hebat antara produksi luar negara dan tempatan.

Berikutan itu, ramai pengusaha produksi tempatan tidak mampu bertahan lalu gulung tikar. Itu merupakan detik kejatuhan pengusaha filem tempatan, daripada 121 produksi pada 1991 menjunam kepada hanya 63 (1994).

Secara amnya, industri tempatan menderita apabila pintu Korea Selatan dibuka kepada produksi gergasi Hollywood yang menggenggam pasaran ketika itu sehingga 80 peratus berbanding hanya 53 peratus pada 1987.

Pada saat inilah Korea Selatan mulai tersedar, justeru membina satu formula dengan meneladani gaya Hollywood dalam menaikkan populariti. Serentak itu, pengusaha-pengusaha besar jenama Korea Selatan seperti Samsung, Hyundai dan Daewoo turut serta mengambil kesempatan mengembangkan sayap masing-masing dalam proses produksi, import, pengedaran dan pempameran sebagai faktor utama menyumbang kepada pasaran global. Kerjasama antara kedua-dua sektor itu membuahkan hasil yang sangat lumayan.

GAH

Hingga kini, Korea Selatan tidak sahaja dikenali dari sudut industri kreatif tetapi juga gah dengan jenama-jenama teknologi mereka yang kini menjadi sebutan sebagai antara barangan terbaik dunia.

Kebijaksanaan Korea Selatan tidak terhad terhadap sudut mempromosi drama atau filem mereka sahaja, malahan pelan aktiviti yang lebih rencam dalam membina minat penonton hingga membawa kepada perasaan ingin tahu serta mencuba.

Melalui perancangan terperinci, Korea Selatan melangkah memperkenalkan negara dari sudut teknologi, pelancongan, makanan, pakaian, kebolehan dan kecantikan artis, alat solek, herba dan ubat-ubatan, bahasa, pendidikan serta pelbagai lagi kepada dunia hanya melalui drama, filem dan program televisyen.

Apa yang boleh dikatakan di sini, Korea Selatan benar-benar berhabis-habisan dalam membina kejayaan sesebuah drama di mana kepuasan penonton diambil kira sebagai faktor besar dalam membina dan mengukuhkan negara.

Sebagai contoh, apabila mereka menerbitkan sebuah drama, ia turut diiringi pelan promosi yang eksklusif seperti menyediakan promosi lawatan sekitar kawasan penggambaran, meninjau balik tabir dan buku panduan berkaitan drama tersebut. Tidak ketinggalan mengadakan perjumpaan kelab peminat.

Kaedah ini dapat dilihat dalam drama Dae Jang Geum, sebuah drama yang meneroka lebih 30 negara termasuk Asia, Australia, Kanada, Iran, Israel, Mexico, Rusia dan Romania. Drama ini juga ditayangkan di Taiwan dan Hong Kong antara 2004 dan 2005 hingga menempa kejayaan tinggi di GTV Taiwan dan TTV Hong Kong.

Berikutan kejayaan promosi drama tersebut, mereka menerima banyak tawaran dari luar negara terutama Hollywood. Sebagai contoh, Rain (Jung Ji-Hoon) ditawarkan berlakon dalam filem Ninja Assassin pada 2009, sementara Lee Byung-hun dalam G.I. Joe: Rise of Cobra (2009) dan G.I. Joe: Retaliation (2013) dan Magnificent Seven (2016).

Terkini, drama bersiri Squid Game yang rancak ditayangkan di Netflix sedang menjadi buah mulut peminat drama Korea Selatan. Squid Game merupakan drama pilihan nombor satu Netflix pada masa ini di 90 negara. Drama ini dikatakan berdasarkan permainan tradisional zaman kanak-kanak yang sangat menarik dan cantik gaya persembahannya. Pada waktu sama menampilkan unsur-unsur mencemaskan, mengejutkan dan babak-babak ngeri.

Lantaran faktor popularitinya, pelakon-pelakon utama drama ini seperti Lee Jung-jae, Park Hea-soo, Wi Ha-joon dan Jung Ho-yeon dijemput dan ditemuramah dalam The Tonight Show Staring Jimmy Fallon, sebuah program bual bicara televisyen Hollywood. Ini merupakan satu pengiktirafan bagi sebuah penerbitan drama televisyen dalam mana-mana negara dapat menikmati penghargaan sedemikian. Syabas Korea Selatan!

Kita sebenarnya tidak kurang dengan pakar-pakar penyelidikan dari pelbagai bidang termasuk produksi. Ambillah kesempatan dan jadikan kesungguhan usaha keras Korea Selatan sebagai contoh yang wajar diteladani agar kejayaan dapat dikecapi dalam skop lebih besar.

DR. Julina Tajul Ariffin ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem Teater & Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×