SETELAH dua bulan usia jemaah menteri yang mengangkat sumpah pada 30 Ogos lalu terbentuk, mungkin sudah tiba masanya dibuat sedikit penilaian ke atas prestasi menteri-menteri.
Dari seramai 32 menteri yang ada, saya sebenarnya paling tertarik dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Ini kerana, walaupun portfolio Parlimen dan Undang-Undang bukanlah portfolio Menteri Kanan, tetapi ramai beranggapan bahawa jangka hayat kerajaan ini bergantung kepada beliau.
Imbas balik sahaja kandungan memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 13 September lalu.
Daripada lima transformasi politik yang dipersetujui kedua-dua pihak, tiga daripadanya, iaitu Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen dan Perjanjian Malaysia MA63, malah Kebebasan Institusi Kehakiman juga, adalah berada di bawah tanggungjawab beliau.
Dinyatakan secara jelas di dalam Memorandum Persefahaman ini bahawa pendirian PH dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang lain adalah tertakluk kepada penunaian dan pelaksanaan transformasi di dalam memorandum persefahaman ini.
Termasuk di dalamnya adalah ketiga-tiga perkara di dalam Transformasi Pentadbiran, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat; pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik serta RUU Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi sepuluh tahun.
Begitu juga dengan pembaharuan Parlimen membabitkan membentangkan dan meluluskan undang-undang berkaitan perkhidmatan Parlimen, memastikan Parlimen menstruktur semula Jawatankuasa Pilihan Khas yang sedia ada dan menambahkan lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan, memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang, melaksanakan pindaan-pindaan yang perlu kepada peraturan mesyuarat, memperuntukkan dan menyalurkan peruntukan yang bersamaan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat kerajaan kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat yang terlibat dalam persefahaman ini serta memastikan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat diberi hak dan kemudahan yang sewajarnya.
Satu lagi ialah butiran Perjanjian Malaysia MA63 yang membabitkan perkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengannya yang turut menjadi tugasan beliau.
Sebab itulah segala apa yang diperkata dan dilakukan atau yang tidak diperkata dan tidak dilakukan oleh Wan Junaidi menjadi perhatian ramai, kerana kejayaan mahupun kegagalan perlaksanaan memorandum persefahaman ini banyak bergantung kepada diri beliau.
Mungkin banyak pihak yang terkejut bagaimana Wan Junaidi, yang berasal dari Sarawak, bersikap low-profile, tidak menonjolkan diri, dan tidak memegang jawatan utama dalam parti beliau tidak seperti pendahulu beliau, boleh diberi tanggungjawab sebesar ini.
Beliau mempunyai tahap pendidikan yang bagus, merupakan seorang intelektual pelbagai bidang dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Buckingham, Degree of Utter Barrister dari Council of Legal Education London, England, dan Ijazah Doktor Falsafah (Business Administration) dari University of Southern California, Amerika Syarikat.
Beliau juga mempunyai rekod penyertaan yang amat baik di dalam pilihan raya setelah memenangi tanpa henti kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, 1995 dan 1999 selain memenangi tanpa henti kerusi Parlimen Santubong di dalam PRU 2004, 2008, 2013 dan 2018 dengan majoriti yang tinggi dalam PRU terakhir pada 2018.
Begitu juga dengan pengalaman luas beliau di dalam kerajaan selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang pastinya memberikan kelebihan kepada beliau untuk memastikan transformasi politik yang dirancang akan terlaksana dengan jayanya.
Walaupun pihak PH dikatakan tidak begitu berpuas hati dengannya, tetapi setakat ini transformasi politik yang yang dipersetujui kedua-dua pihak telah berjalan dengan baik.
Ketiga-tiga perkara di dalam Transformasi Pentadbiran sedang dalam proses pelaksanaan dan ia masih dalam lingkungan yang dibenarkan kerana ia dijanjikan untuk dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022).
Satu langkah yang betul ke arahnya adalah tindakan kerajaan pada 10 September lalu untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember ini.
Antara perkara-perkara utama yang telah terlaksana adalah memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang, memberi peruntukan yang bersamaan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang serta memberikan hak dan kemudahan yang sewajarnya kepada ketua pembangkang.
Pembentangan RUU bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga telah dibuat semalam, hanyasanya bacaan kali kedua RUU itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet.
Setakat ini Wan Junaidi telah melaksanakan tugas beliau dengan jayanya, termasuklah dengan mengemukakan dan mendapatkan kelulusan ke atas usul untuk mengungkaikan 7 Ordinan Darurat di Dewan Rakyat menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 25 Oktober lalu.
Kenyataan-kenyataan beliau juga dilihat melegakan banyak pihak, termasuk jaminan yang beliau berikan di Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu bahawa siasatan akan dibuat ke atas isu Kertas Pandora dan bahawa hasil siasatan ini akan dimaklumkan kepada Parlimen.
Begitu juga dengan pengumuman beliau pada 27 Oktober lalu bahawa kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan supaya tidak menghalang individu diisytiharkan muflis daripada bekerja serta menjalankan perniagaan bagi melunaskan hutang.
Mungkin paling ditunggu adalah sentuhan beliau ke atas keputusan Kabinet pada 8 Oktober lalu berhubung dengan pengwujudan jawatankuasa dan pasukan petugas khas untuk meneliti kes-kes allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, Pedra Branca atau Batu Puteh dan buku Tan Sri Tommy Thomas.
DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).











