MUKADIMAH
SEBELUM melangkah keluar dari kediaman Ahli Parlimen Pasir Salak, DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN di Kuala Lumpur, kelmarin, sempat beliau mengakui dirinya memang beremosi dan lantang ketika menjawab soalan diajukan oleh kami.
Dalam temu bual lebih sejam dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta dihadiri jurufoto SHIDDIQIN ZON itu, Tajuddin meluahkan rasa marah, geram dan kecewa.
Ia apabila usahanya dalam penyatuan orang Melayu di negara ini dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak terutama Pas yang katanya, kini telah beralih arah.
Ada ketika dalam pertemuan itu, beliau berdiri kerana tidak dapat menahan emosi. Apa yang dimahukannya, kata Tajuddin, hanyalah supaya penyatuan para pemimpin Melayu Islam dapat membangkitkan semula kesedaran bangsa Melayu di negara ini.
Berikut luahan hati Tajuddin:
UTUSAN: Kenapa penyatuan ummah wujud?
TAJUDDIN: Penyatuan ummah diwujudkan bagi memperkuatkan lagi perpaduan Melayu tanpa mengira parti yang diasaskan oleh UMNO dan Pas.
Perhimpunan pertama, Himpunan Kebangkitan Melayu di Pasir Salak pada 1 September 2018 dihadiri lebih 5,000 ahli UMNO dan Pas serta penyokong dari pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam yang mahu melihat Melayu bersatu.
Kali kedua di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 yang dihadiri tidak kurang daripada 500,000 orang. Semangat itu merebak ke seluruh negara dan kemudiannya diangkat dan diperluaskan sebagai Muafakat Naional (MN). Kononnya untuk pelbagai bangsa. Cuma saya tak setuju. MN tiada sambutan kerana ia gerakan orang Melayu.
Sementara Himpunan Penyatuan Ummah yang ketiga pada 30 Ogos 2019 di Pasir Salak disertai kira-kira 50,000 orang juga mendapat sokongan daripada akar umbi dan rakyat sehingga berjaya menang dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK).
Apa hasil penyatuan ummah UMNO dan Pas itu?
Kekuatan politik baharu Melayu Islam telah bangkit dengan kesepakatan. Bila orang melihat UMNO dan Pas kuat, barulah kawan dan lawan takut termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri ketika itu.
(Kemudian) Dr. Mahathir ajak UMNO dan Pas sertai PH. Kalau kita tak kuat, mahukah Dr. Mahathir ambil? Dr. Mahathir ketika itu mengambil konsep tak boleh lawan, buat kawan.
Dr. Mahathir mahu wujudkan kerajaan perpaduan iaitu hanya memilih pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang disukai. Beliau menolak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau merancang mahu tubuhkan kerajaan dengan mengambil individu dalam UMNO selain membawa golongan profesional iaitu bukan orang politik dalam Kabinet. Tetapi usaha itu gagal selepas niatnya untuk menjadi Perdana Menteri interim tidak dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kemudian, wujudnya pergerakan beberapa orang dalam partinya belot dan menolak Dr. Mahathir dengan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika itu, UMNO mengambil pendekatan menyokong Muhyiddin atas nama ahli-ahli Parlimen. Macam-macam berlaku. Marah pun ada, sedih, geram bila bercakap perkara ini.
Bagaimana keadaan orang Melayu selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU-14?
Melayu ketika itu hilang kuasa. Bukan sahaja UMNO tetapi Pas. Kuasa ketika itu di tangan PH yang dikuasai DAP. Susah nak gambarkan bangsa Melayu ketika itu. Melayu dilihat seolah tiada harga diri, dipandang hina, dikutuk oleh pihak berkenaan.
Melayu nampak lesu, tidak bermaya dan dipandang low class. Itulah yang berlaku beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga kebangkitan semula.
Keadaan UMNO waktu itu (pasca PRU-14) macam mana?
Pemimpin-pemimpin UMNO pula selepas hilang kuasa dipandang dan dilayan sebegitu rupa seolah-olah reda dengan tidak berbuat apa-apa. Mereka menerima nasib, duduk rumah dan bermain dengan anak cucu. Tiada benda yang nak dibuat.
Memanglah sebagai orang Islam kena reda, tetapi ini politik. Jatuh sekali bukan bermakna jatuh selamanya. Setiap lima tahun ada PRU. Jadi, kita kena berusaha.
Dari situlah timbulnya kesedaran kepada saya selaku pemimpin kerdil. Keinsafan untuk Melayu bangkit semula dengan menebus kekalahan dan maruah yang hilang dalam PRU-14.
Mengapa perlu UMNO kerjasama dengan Pas?
Saya melihat kebangkitan ahli dan penyokong UMNO sahaja tak cukup kuat untuk kembali berkuasa atau menebus kekalahan dalam PRU-14.
Kerana itu, Melayu mesti bangkit dengan usahakan penyatuan antara UMNO dan Pas melalui Program Penyatuan Ummah.
Apabila kesedaran dan semangat itu wujud, maka timbullah isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pas dan UMNO serta penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menentang ICERD. Jika tiada kesedaran, saya tak fikir beratus ribu orang datang menentang ICERD.
Usaha ini dirancang oleh beberapa orang dari UMNO dan Pas yang berjaya memberikan kita kebebasan di negara sendiri untuk mempertahankan kemerdekaan daripada dijajah oleh pihak luar.
Mereka gunakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tundukkan negara-negara yang belum kuat.
Jadi, perhimpunan ICERD itu sangat bermakna. Satu detik bersejarah yang melindungi kemerdekaan khususnya kebebasan dalam membuat dasar-dasar. Sayangnya, tiada siapa peduli.
Tapi jika dilihat, usaha penyatuan ummah ini seperti mahu diruntuhkan?
Ini yang buat saya marah. Kita ketika itu sudah membuat keputusan bahawa UMNO dan Pas akan kekal jadi pembangkang dalam menghadapi PRU-15. Kita sudah bina satu kekuatan politik Melayu Islam. Hala tuju sudah jelas tapi kini sudah menyimpang dan menjadi haru-biru.
Pas membawa satu fikiran bahawa sebagai pembangkang susah mahu menang dalam PRU. Itu yang diperkatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong oleh beberapa orang kuatnya. Mereka mahu kita terima pelawaan Dr. Mahathir.
Namun, Pas dan UMNO ambil keputusan masuk dalam kerajaan PN. Saya kata jangan masuk. Saya adalah orangnya, yang satu-satunya menentang kemasukan UMNO dalam PN.
Bermasam muka berbulan-bulan dengan kepimpinan parti kerana saya enggan tanda tangan akuan bersumpah (SD) untuk menyokong. Nak marah, marahlah, tapi saya tahu apa yang saya buat. Namun, akhirnya saya sign juga sebab ikut kata keputusan parti.
Saya sokong dengan penuh perasaan berat hati. Saya mesti akur dengan kehendak majoriti parti. Saya tak mahu jadi pengkhianat atau tidak menyokong parti.
Sebagai seorang ahli parti yang sayangkan parti, kita utamakan parti bukan individu, bukan diri sendiri. Saya merupakan orang terakhir sign sebab saya tak yakin UMNO untung jika masuk dengan PN.
Kita lihat UMNO tidak mendapat kekuatan seperti mana diharapkan seperti menghentikan political persecution ke atas tokoh-tokoh tertentu.
Kononnya kerana PN ialah kerajaan Melayu yang adil dan saksama. Ini bermakna apabila masuk PN dengan beberapa tujuan untuk dapatkan kuasa dan kedudukan yang boleh bantu UMNO dan Pas dalam PRU-15.
Kita sudah lupa ikrar sebagai parti pembangkang. Kita sudah menjadi materialistik dengan memandang harta, jawatan, kedudukan dan kebendaan sebagai sumber kekuatan untuk menjamin kebangkitan parti politik masing-masing.
Adakah berhasil selepas UMNO masuk kerajaan PN melihat Melayu bersatu dan berkuasa?
Saya orang yang paling marah sekali bila UMNO tak dapat jawatan yang strategik dalam kerajaan PN. Saya kempen di seluruh negara untuk tolak Bersatu.
Saya orangnya yang mempengaruhi semua terutama ketua dan pimpinan bahagian. Saya bertemu secara one to one dengan mereka dan kemuncaknya perhimpunan di PWTC iaitu perjumpaan semua ketua bahagian dan presiden untuk membuat pendirian menolak Bersatu.
Perhimpunan Agung UMNO akhirnya membawa usul untuk tolak Bersatu apabila Parlimen dibubarkan. Kita tak desak tolak serta merta sebab kepentingan rakyat didahulukan.
Ini kerana jika kerajaan tumbang atau tidak stabil disebabkan ugutan dari UMNO boleh membawa keburukkan kepada rakyat keburukan kepada rakyat dan negara. Kita tidak mahu dituduh pentingkan kuasa di saat rakyat susah ekoran Covid-19. Kerana itu kita mahu tunggu sehingga PRU.
Saya antara mereka yang sokong untuk kekal dalam kerajaan dengan alasan mengambil strategi mendesak Muhyiddin dari dalam daripada berperang di luar.
Ada tanda-tanda kalau desak dari dalam boleh menang. Ini banyak orang tak nampak dan tak faham. Kita minta bagilah jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan menteri-menteri UMNO portfolio yang baik.
We are been dictated oleh Bersatu. Kita patut lead. Apabila saya jumpa Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, saya mengaku yang saya dalangnya menentang Bersatu kerana UMNO tidak dilayan dengan sepatutnya.
Saya kalau boleh eloklah UMNO, Pas dan Bersatu bersama dalam MN tanpa menindas antara satu sama lain, menghormati dan berikan hak kepada teman-teman lain barulah harmoni. Barulah boleh jadi perkongsian.
Saya minta mereka perbetulkan semula. Itu yang tidak lama selepas itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai TPM. Ketika itu mereka tanya saya siapa layak?
Saya kata ikut ikut hierarki dan saya tak nafikan Ahmad Zahid disebut untuk memegang jawatan itu. Tapi apakan daya beliau tidak lantik sebab masalah yang dihadapinya.
Pilihan kedua ialah Datuk Seri Mohamad Hasan tapi beliau bukan ahli Parlimen dan akhir sekali nama Naib Presiden, Ismail Sabri yang ketika itu menjadi menteri kanan.
Saya bukan bagi cadangan sesuka hati atau bukan atas alasan lain. Muhyiddin bagi gambaran rombakan Kabinet.
Saya yakin dan percaya kalau Ismail Sabri pandai, beliau boleh buat macam-macam untuk bantu UMNO termasuk isu-isu yang dibangkitkan oleh kepimpinan dan ahli UMNO untuk diterima di peringkat kerajaan tapi hanya boleh dilaksanakan jika Muhyiddin menyokong. Lillahi taala saya cakap itu.
Apa jadi selepas Muhyiddin letak jawatan?
Kita ambil pendekatan lebih baik berunding dan meneruskan strategi supaya UMNO akan dapat menerajui kerajaan.
Bila Ismail Sabri jadi Perdana Menteri bolehlah bentuk Kabinet. Ini bermakna strategi kita menjadi. Kita kini telah menjadi parti yang menerajui kerajaan.
Adakah nak diruntuhkan selepas kerajaan sekarang lead government? Boleh ke UMNO menang tanpa bantuan lain dalam PRU-15? Kalau UMNO menang pun masih belum boleh bentuk kerajaan kerana itu kita perlukan partner.
Rumusan Datuk Seri?
Saya ini bukan lagi Pengarah Pilihan Raya. Jadi, pengarah baharu perlu fikirlah baik-baik. Nasihatkan orang-orang berkenaan yang akan buat keputusan supaya apa juga keputusan yang dibuat, pastikan strategi mengena. Ini termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana akan membawa kesan.
DI MELAKA ADA PAS MENANG?
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia mahu pembahagian kerusi yang perlu sekata antara PN dan BN dalam PRN Melaka?
Saya nak ingatkan Mohd. Amar bahawa MN ada formula yang sudah dipersetujui iaitu yang pertama tidak akan ada pertembungan antara UMNO dan Pas. Jangan nak bawa formula baharu yang ikut suka hati.
Formula kedua pula siapa yang menang kerusi, dia akan bertanding. Tempat yang UMNO menang dulu adalah milik UMNO dan layak bertanding, begitu juga Pas. Di Melaka ada Pas menang? Tiada. Tak bolehlah Pas bertanding.
Ketiga, undi terbanyak di kawasan yang kalah, parti itulah akan bertanding. Berapa kerusi Pas dapat undi tertinggi di kawasan yang kalah, kita setuju Pas bertanding jika memenuhi syarat-syarat yang dipersetujui dalam MN.
Sekarang pasal apa nak ubah? Ini boleh jadi haru-biru bila kita lari dari perjanjian. Mulut tak boleh pakai. Hari ini cakap lain, esok cakap lain. Nanti orang tak percaya kita. Kita percaya Pas sebab parti itu berpegang pada janji. Kalau berubah-ubah kita pun tak percaya Pas.
Bukankah patutnya beliau maklum mengenai perjanjian MN tanpa keluarkan kenyataan sebegitu?
Mesti dia maklumlah dan dia memandai-mandai. Sekarang ini beliau tidak lagi berpegang pada perjanjian. Kalau begini susahlah nak adakan hubungan yang baik. Kita hilang kepercayaan.
Saya harap Pas balik semula kepada semangat penyatuan ummah dan MN dalam membuat keputusan kalau nak lihat adanya kerjasama antara Pas dan UMNO untuk jaga orang Melayu Islam. Balik kepada perjanjian dan piagam.
Kita kalah Allah bagi kekuatan iaitu penyatuan orang Melayu. Itulah kurniaan yang paling hebat. Tak boleh dibandingkan dengan senjata dan wang ringgit.
Penyatuan ummah adalah nikmat yang diberikan Allah. Kalau tak hargainya, kita tak bersyukur dan tidak jaga dengan baik hanya kerana kepentingan dan nafsu politik.
Mungkin nanti tidak akan ada kerjasama lagi yang menyebabkan orang Melayu tidak akan lagi bersatu. Maka, insaflah.
Mungkin kita lupa Allah suruh kita bersatu, bukannya melebih-lebihkan kuasa. Pas dah lari dari hala tuju.
Saya menyeru kepada pucuk pimpinan supaya berfikir sebaik-baiknya agar kita dapat mengekalkan MN dalam PRN Melaka kerana inilah satu-satunya senjata yang ada untuk menang. Tetapi selain dari option ini susah nak menang, risikonya lebih besar.