Tangani rasuah sebagai isu psikososial, bukan sekadar jenayah

Tangani rasuah sebagai isu psikososial, bukan sekadar jenayah

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 21 Julai lalu sekali lagi mendedahkan kepincangan dalam pengurusan kewangan awam, kelemahan tadbir urus serta ketidakpatuhan terhadap prosedur dalam kementerian, agensi dan syarikat milik kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat, sekali lagi mendedahkan kepincangan dalam pengurusan kewangan awam, kelemahan tadbir urus serta ketidakpatuhan terhadap prosedur dalam kementerian, agensi dan syarikat milik kerajaan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dapatan ini. Antara yang paling membimbangkan ialah:
– Kelemahan pengurusan pajakan ladang sawit oleh Felcra Berhad, melibatkan nilai lebih RM241 juta.
– Penganugerahan tender oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada syarikat yang tidak disyorkan oleh jawatankuasa teknikal.
– Kegagalan Tentera Darat mengutip denda berjumlah RM162 juta daripada pembekal kenderaan perisai.
– Ketirisan subsidi minyak masak, tanpa agihan bersasar kepada kumpulan layak.
– Manipulasi dalam kaedah perolehan pra-kelayakan (Pre-Q), yang sepatutnya menjamin ketelusan.

MCW menyifatkan dapatan ini bukan sekadar isu teknikal atau pentadbiran sebaliknya memperlihatkan kerapuhan dalam integriti peribadi individu yang diberi kuasa dan tanggungjawab.

Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media MCW, “Sistem boleh dibina kukuh. Undang-undang boleh digubal dengan ketat. Tetapi semua ini lumpuh apabila minda manusia tidak kebal terhadap godaan kuasa dan wang.”

Oleh itu, MCW menyeru pendekatan baharu dalam memerangi rasuah iaitu dengan menyelami akar psikologi dan sosiobudaya yang mencorakkan tingkah laku korup.

MENGAPA SISTEM GAGAL MENGHALANG RASUAH?

Berdasarkan kajian dan siasatan etika yang dijalankan oleh MCW dan rakan-rakan strategik di sektor korporat dan kerajaan, terdapat corak yang berulang:
– Individu yang terlibat sedar perbuatan mereka salah, namun masih melakukannya.
– Mereka mampu memberi justifikasi rasional untuk tindakan itu dengan berpandangan ‘semua orang buat’, ‘tiada yang rugi’ atau ‘aku berhak sebab sudah lama berkhidmat’.
-Malah ada yang bersikap kebal moral, kerana berada dalam zon selesa dan tidak dijangka akan dipersoal.

Ini menunjukkan punca utama rasuah bukan sekadar kelemahan prosedur tetapi keruntuhan mekanisme dalaman dalam diri seseorang iaitu moral, etika, dan daya tahan terhadap godaan.

RASUAH BERMULA DALAM MINDA

MCW berpandangan perjuangan antirasuah akan kekal sia-sia jika kita terus bersandarkan kepada undang-undang dan sistem kawalan semata-mata.

Sebaliknya, kita mesti memahami bagaimana perasuah berfikir, bagaimana mereka menjustifikasi perbuatan mereka dan apakah faktor psikososial yang menyebabkan mereka tersasar.

Antara persoalan yang perlu dijawab:
– Adakah pesalah rasuah melalui fasa kognitif tertentu sebelum bertindak?
– Bagaimana tekanan sosial, gaya hidup dan pengalaman hidup membentuk keputusannya?
– Apakah mekanisme psikologi yang digunakan untuk menenangkan rasa bersalah?
– Adakah terdapat profil tingkah laku berisiko yang boleh dikesan lebih awal?

Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab melalui kerjasama rentas bidang antara MCW, pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal, penyelidik tingkah laku, serta pakar etika dan sosiologi.

 

SESI MEJA BULAT MCW

Sebagai tindak lanjut, MCW akan menganjurkan Sesi Meja Bulat Khas bertajuk Membedah Minda Perasuah: Forensik Psikologi, Ketamakan dan Daya Tahan Moral dalam Membanteras Rasuah.

Tujuan sesi ini bukan untuk menyalahkan individu sebaliknya untuk memahami, menganalisis dan akhirnya merangka pendekatan baharu yang boleh mencegah tingkah laku rasuah dari akar umbi.

Antara hasil yang dijangka:

– Model psikologi tingkah laku perasuah bagi mengenalpasti ‘red flags’ lebih awal.
– Cadangan saringan psikososial bagi penjawat awam dan pengurusan tertinggi organisasi.
– Program pemulihan dan pemantapan integriti dari sudut psikologi dan spiritual.
– Jalinan penyelidikan jangka panjang bersama universiti dan institut kesihatan mental.

Sesi ini akan menampilkan pakar dari pelbagai latar belakang, dari klinikal hingga penguatkuasaan dan akan menghasilkan resolusi rasmi yang dikemukakan kepada agensi kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri.

 

UBAH NARATIF: DARIPADA HUKUMAN KEPADA PEMULIHAN

Dalam tempoh yang lama, pendekatan kita terhadap pesalah rasuah adalah menghukum dan memalukan. Walaupun ini penting sebagai amaran, namun tidak mencukupi.

MCW mencadangkan agar kita mempertimbangkan pendekatan ‘pemulihan minda’, sepertimana yang dilakukan terhadap pesalah dadah atau banduan juvenil seperti:

– Rehabilitasi etika: Program bimbingan moral dan kesedaran pasca sabitan.
– Integriti klinikal: Terapi nilai dan penstrukturan semula pemikiran.
– Saringan psikologi integriti: Seperti mana saringan kesihatan tetapi untuk integriti dan tekanan moral.

Ini bukan bermaksud kita mengasihani perasuah tetapi kita tidak akan mampu mengubah budaya jika gagal memahami dan membetulkan minda pelaku.

RASUAH PENYAKIT JIWA BERPUNCA DARI NAFSU

MCW percaya rasuah bukan sekadar jenayah kewangan tetapi penyakit jiwa yang perlahan-lahan membunuh kepercayaan rakyat, melumpuhkan sistem dan merosakkan generasi akan datang.

Untuk melawannya, kita perlu lebih daripada akta dan prosedur. Kita perlukan pemahaman jiwa, reformasi budaya dan pencegahan berasaskan psikologi.

Meja bulat ini bukan sekadar satu program tetapi titik mula kepada satu revolusi dalam pendekatan terhadap antirasuah.

Dan MCW bersedia memimpinnya, dengan bantuan mereka yang arif tentang minda manusia.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN