SUDAH dua tahun rasanya anak-anak dilarang bermain di luar rumah penangan pandemik Covid-19. Walaupun di tempat saya tinggal ada kes positif Covid-19, namun tidak begitu serius hingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dilaksanakan.
Aktiviti anak-anak saya berkisar dalam rumah, iaitu mengikuti kelas Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), menonton TV dan bergurau sesama adik-beradik dan nenek mereka. Anak-anak yang suka bersukan dan aktif dalam acara balapan semasa di bangku sekolah kini sakan bermain permainan video.
Ketakutan terhadap pandemik Covid-19 sememangnya mengehadkan pergerakan bukan sahaja anak-anak bersama rakan-rakan mereka, malah golongan dewasa pun banyak memanaskan kerusi malas di rumah.
Namun, kesabaran anak-anak duduk diam di rumah teruji apabila mereka menonton Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Apabila menyaksikan atlet gimnas kita, Farah Ann Hadi dan atlet paralimpik lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli beraksi, anak-anak yang menonton tiba-tiba turut naik ‘seh’ keriangan. Mereka pun seakan hendak beraksi sama hingga ke luar rumah, sesuatu yang tidak dibenarkan sama sekali.
Terbaru, Piala Sudirman. Bukan sahaja orang tua boleh sakit jantung menonton aksi pemain muda, malah anak-anak pun teruja menyaksikan Lee Zi Jia. Raket badminton yang tersimpan lama mula dikeluarkan, bulu tangkis dilurut-lurut depan TV tetapi hendak bermain di luar memang no way!
Bukan apa, kadang-kadang hati rasa terharu apabila anak-anak saya seakan memberontak hendak menunjukkan skil back hand, jumping smash dan servis S tapi kerana pandemik, hasrat mereka terhalang.
Perkembangan terbaharu, dengan banyak sektor dibuka di bawah Pelan Pemulihan Negara berfasa dan merentas negeri sudah dibenarkan, maka mungkin ada berita baik bagi anak-anak saya untuk bermain di luar rumah.
“Papa, boleh kami main badminton?”
“Boleh anakku. Jadilah pengganti anak-anak Sidek yang rumah mereka di Kampung Kanchong Darat, tidak jauh pun dari rumah kita di Morib.” Mungkin itu jawapan saya kepada mereka nanti.










