Pandu melulu: Apa faktor diambil kira? - Utusan Malaysia

Pandu melulu: Apa faktor diambil kira?

Sam Ke Ting yang dituduh menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal ketika memandu kenderaan pada 2017 dibebas dan dilepaskan dari pertuduhan memandu secara melulu di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI pemberita: Faizal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Ja­lan Raya 1987 diterangkan me­ngenai menyebabkan ke­ma­tian kerana memandu melulu atau membahayakan iaitu:
Pemandu suatu kenderaan bermotor di jalan raya dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang setelah mengambil perhatian tentang segala keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan ada atau mungkin ada di jalan itu, adalah ber­bahaya kepada orang awam se­hingga menyebabkan kematian adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.
Apakah yang perlu dibuktikan di bawah seksyen ini untuk menimbulkan satu kes prima facie supaya pembelaan dipanggil untuk tertuduh menjawab?
Di dalam kes di bawah ini dinyatakan bahawa dalam pertuduhan seperti di atas perlu dibuktikan pemanduan adalah melulu dan berbahaya. Pertuduhan bukanlah kerana menyebabkan kematian semata-mata tetapi kerana pemanduan melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain atau pun pada harta benda. Sebagaimana yang diputuskan di dalam kes di bawah ini:
Gunasegaran a/l Singaravelu v. Public Prosecutor (2009) 7 CLJ 613; (2009) 7 MLJ 761.
Di dalam kes R v. Guilfoyle  (1973) 2 All ER 844 juga membincangkan perkara ini dan membuat pernyataan seperti berikut.
Kes yang menyebabkan kematian bagi pemanduan cuai boleh dibahagikan kepada dua kategori:
 Kejadian yang berlaku secara spontan, tiada niat atau kesilapan perkiraan (misjudgement)
 Kejadian yang mana pemanduan yang yang tidak memperdulikan keselamatan atau keselamatan pengguna jalan raya lain dengan perbuatan cuai.
Apakah yang dimaksudkan dengan pemanduan berba­ha­ya dan cuai? Ia tidak di­nya­takan di dalam Akta Pe­ngangkutan Jalan Raya namun terpulanglah kepada mah­kamah membuat peng­analisaan daripada keterangan yang ada.
Sabitan bagi pemanduan yang melulu boleh dilakukan jika terdapat dua faktor seperti di bawah ini:
 Memandu dalam keadaan mengambil risiko terhadap pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kecederaan serius kepada pengguna jalan raya lain atau harta benda.
 Mengetahui terdapat risiko yang diambil namun masih meneruskan pemanduannya.
Walaupun dengan memandu secara melulu pemandu itu masih terus memandu walaupun tahu akan kemungkinan menemui risiko dan risiko itu adalah sangat jelas dan ketara.
Ini asas kepada undang-undang bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya.
Baru-baru ini dilaporkan Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan seorang jurujual wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja, empat tahun lalu. Ramai mengkritik keputusan mahkamah itu dalam media sosial.
Antara ringkasan alasan Majistret Siti Hajar Ali adalah seperti berikut ( Utusan Malaysia 10 Oktober 2021)
“Setelah mendengar keterangan dikemukakan dan menimbang hujah pendakwaan serta pembelaan di akhir kes pembelaan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan ke atas tertuduh. Ini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Antara alasan mahkamah membuat keputusan itu adalah mengambil kira keterangan tertuduh yang tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada pukul 3 pagi itu adalah munasabah.
“Tertuduh yang dalam perjalanan pulang dari perarakan dewa Pesat Chingay menyatakan tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu itu dan tiada amaran terhadap keberadaan kumpulan basikal lajak di situ.
“Keterangan tertuduh dia yang memandu di bawah had laju dan berada di lorong paling kiri lokasi kejadian ia­itu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Ma­laysia (MIROS), yang men­da­pati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam,” katanya.
Katanya, faktor permukaan lokasi kejadian itu yang mendaki bukit, berselekoh dan dalam keadaan gelap menyebabkan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.
“Terdapat juga keraguan identiti sebenar pemandu kereta yang didakwa dipandu tertuduh. Ini berikutan terdapat kewujudan seorang lagi lelaki berbangsa Cina di lokasi kejadian dan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan itu.
“Timbul keterangan saksi lain yang mencetuskan persoalan yang gagal dijelaskan. Oleh itu, tertuduh tidak boleh dihukum atas kegagalan pegawai penyiasat melaksanakan tanggungjawab dalam menyiasat kes dengan sempurna,” ujar Siti Hajar.
Berdasarkan alasan-alasan ringkas itu dan merujuk kepada nas-nas bahawa berlaku kemalangan sahaja bukanlah satu pembuktian utama kesalahan pemanduan melulu, mahkamah telah mengambil kira keadaan jalan raya, keadaan pemanduan tertuduh, keadaan mangsa dan faktor lain dalam membuat kesimpulan bagi keputusan kes ini.
Adakah pemandu mengambil risiko melulu dalam pemanduannya terhadap pengguna jalan raya semasa itu sebagaimana keputusan mahkamah terdahulu yang menjadi kayu pengukur dalam keputusan kes? Begitu juga kegagalan pegawai penyiasat untuk menyiasat dengan lebih mendalam kesnya. Seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum kerana pegawai penyiasat tidak melakukan siasatan teliti dan kurang kepintaran (lack of ingenuity).
Kita seharusnya melihat kes berdasarkan pembuktian di mahkamah berdasarkan keterangan yang ada dan bukan andaian dan emosi kerana walaupun kes sekecil mana pun perlu menurut undang-undang beserta nas-nas kes yang diputuskan di mahkamah sebelum ini.
Namun pihak pendakwaan boleh teruskan dengan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi untuk mendapatkan satu keputusan konklusif jika tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang rendah.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya