APABILA Dr. Larry Nassar, doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (USAG) dijatuhkan hukuman penjara selama 175 tahun pada 2018, ia merupakan pengakhiran kepada skandal sukan terbesar bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS), malah seluruh dunia. Pendedahan skandal ini membuatkan 150 atlit gimnas antaranya yang begitu dikenali ramai seperti Maggie Nichols, Jeanette Antolin, Simone Biles, Rachael Denhollander, Gabby Douglas dan Aly Raisman telah memberi keterangan bagaimana Nassar bersikap seperti haiwan yang rakus iaitu melakukan penderaan, gangguan dan pencabulan seksual ke atas atlet yang pada ketika itu masih remaja.
Sebenarnya, perbuatan terkutuk Nassar ini telah bermula sejak 1994 ketika beliau berkhidmat di Michigan State University (MSU) dan berterusan selepas dilantik sebagai doktor USAG pada 1996. Aduan telah dibuat oleh mangsa tetapi tiada tindakan susulan diambil sama ada oleh MSU atau USAG yang sebolehnya mahu dipendamkan oleh kedua-dua organisasi ini. Kemungkinan tidak mahu tercalar dengan perbuatan Nassar itu atau pun mengambil mudah aduan mangsa.
Skandal terbongkar dan menjadi pengetahuan umum apabila akhbar Indianapolis Star mendedahkan, perlakuan Nassar setelah bekas gimnas USAG, Maggie Nichols mengaitkan pengalamannya ketika berada di bawah seliaan Nassar. Walaupun akhbar tersebut tidak mendedahkan nama pengadu, tetapi laporan berita ini mengejutkan orang ramai kerana perlakuan Nassar tercetus tanpa kekangan dengan begitu lama sekali.
Walaupun nama Nichols tidak didedahkan tetapi kredibiliti akhbar itu tidak terjejas kerana siasatan terperinci telah dilakukan oleh pemberitanya sebelum laporan disiarkan. Beberapa hari selepas itu, Dewan Senat Kongres mengutus surat kepada USAG supaya diambil tindakan susulan untuk tangani isu tersebut.
Paling kritikal, kesan laporan akhbar tersebut ialah gimnas USAG, Rachael Denhollander membuat laporan polis dengan tuduhan kehormatannya dicabul oleh Nassar pada 2000 ketika dia berumur 15 tahun.
Selepas laporan polis oleh Denhollander, ratusan lagi gimnas (150 kesemuanya) USAG tampil ke hadapan dengan pengalaman masing-masing, bagaimana mereka didera dan diganggu secara seksual oleh Nassar. Ada gimnas yang menceritakan pengalaman kepada media, ada yang membuat laporan polis dan ada yang mengemukakan saman sivil bukan sahaja terhadap Nassar tetapi juga kepada USAG dan MSU kerana gagal melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Malah, pendedahan oleh gimnas tersohor, Simon Biles mendedahkan bagaimana Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengambil sikap endah tidak endah dalam siasatan mereka terhadap Nassar.
Skandal Nassar sepatutnya boleh disekat dari awal lagi tetapi kerana wujud sikap tidak mengambil berat dan seolah-olah mahu melindungi organisasi masing-masing, ia melarat ke satu tahap yang tidak boleh dibendung lagi. Sebab itu skandal ini bukan hanya membabitkan Nassar yang dijatuhkan hukuman penjara, tetapi beberapa kepimpinan tertinggi USAG dan MSU sama ada telah diberhentikan atau didakwa dalam mahkamah atas tuduhan cuai dalam melaksanakan tanggungjawab. Dan ada dalam kalangan mereka cuba menyembunyikan bukti bila siasatan dilakukan oleh FBI dan pejabat pendakwa raya Michigan.
BAHAN JENAKA
Hakikatnya, apa hal jua yang membabitkan atlet terutama sekali sukan renang dan gimnas dalam hal gangguan seksual mesti dipandang berat kerana atlet dalam sukan ini lazimnya masih remaja. Dalam umur linkungan ini, mereka amat mudah dieksploitasi oleh individu yang tidak bertanggung jawab.
Sebab itu jua apabila atlet sukan terjun negara, Datuk Pandelela Rinong meluahkan perasaan mengenai gangguan seksual yang dialaminya dan rakan lain, walaupun perkara tersebut telah berlalu dan hukuman telah dijatuhkan kepada individu terbabit, seharusnya kita yang lebih dewasa memberi sokongan kepada Pandelela. Semestinya juga mereka yang diberi tanggungjawab melindungi atlet ini yang kebanyakannya masih remaja tampil memberi sokongan kepadanya.
Hakikatnya, pendedahan Pandelela ini adalah manifestasi bagaimana sesetengah kita masih tidak sensitif dan mengambil enteng apabila menghemburkan lawak dan jenaka yang menjurus kepada hal seksual yang lazimnya disasarkan kepada golongan wanita. Mungkin yang menghambur lawak itu hanya menganggapnya sebagai bahan jenaka dan berniat untuk bergurau senda. Tapi sasaran yang terpalit terutama remaja perempuan adalah begitu trauma sekali.
Gangguan seksual secara halus ini bukan sahaja sering berlaku dalam komuniti atlet tetapi juga amat berleluasa dalam kalangan artis hiburan. Dengan adanya landasan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram umpamanya, bagai memberi lesen untuk sesiapa sahaja terbabit dengan gangguan seksual tanpa ada sekatan tatasusila dan perasaan malu.
Semoga pendedahan berani dan mungkin secara bersahaja Pandelela ini menjadi iktibar bagi kita semua supaya lebih peka dan sensitif dengan apa jua hal berkait gangguan seksual. Tidak boleh diterima lagi alasan perkataan yang dihambur atau ditulis itu hanya bertujuan lawak jenaka. Tidak boleh diterima jua alasan lawak jenaka itu tidak berniat disasarkan kepada kumpulan tertentu dan untuk menyakiti hati sesiapa.
PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.











