PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka signifikannya besar. Pilihan raya ini pasti menjadi tanda aras (benchmark) kepada semua parti khususnya Melayu, sebagai experiment tahap sokongan diterima masing-masing daripada rakyat.
Meskipun kira-kira 500,000 pengundinya hanya di Melaka, itu sudah cukup menjadi cermin parti mana akan dipilih oleh rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum ke-15 nanti.
Saya percaya bukan sahaja UMNO akan diuji dalam gelanggang PRN ini, tetapi juga Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR.
Tiga lagi, Parti Amanah Negara dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan menyusul, Parti Kuasa Rakyat. DAP pula sudah tentu mencelah menerusi sokongan tegar para penyokongnya.
Memikir PRN ini, teringat saya kisah Pak Kaduk yang berlonjak kegembiraan atas kemenangan ayam yang bukan lagi miliknya. Dia tambah galak lagi kerana namanya diteriak orang ramai.
Begitu kuat lonjakannya sehingga tidak menyedari bahagian belakang seluarnya terkoyak yang menampakkan punggung.
Pak Kaduk lalu memeriksa seluarnya. Begitu malu, dia berlari ke hutan untuk bersembunyi dari orang ramai. Setelah beberapa hari barulah dia secara bersembunyi kembali ke rumahnya.
Malangnya tanah dan rumahnya telah dirampas oleh Raja. Barulah dia teringat perjanjiannya dengan Raja.
Jiran-jirannya yang baru mengetahui kisah sebenar Pak Kaduk mula bercerita…“Hai Pak Kaduk… Menang bersorak tapi kampung tergadai…”
PRN Melaka tercetus akibat kemelut dalaman UMNO sendiri. Antara bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Krisis dikatakan sudah lama sejak Idris belum jadi ketua menteri lagi. Panjang ceritanya. Tak muat satu muka nak tulis.
Walaupun klise bunyinya, kemelut politik dalaman Melaka ini menyebabkan kita terimbau sejarah 510 tahun silam. Perihal cakap-cakap, balah-balah, tikam-tikam, akhirnya ‘Peringgi’ dapat ke ‘Bukit Peringgit’.
HANG TUAH
Kata George Santayana, seorang ahli fikir Barat, “Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.
Apakah orang Melayu mendapat pelajaran daripada sejarah mereka dijajah Portugis, Belanda dan British? Orang Melayu mudah lupa sejarah mereka.
Sebaliknya amat gemar mewarnakan sejarah mereka dengan cerita dongeng untuk ego mereka. Untuk menyedapkan hati dan berbangga dengan cerita-cerita dongeng yang mereka cipta.
Demikian mereka suka menyebut ungkapan Hang Tuah yang kononnya berkata, “Tak akan Melayu hilang di dunia”.
Sehingga hari ini benarlah kita tidak hilang. Tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Selama 450 tahun mereka hidup di negeri mereka sendiri sebagai hamba bangsa-bangsa asing.
Sekarang mereka sudah bebas dan dapat memerintah diri sendiri. Tetapi apakah mereka sudah menjadi bangsa yang berjaya dan bermaruah.
PRN Melaka yang mendatang dalam waktu terdekat ini antara lain akan menjadi penentu ‘hidup mati’ sebuah parti ini, UMNO. UMNO telah lama bergelumang dalam hidup orang Melayu sejak dahulu. Parti ini menggerakkan masyarakat di kampung.
UMNO, suatu ketika yang gemilang, hadir dalam setiap kehidupan orang Melayu. Apabila sesuatu bencana berlaku, secara automatik ketua-ketua cawangan UMNO dengan kerjasama pemimpin masyarakat setempat akan terlibat.
Jika UMNO tidak terlibat, program itu akan serba tak kena, hambar dan seakan ‘kosong’ pengisiannya.
Saya teringat waktu pasca PRU-14 ada jeritan “Pergi ke JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) lah”, antara teriakan yang muncul bila yang susah berkehendakkan bantuan.
Hal ini berbeza sama sekali semasa zaman BN, yang akan beri jawapan: “Saya akan semak dengan JKM.” BN lah bercakap bagi pihak JKM.
UMNO dekat dengan orang Melayu. Penubuhan UMNO sebagai parti politik pada tahun 1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu dan negeri-negeri Melayu dijajah.
Sebelum itu siapa sahaja boleh menjajah orang Melayu. Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.
REZEKI SECUPAK
Orang Melayu di zaman penjajah tidak bersemangat. Mereka anggap diri mereka sebagai manusia kelas dua dan sedia menyerah apa sahaja kepada orang lain yang mereka percaya lebih berkebolehan.
Pentadbiran negara, perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya diserah kepada orang asing.
Inilah kesan daripada sikap tidak sanggup membuat kerja yang berat sedikit, yang susah sedikit, yang berbeza sedikit daripada kerja biasa – iaitu menanam padi dan menangkap ikan.
Orang Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun getah atau lombong bijih.
Atau belajar berniaga selain membuka gerai di tepi jalan atau menghampar tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang hendak dijual.
Perniagaan mereka tidak membesar dan peniaga Melayu biasanya tidak pindah ke kedai yang lebih sempurna, lebih besar. Rezeki secupak orang Melayu tidak pernah jadi segantang.
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak ada esok bagi perniagaan orang Melayu.
Dan alangkah terkejutnya orang Melayu apabila mereka diberitahu British berhasrat menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri Melayu yang dilindungi British.
Buat kali pertama selama hampir 450 tahun mereka dijajah, orang Melayu berhadapan dengan kehilangan secara langsung negeri-negeri kerdil mereka, tanah air mereka.
Mereka tidak lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan bumiputera dalam sebuah negara mereka sendiri. Mereka akan menjadi satu daripada kaum yang setaraf dengan kaum mendatang.
Lebih buruk lagi sementara mereka boleh memiliki kewarganegaraan Malayan Union sahaja, kaum pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara — Malayan Union dan negara asal daripada mana mereka datang.
Dalam Malayan Union ciptaan British, orang Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.
Di zaman British politik dilarang bagi rakyat biasa. Politik hanya untuk raja-raja dengan pembesar mereka dan British.
Dengan mudahnya British mengambilalih semua kegiatan pentadbiran yang penting. Raja-raja berkuasa secara terhad hanya dalam pentadbiran agama Islam dan adat-istiadat Melayu.
Dari nukilan sejarah silam ini, moga-moga PRN Melaka mendatangkan pengajaran dan teladannya.











