SAMBUTAN Deepavali biasanya tidak lengkap tanpa hidangan tose dan muruku kepada tetamu yang berkunjung ke rumah. Suasana pesta cahaya pada tahun ini dijangka lebih meriah dan bermakna apabila rakan-rakan dan saudara-mara yang sudah lama terpaksa berpisah dapat bertemu semula secara bersemuka, tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).
Saya sempat berbincang dengan beberapa rakan beragama Hindu tentang juadah dan kuih tradisional yang kini sudah jarang dihidangkan semasa Deepavali. Perbualan kami mengundang nostalgia pada 1970-an dan 1980-an di mana ibu bapa atau nenek menyediakan pelbagai kuih yang menggoda selera.
Jayasri Ramuloo dari Puchong, Selangor terkenang siini chippi yang juga disebut kuih siput manis. “Sehari suntuk makan hanya itu sebab bagi saya siini chippi lebih sedap daripada lauk-pauk Deepavali,” kata rakan kelahiran Taiping, Perak ini.
Kandi kelapa (coconut candy) menjadi kegemaran Pasupathy Pillay dari Durian Tunggal, Melaka. Dia terkenang pengalaman pada 1970-an dan 1980-an bilamana nenek membelah dan memarut kelapa secara manual. “Kelapa parut digoreng tanpa minyak dalam kuali panas hingga garing. Daun pandan dan warna merah jambu menjadikannya lebih wangi dan cantik. Selesai nenek memasak, kuali kosong menjadi rebutan kami adik-beradik untuk merasa saki-baki kandi kelapa yang masih melekat,” ceritanya dengan penuh teruja.
Parimala Devi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memilih athirasam yang dikenali orang Melayu dengan nama denderam. Kuih manis dan berwarna perang gelap ini diperbuat daripada tepung beras dan gula merah. “Walaupun sudah 20 tahun nenek meninggal dunia, athirasam masih menjadi kenangan dan minat saya. Nenek membuat adunan tepung seminggu sebelum Deepavali dan menyimpan di dalam balang tanah liat. Kerja menggoreng dibuat pada waku malam selepas kami tidur kerana nenek percaya kita tidak boleh bercakap semasa membuat athirasam,” dia berkongsi cerita. Mungkin sahaja si nenek mahu memastikan cucu tidak menghabiskan athirasam sebaik digoreng!
Murugaiyah Suppiah dari Pokok Macang, Butterworth memilih pattani sebagai juadah kegemaran yang kini sudah jarang dihidangkan. Rupa kuih ini leper seperti piring dan ditabur kacang dal atau pattani kadalai. Semasa kanak-kanak, dia dan kawan-kawan melempar kuih yang leper itu di kolam dan seronok melihat ia melompat-lompat seperti katak pada permukaan air!
Seorang lagi rakan, V.K. Ezhilarasi dari Cheras mendapati kuih sitturundai atau munthiri kottu sudah jarang dihidangkan semasa Deepavali. Ia berbentuk kecil serta diperbuat daripada kacang hijau dan gula merah. “Nenek, mak cik dan emak menggunakan lesung dan batu giling untuk menyediakan bahan-bahan. Apabila siap digoreng, kami tidak dibenarkan makan kuih itu sehingga sambutan pesta cahaya,” katanya. Biasanya juadah dan hidangan hanya dijamah selepas upacara sembahyang pada pagi Deepavali.
TUKUL
Satu lagi juadah istimewa Deepavali yang dinyatakan dan dirindui ramai rakan beragama Hindu ialah kallu urundai atau ketti urundai. Ia berbentuk bulat dan keras. Malah, sering dinamakan kuih bom. Antara rakan yang terkenang akan kuih ini ialah Sasitharan S.G. dari Ayer Itam, Pulau Pinang; Subashini Thiyagarajan dari Puchong; Anuradha Chelliah dari Banting, Suwedan Sellappan dari Kapar, Selangor; dan Harvintha Reddy dari Seremban, Negeri Sembilan.
“Semasa nenek masih ada, beliau selalu buat kuih ini. Kami kena gunakan tukul untuk pecahkannya kerana amat keras,” kata Sasitharan.
Datuk Subashini juga pakar membuat kuih itu dan memang amat keras sehingga perlu menggunakan tukul untuk memecahnya. “Kami adik-beradik membantu datuk menyediakan bahan-bahan dan membuat kuih ini. Ia suatu kenangan indah zaman kanak-kanak,” dia meluah perasaan.
Kekerasan kallu urundai turut diakui Anuradha. “Dulu ibu selalu buat kuih ini dan memang susah nak gigit. Namun, saya amat menggemari rasanya yang enak. Orang sekarang masih buat kallu urundai tetapi sudah tidak keras. Rasa juga tidak sama,” guru ini mengakui.
Suwedan masih ingat cara ibu bapanya membuat kuih berkenaan pada 1980-an. Kacang tanah yang dibuang kulit akan digoreng tanpa minyak di dalam kuali. Kemudian, ditumbuk dengan lesung. Kacang hijau dan beras pula dikisar untuk melengkapkan ramuan. “Gula merah dididih di dalam kuali sehingga menggelegak seperti lava gunung berapi. Lalu dituang ke dalam adunan tepung tadi dan segera digenggam erat dalam keadaan masih panas menjadi bentuk bulat. Memang kena pandai buat. Kalau tersilap, tangan boleh melecur terkena kuah gula merah yang panas itu. Ketika ibu dan bapa membuat kallu urundai, saya disuruh duduk jauh sebagai langkah berjaga-jaga,” Suwedan mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.
Pengalaman membantu mendiang ibu membuat kuih-muih muncul dalam kenangan Harvintha semasa kami berbual mengenai juadah Deepavali. Dia masih ingat bagaimana kuih itu dihasilkan. “Kuih yang keras ini memang susah untuk digigit tetapi menjadi kegemaran tetamu yang menyukai rasanya yang unik. Saya juga ada memori lucu di mana kuih keras itu dibaling ke arah kawan atau adik-beradik sewaktu bergaduh,” katanya.
Perbualan bersama sekumpulan rakan ini turut membantu saya terkenang pengalaman membesar dikelilingi jiran tetangga kaum India di Aulong Lama, Taiping pada 1980-an. Memang ada pelbagai juadah tradisional yang tidak lagi ditemui apabila berkunjung ke rumah rakan-rakan dan saudara-mara semasa sambutan Deepavali.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan generasi muda terlepas peluang mempelajari ilmu membuat kebanyakan kuih tradisional ini daripada ibu atau nenek. Malah, biskut dan kuih moden menjadi pilihan kerana jauh lebih mudah dan murah. Malangnya, rasa dan unsur budaya serta ikatan kasih yang teradun dalam juadah tradisional semakin terhakis.
Namun begitu, situasi mungkin berubah menjadi lebih baik menjelang sambutan pesta cahaya pada tahun ini. Sama-sama kita berharap kaum India akan kembali cuba menyediakan pelbagai juadah tradisional yang semakin dirindui.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











