Kembalikan ketirisan hasil negara - Utusan Malaysia

Kembalikan ketirisan hasil negara

PENGUAT kuasa kini lebih proaktif dengan merampas kesemua harta hasil perbuatan jenayah kewangan menggunakan peruntukan undang-undang bersesuaian. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING kali kita membaca atau melihat laporan media mengenai kes jenayah kewangan atau rasuah dilaporkan membabitkan jumlah daripada ribuan ringgit kepada jutaan ringgit. Meskipun kes sedemikian sering menjadi tajuk utama di dada akhbar atau media elektronik, masih ada segelintir masyarakat yang tidak endah dan terus melakukannya tanpa rasa takut.

Di sebalik itu, kes-kes seumpama ini sebenarnya agak sukar untuk dibuktikan di mahkamah. Ini disebabkan penjenayah kewangan begitu licik menjalankan urus niaga dan transaksi masing-masing. Golongan ini sentiasa mencari kesempatan pada kesamaran undang-undang agar tidak ditangkap mahupun didakwa serta sentiasa memastikan tindak-tanduk mereka terlindung daripada sebarang perhatian umum.

Oleh sebab itu, penguat kuasa kini lebih proaktif dengan membuat pendekatan merampas kesemua harta dan hasil perbuatan jenayah kewangan yang dilakukan menggunakan peruntukan undang-undang bersesuaian. Hal ini perlu bagi memastikan hasil perbuatan haram sebegini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan secara keseluruhannya punca kepada berlakunya peri laku jenayah ini.

Cuba renungkan senario ini sebagai contoh. Seman (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pengurus di sebuah bank dengan gaji bulanan kira-kira RM10,000. Pada suatu hari, dia ditahan kerana melakukan pecah amanah wang bank tersebut berjumlah RM500,000. Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Andai kata sebelum pendakwaan dilakukan, Seman sempat melaburkan sebahagian daripada wang berkenaan iaitu kira-kira RM300,000, sudah tentu sepanjang tempoh perbicaraan kesnya mungkin mengambil masa mencecah tujuh atau lapan tahun. wang pelaburannya itu juga akan berganda dan memberikan pulangan tinggi.

Sekiranya selepas melalui beberapa proses perbicaraan di mahkamah, akhirnya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepada Seman. Bayangkan jika duit pelaburannya itu tadi sudah berganda sepanjang tempoh perbicaraan, Seman masih mempunyai ratusan ribu dalam simpanannya selepas keluar penjara!

Maksud tersirat dalam undang-undang atau spirit undang-undang kes pecah amanah ini adalah berbeza berbanding kes yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Berdasarkan kepada akta ini, jika seseorang didapati terbabit dengan kes pengubahan wang haram maka segala aset atau harta yang dibeli menggunakan duit ini dapat disita manakala wang tunai dirampas, sekali gus melumpuhkan aktiviti sindiket atau individu yang menerima wang haram ini.

Itu baharu senario kes dianggap jumlah kecil. Bayangkan jika ada ahli politik atau ahli perniagaan dikaitkan menerima atau memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit melalui pemindahan wang dalam bank atau deposit cek ke dalam akaun bank. Dalam hal ini juga tidak adil sekiranya kita membandingkan kes jenayah seperti mencuri di bawah Kanun Keseksaan dengan kes menerima wang daripada sumber haram di bawah AMLATFPUAA 2001.

MARHAEN

Ini kerana kita sering melihat isu sebegini ‘dimomokkan’ di platform media sosial apabila masyarakat sering membuat persepsi negatif dengan membezakan bagaimana rakyat marhaen yang melakukan kesalahan kecil tetapi menerima hukuman tidak setimpal seperti dipenjara berbanding ahli politik terbabit dengan kes rasuah hanya dikenakan hukuman denda yang ringan.

Seperti dinyatakan, spirit undang-undang bagi akta-akta berkaitan adalah berbeza-beza. Minda rakyat kita telah dipesongkan dengan perkara-perkara sebegini sehingga akhirnya sukar untuk pihak berkuasa termasuk mahkamah membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun, kaedah baharu dalam hala tuju hasil siasatan berkaitan pengubahan wang haram ialah selain pertuduhan adalah melalui pemulihan aset. Kaedah ini bukan sahaja memberikan hasil (outcome) yang lebih baik tetapi merupakan satu kaedah menghukum pesalah undang-undang selain hukuman penjara dan denda di mahkamah.

Melalui satu artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) (US DOJ) pada 14 Januari 2021, jabatan itu berjaya membuat pemulihan aset melebihi RM9.2 bilion daripada kesalahan melibatkan kes-kes tuntutan palsu bagi tahun 2021.

Kaedah penyelesaian melalui pemulihan aset ini telah dimulakan semenjak 1986 lagi dan sehingga kini jumlah keseluruhan pemulihan yang diperoleh oleh US DOJ adalah RM267.9 bilion.

Antara kesalahan melalui kaedah penyelesaian dan pemulihan aset adalah tuntutan palsu, penipuan tuntutan pembiayaan kesihatan atau yang berkaitan kesihatan (insurans dan lain-lain), penipuan melibatkan perolehan, penipuan bankrap.

Selain itu, masih lagi terdapat penyelesaian bagi pemulihan tertangguh yang belum selesai yang dijangka berjumlah RM11.72 bilion melibatkan kes tuntutan bankrap palsu.

Satu lagi artikel berkaitan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Stolen Asset Recovery Initiative (StAR) pada 10 Disember 2020 menyatakan, antara cabaran dan inisiatif dijalankan bagi tujuan penyelesaian dan pemulihan aset adalah melalui penglibatan enabler (pemboleh) dan kerjasama antarabangsa antaranya dalam kes Ben Ali di Tunisia dan 1MDB.

Kes-kes melibatkan kesalahan rasuah adalah semakin kompleks dan sukar dikesan, justeru melalui kaedah penyelesaian pemulihan aset amat berguna dalam mengembalikan ketirisan hasil kerajaan dan mengembalikan semula hak milik kepada pemilik sebenar dan negara.

Kaedah penyelesaian melalui pemulihan aset ini bukan sahaja dijalankan oleh SPRM dan kerajaan Malaysia amnya tetapi telah lama dimulakan oleh negara-negara maju lain seperti AS dan ia berjaya mengembalikan semula hasil kerajaan dengan lebih baik.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×