Jangan jadi ketam ajar berjalan lurus - Utusan Malaysia

Jangan jadi ketam ajar berjalan lurus

Bagaimana rakyat mahu terus mematuhi undang-undang sekiranya ahli politik sendiri memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) dalam kawalan virus Covid-19. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI muncul sinar apabila Malaysia termasuk dalam kalangan negara-negara Asia yang menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, negara ini turut menunjukkan trend penurunan kes sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34.

Dalam ketika menuju sinar yang semakin cerah ini, jangan pula terlalu seronok sehingga alpa dan lalai pada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, kena sentiasa beringat virus ini masih ada di sekeliling kita. Ia masih berbahaya dan boleh meragut nyawa.

Beberapa hari lalu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah ‘berbunyi’, memberi teguran sayang menggesa rakyat terutama ahli politik, untuk terus memakai pelitup muka di tempat awam.
“Semakin ramai rakan setugas saya dilihat dalam gambar bermesyuarat tanpa memakai pelitup muka.

“Ramai ahli politik mengidap kencing manis, hipertensi dan mungkin obes. Kalau anda dijangkiti Covid-19, walaupun sudah divaksin, ia tak akan menjadi pengalaman yang menyenangkan,” tulis Khairy di Instagram.

Bagi saya, selaku menteri yang menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan untung nasib dan jatuh bangun negara ini melawan Covid-19, beliau punya locus standi untuk menegur.
Isu tidak memakai pelitup muka mungkin terlihat kecil tetapi jika dilihat dari perspektif lebih luas, ia menafsirkan kurang cakna ahli politik untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan kesihatan rakyat yang berada di sekeliling mereka. Ahli politik merupakan pemimpin kepada masyarakat dan atas kedudukan ini, mereka seharusnya menjadi teladan untuk diikuti dan dicontohi.

Rakyat kini semakin kritis dalam menilai tingkah laku para pemimpin mereka. Ketika kerajaan saban hari menekankan untuk kita mematuhi SOP tetapi pada masa sama, ada pula dalam kalangan ahli politik memandang enteng perkara ini. Ia umpama si ketam mengajar anaknya berjalan lurus atau menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri.

Bukan lagi rahsia malah turut diakui oleh kerajaan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 menjadi pencetus kepada gelombang ketiga penularan Covid-19 dalam negara. Sekali lagi akibat ragam ahli politik, tidak lama lagi akan diadakan pula PRN Melaka hingga mencetuskan kebimbangan, adakah pisang akan berbuah dua kali?

Saya menyarankan pemimpin dan ahli politik agar terus menunjukkan teladan yang baik dalam membendung penularan virus ini melalui pematuhan SOP yang sempurna. Saya anggap ini juga satu perjuangan untuk kepentingan rakyat.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×